Pengikut

23 Februari 2009

TAIF: RAHMAT DARI DOA RASULULLAH

Peribadi dan akhlak seorang Rasulullah adalah terlalu hebat. Teramat layak ianya menjadi rahmat kepada sekelian alam. Ternyata kehebatan Rasulullah berlaku dalam seluruh gerak-geri di dalam keseluruhan perjalanan hidupnya. Semuanya menjadi contoh dan tauladan kepada umat seluruhnya yang mengharapkan panduan dan bimbingan bagi memanifestasikan sifat kehambaan dalam ertikata kepatuhan yang mutlak kepada Maha Pencipta.

Bumi Taif yang pernah menolak kehadirannnya dalam misi dakwah beliau telah mendapat rahmat dengan doa "Ya Allah, berilah petunjuk dan hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka belum memahami". Sehingga kemudiannya, rombongan awal dari taif telah datang bertemu Rasulullah pada tahun 7 Hijriyyah bagi menyatakan keimanan kepada Allah dan RasulNya.

Bumi yang pernah didoakan itu juga menjadi sebuah kawasan subur yang menghasilkan buah-buahan yang baik; khasnya anggur yang terhasil dari jenis paling baik, segar dan sedap. Sedangkan sewaktu beliau bersama Zaid bin Harithah memijak bumi Taif dulu, mereka telah dihujani dengan lontaran batu-batu yang membawa sehingga Rasulullah mengalami luka-luka dikepala. Diceritakan juga bahawa sepatu Rasulullah dipenuhi dengan darah sehingga 'berbunyi kesan-kesan darah' itu ketika beliau berjalan meninggalkan bumi taif itu.

Meskipun Jibril a.s. merayu kepada baginda untuk menghempapkan batu-batu dari bukit Taif ke atas penduduknya namun ternyata Rasulullah s.a.w. menolaknya. Biarpun beliau mendapat keji-nista dan siksaan sedemikian parah beliau tetap melihat jauh melepasi batas-batas penderitaannya. Biar generasi awal ini gagal untuk beriman tetapi beliau tetap menaruh keyakinan bahawa akan sampai masanya anak-cucu mereka akan menerima ajaran tauhid berasaskan agama Islam yang dibawanya.

Tiada ulasan: