Pengikut

14 Februari 2009

BELAJAR QURAN KAEDAH MODEN?

Hari ini ketika aku selesai bertalaqqi bacaan al-Quran dengan Ustaz Shukri, kami berbual pendek."Budak-budak yang belajar sistem muqaddam cara moden ni,memang bermasalah dengan cara bacaan yang betul, jenuh nak perbetul bacaan mereka semula. Tak ada seorang pun yang boleh baca dengan betul", kata Ustaz Shukri.

Beliau kelihatan tidak menaruh sedikit pun keyakinan kepada kaedah baru seperti Qiraati, Iqra' dan seumpamanya. Katanya hampir semua kanak-kanak yang pernah belajar asas al-Quran dengan kaedah moden, bila datang kepadanya untuk belajar atau menyambung pengajian ternyata bermasalah. Huruf-huruf tidak dapat dikenali. Hukum-hukum tajwid lintang-pukang...apa pun sistem pengajian cara lama dengan cara mengeja huruf amat berkesan dan mudah dalam proses menyerapkan kaedah-kaedah tajwid, kefasihan dan lain-lain.

Hari ini juga aku dapat rasakan satu kebanggaan yang tak tergambarkan dengan kata-kata.Syukur yang setingginya kupanjatkan kehadrat Allah S.W.T. kerana mempertemukan aku dengan guru al-Quran ini. Ustaz Shukri sebenarnya memiliki bacaan 'sanad' dari gurunya di Damsyik,Syria bertalian sehingga Rasulullah S.A.W. Dua tahun beliau menumpukan pengajian sehingga memperolehi bacaan sanad dari gurunya; yang katanya bertalian sebanyak 27 sanad. Katanya juga di dalam Malaysia ini pun sekarang hanya ada seorang dua sahaja yang mendapat bacaan sanad sebegitu. Wallahu axlam.

Tidak mudah mendapat bacaan sanad. Dia bercerita, dia juga terpaksa membaca Fatihah berpuluh kali di depan gurunya. Sedangkan ketika itu beliau sendiri sudah bertitle Ustaz yang sudah mempunyai murid-murid yang ramai. Jadi tidak hairan dia banyak memperbetulkan sifat-sifat huruf yang setepatnya ketika aku bertalaqqi dihadapannya. Aku suka keadaan begitu. Biar banyak teguran. Sebab belajar melalui kesalahan itulah yang paling efektif. Setakat ini sudah dua kali aku menghadirkan diri untuk belajar. Beliau belum lagi menegurku dalam perkara kesalahan kalimah dan hukum-hukum biasa tajwid. Tetapi aku tidak terlepas dari pengamatannya dalam sifat-sifat huruf. Istixla',istifal, mahmus, tafkhim, tarqiq dan seumpamanya.

Alhamdulillah!! Pertemuan inilah yang menjadi idamanku sejak dari dulu. Terima kasih pada Hj Ghani yang menjadi wasilah kepada pertemuan itu.Tidak lupa kepada sahabatku Md Safar yang turut gigih; bersama-sama saling menyuntik motivasi untuk terus meniti hari-hari untuk bermusyafahah dengan guru al-Quran yang bertauliah hebat itu.

Semoga Allah S.W.T. merahmati kami semua yang telah, sedang, akan dan tetap akan istiqamah meneruskan pengajian sehingga memperolehi ijazah bacaan sanad dari Ustaz Shukri. InsyaAllah!! Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang sabar dalam menuntut ilmu al-Quran ini! Amin

Tiada ulasan: