Pengikut

15 Julai 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Ketika Ramadhan menyapa ceria
dengan manisnya sebuah senyuman
mendamba rindu dihujung Syaaban
meniti kasih yang dalam
resah seorang hamba yang menunggu
kekasih yang hadir
mesra dalam dakapan syahdu
jiwa yang menyerah pasrah
mengharap siraman rahmah dan maghfirah

Indahnya Ramadhan yang hadir
mengetuk pintu-pintu leka
lalu sadar bingkas terbangun
membasuh noda membilas dosa
mengunci alir amarah dengan riadah ibadah
menyuci jiwa yang parah bernanah

Meraikan istimewanya anugerah Ilahi
dengan ketaatan menahan lapar dahaga
bersusila dengan mereka yang kurang dan tiada
berkongsi kepayahan dan derita
menelusuri hembusan nikmat hidayah
para hamba yang basah lidah memujiNya
insan yang kembali ke pangkal fitrahnya

menekuni Tarawih & Witir penuh setia berjaga
berteman al-Quran pembimbing mesra
memohon berkat misteri malam Perdana
yang ganjarannya berganda-ganda
menjalin siratan keindahan taqwa
untuk mengisi kantung perbekalan
biar selesa dalam perjalanan
kembali kepada Tuhan

Marhaban Ya Ramadhan!
Marhaban Ya Ramadhan !!
Marhaban Ya Ramadhan !!!

Biasakan diri bersama ulama

عليكم بمجالسة العلماء

واستماع كلام الحكماء

فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة

كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


Sentiasalah bersama majlis ulama'
Dengarlah kata-kata hukama'
Sesungguhnya Allah S.W.T menghidupkan hati yang gersang
 dengan kata-kata hikmah
sebagaimana Ia menghidupkan bumi yang kontang
 dengan air hujan yang mencurah

10 Julai 2012

Sirat al-Mustaqim

Orang-orang yang percayakan Allah (beriman) diminta mengerjakan solat. Solat adalah tugas dan aktiviti yang diulang-ulang. Termasuklah mengulang-ngulang membaca al-Fatihah dengan bacaan minima 17 kali dalam masa 24 jam.

Solat membina kekuatan. Ianya satu ibadah yang diterima Rasulullah S.A.W secara terus dari Allah di malam Isra' & Mi'raj. Orang yang bersolat adalah mereka yang berjaya! Di dunia dan di akhirat... 

Surah al-Fatihah menggariskan dua aspek utama. Pertama pujian dan kedua permohonan. Kita memuji Tuhan yang Maha Agung kerana kita menerima hakikat kehambaan. Hamba adalah sinonim dengan kehinaan, kerendahan, berhajat dan memerlukan - lalu kita berharap dan bermohon.

Kehidupan adalah perjalanan. Berjalan mendaki atau menuruni. Kemana pun kita melangkah kita memfokaskan laluan dan sasaran. Biasanya laluan dan sasaran itu dinamakan jalan (sirat). Justru, jalan yang menjadi laluan perjalanan kita itu mestilah mudah dan tidak menyusahkan dan tidak pula menyebabkan kita menyimpang atau menyeleweng. Jalan yang kita hajatkan adalah jalan yang benar, mudah dan tepat (sirat al-mustaqim).

Inilah permohonan kita saban waktu. Biar Allah S.W.T bimbing dan anugerah hidayah kepada kita menjalani 'jalan yang lurus' اهدناالصراط المستقيم. Jalan benar dan lurus itu dikenali melalui jejak laluan generasi terdahulu yang telah berjaya merentasi laluan tersebut dengan berjaya dan bergaya - melihat segala cara, tektik, teknik dan strategi mereka lakukan untuk kita meniru (dengan ilmu supaya tidak tertipu atau terkeliru). Teladani juga bagaimana mereka yang gagal berjalan dengan sempurna lalu tersesat dan tersasar dari laluan tersebut.

Laluan perjalanan itulah juga yang diciptakan Ilahi dalam bentuk titian yang merentangi Padang Mahsyar melintasi neraka untuk sampai ke syurga di dalam kehidupan kedua kita di akhirat nanti. Apa yang kita bawa dari dunia dalam bentuk bekalan amalan akan menentukan cara, masa dan gaya kita  berjalan melintasi titian sirat menuju destinasi kehidupan yang kekal abadi -  kekal hidup bahagia di syurga atau kekal hidup derita di neraka!