Pengikut

17 Februari 2009

MENCARI KELAZATAN DALAM SOLAT

Sudah berapa lama kamu bersolat?
Pernahkah kamu merasai kelazatan ketika bersolat?

Lazat dan nikmat kerohanian ketika bersolat adalah anugerah Allah S.W.T. kepada hambaNya yang dikehendaki. Sebagaimana Ia telah kurniakan kepada RasulullahS.A.W., sahabat-sahabatnya, para auliya',para ulama atau sesiapa juga dari hamba-hambaNya dari kalangan mereka-mereka yang terpilih.

Masih jauhkah lagi solat kamu dari kualiti yang menjadi sebab kepada keizinan Allah menganugerahkan hadiah kelazatan itu kepadamu? Atau seluruh hidupmu mesti difokaskan dengan pendekatan kerohanian yang terancang bersumberkan keperluan-keperluan yang menjadi ramuan bekalan menuju Ilahi. Perjalananmu itu penuh ranjau berliku; di sana-sini terdapat perangkap dan jerat musuh. Sedang jarak perjalanan musafir itu tak mungkin terduga berapa jauhnya dan entah dimana ... cuma yang pasti pesan guru: bawalah panduan ilmu, bekalan takwa, pemandu arah dari kalangan guru-guru yang mursyid (berkelayakan) dan senjata zikir & wirid. Jalani jalan tersebut dengan tekun dan bersungguh-sungguh, beriadah dengan melakukan amal-ibadat yang dibenci nafsu, bermujahadah melawan godaan amarahmu, akur dengan perintah guru-gurumu, amalan dan wiridmu secara istiqamah... oh!! jalannya terlalu sukar dan berliku... "syurga" bukan boleh dibeli dengan harga yang murah!

Bagaimana nikmat dan lazat bermunajat dengan Allah itu?
Pernahkah kamu bersolat Hajat memohon kepada Ilahi agar dianugerahkan nikmat kelazatan tersebut? Memohon dipertemukan guru-guru yang berkelayakan untuk memandumu mencari kelazatan dan kenikmatan rohaniah terutama dalam ibadat-ibadatmu?

Tiada ulasan: