Pengikut

15 Februari 2009

"Happy Annivesary" KE-19 BUAT ISTERIKU

19 tahun bukanlah suatu jangkawaktu yang singkat. Semestinya begitulah. Masa yang secara relatif panjang itu telah memberi suatu konotasi bermakna dalam satu perjalanan kehidupan kita.

Sudah pastilah ianya suatu nikmat yang terlalu amat besar untuk disyukuri. Suatu rahmat yang hebat dan bermakna yang harus diperhalusi. Tidak ternilai oleh sebarang nilai material atau tuturan bicara. Nikmat yang semestinya dilafaz oleh sentuhan bibir nurani dengan keikhlasan budi.

Perkahwinan didefinisikan oleh Hamka dengan kata-kata ‘perkongsian sejuta perbezaan dalam satu ikatan’. Demikianlah kebenaran kata-kata bijak pandai yang kerap memberikan pemerhatian untuk membaca sebuah kitab kehidupan yang beraneka ini dengan memberi suatu impak pengertian yang mengesankan.

Lebih menariknya lagi ianya bukan hanya satu perkongsian biasa yang berjalan dipaksi lumrah tetapi melepasi suatu kebijaksanaan untuk saling memahami dan memperkuatkan ‘persamaan’ sekaligus rela mengorbankan emosi dan sentimen demi meneutralkan ‘perbezaan’ yang sesekali muncul beraksi.

Hidup yang dianugerahkan itu telah kita kecapi bersama. Susah senang kita redahi juga. Kelmarin adalah hari-hari yang telah kita bina dengan penuh tekun. Kita tetap meredahnya biarpun payah.

Bukankah kita pernah mengah dalam kayuhan kehidupan ini. Bukan sekali tetapi beberapa. Kepayahan dan derita mengajar kita sesuatu. Akhirnya kita temui juga ketenangan. Pastinya ketenangan itulah yang turut membina elemen-elemen kebahagiaan.

Sesekali asak kepenatan yang membungkam berlalu begitu saja. Tenggelam dan akhirnya terbenam. Justeru, kita biarkan ianya berlalu dipercelahan pasrah. Santai, relax dan ‘enjoy’ begitu. Mungkin itu adalah formula hidup kita yang banyak meransang sebuah kehidupan yang sentiasa hidup; mampu pula bertahan.

Kasih dan sayang adalah resepi. Anak-anak pula sebagai penyeri. Apapun, kita ada tugas dan tanggung-jawab. Kita ada hak dan peranan yang mesti terus dipikul dan dilaksanakan. Anak-anak kita bakal membesar dengan pelbagai ragam. Biarlah kita terus menjadi model terbaik untuk mereka terus menokok kebahagiaan sedia ada. Kita basahi mereka dengan asas agama yang mantap supaya mereka tidak tercari-cari nilai diri. Kita balutkan mereka dengan cinta dan kasih yang berpada dan sewajarnya; usah terlalu berlebihan – kerana nantinya mereka tahu menilai makna cinta, kasih dan sayang yang sebenarnya dan diletakkan dipaksinya yang tepat.

Semoga kita dianugerahkan Ilahi hidup yang lebih berkat dan diredai. Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan ke-19. Salam kasih sayang dari suamimu.

28 Januari 2009

Tiada ulasan: