Pengikut

17 Disember 2008

SAJAK:SIAPAKAH YANG PERNAH MENCANAI BUDI KITA

Kebusukan yang menjijik dimataku
terseradung dihidungmu juga
kerimasan yang nazak didadaku
melantun kehatimu pula
keletihan yang lemas dimindaku
tersadai diemosi kita

Kelopak budi terpejam rapat
hentak kaki kebumi berbekas ujub
sambil mengepak sayap egoisnya
meniup seruling anarkisnya
menggantung kepedulian pada bejatnya moral
kurikulum solat yang terbantut
seawalnya di sekolah rendah lagi
lalu sesekali menjadi abid glokal
kelihatan beradab dengan tuhan
tetapi beraksi samseng
melukai sesama insan

14 Disember 2008

SAJAK: BERTATIH MENJEJAKI CINTA-MU

Tatih mengaji menjinaki liar lidah
memacu qalbi mengenderai pelana amarah
menukuli bongkah ego bengis bergerigis
meludahi nifak berkahak merenin berkudis
meraba digelap relung hati karat berdaki
terkapuk berkepingan noda meranggi

Latih mengkaji menekuni helaian diri
cungkil menguji mencari, santun mengamati
tunas-tunas hidayah yang pernah terkulai
malu bersembunyi masih setia menanti
titis-titis sadar mekar membugar berpaksi
kembali mengenali hakikat nafsi, menginsafi

Letih mengeji lawwamah bermonolog resah
meronta dalam payah menjejaki jenang taubah
tersungkur dalam pasrah mentauhidkan af-al-Mu
menekuni mujahadah menjejaki mahabbah-Mu

14/12/2008

21 November 2008

SAJEN: LAMBAT-LAMBAT PUN TAK MENGAPA

Naik cepat-cepat
kalau lambat tak sempat
turun lambat-lambat
kalau cepat tak dapat

Kalau naik cepat
bilang lambat-lambat
sebab naik lambat
susah mahu dapat

Bila sudah dapat
lambat jadi cepat
jika belum dapat
mudah naik hangat

mudah dapat
hilang cepat

ingat-ingat
ingat-mengingat!!

20/11/2008

SAJEN: SEGALANYA DITANGANMU

Jika mahu memilih ikan
pertama keli kedua siakap
Jika mahu memilih makan
pertama free kedua sedap

Jika ingin memilih rantai
Pertama bulat kedua bujur
Jika mahu memilih santai
Pertama rehat kedua tidur

Jika mahu memilih bini
pertama beriman kedua lawa
Jika mahu memilih lagi
ketiga perawan keempat berharta

9/11/2008

SAJEN:MENEROKAI KEAJAIBAN AKSARA

“a” sinonim dengan lelaki penggoda, katamu:
bukankah boy + “a” = boya (buaya)
ya tak ya juga!!

mmmm…

“i” sinonim dengan wanita menggoda, fikirku:
bukankah girl + “i” = geli

tapi “i” jika dikembarkan dengan man pun betul juga

6/11/2008

SAJAK:AKUR DALAM UBUDIAH MEMIKUL TUGAS KHILAFAH

tempias ganas taufan kapitalis
relai terhambur dalam nazak dengkur
sebuah ideologi akli bernafas abadi
meranggi diatas timbunan belulang Das Kapital
gempar tersungkur menggelupur
seperti semakin genting diasak sindrom penafian
meludahi kahak dari busung sekular
harga kemanusiaan yang sengaja dijaja
dipasaran simpati

perlukah ditunggu lagi
alternatif baru mempromosi kewarasan dalam khayal
sedang dari tunjang sejarahmu yang panjang
tamadun berteras taqwa yang dalam
produk-produk ekonomi teruji oleh keseimbangan
akur dalam ubudiah memikul tugas khilafah
dari kebijaksanaan menggali ketulusan dari keturathan
meraikan keragaman insan dalam kerangka kemuliaan

6/11/2008

13 Oktober 2008

SAJEN: FORMULA MERANSANG SUNYI

Apa lagi kalau bukan cinta
Yang mengikat usia bersama
berdekad lama tanpa sengketa

Apa lagi kalau bukan rindu
Yang kemas membalut cemburu
Masih setia tetap bersatu

Apa lagi kalau bukan kasih
Yang terpancar dihati nan putih
Jemaah berdua menyantuni tasbih

Apa lagi kalau bukan sayang
Balik raya kemudian menghilang
Mengira cucu bilakan pulang

Apa lagi kalau bukan sayu
Nekad hati mahu bermadu
biar ceria meriah selalu

Apa lagi kalau bukan sunyi
Asyik pekena tongkat ali
Teman dimasjid tercari-cari

Apa lagi kalau bukan sepi
anak cucu tidak mengerti

sampai ketika tidak dinanti
dianugerah bayi seorang lagi

13/10/2008

SAJAK: MENYANTUNI HUKUM PERTARUNGAN

dalam tawa yang kian tawar
disangkar sangka yang tegar
cabar yang tercalar menghambur
bertempur di ruang gempur
cermin amanah digilap usah diperasap
jujur dibayangi rekah, tangkupkan
tempur dikudai amarah, serkupkan
nista yang ditebui biar lerai dalam dekah bermakna
sinis bicara sangkutkan dikuluman aura senyum berbisa
bertumit setia menginjat biar kuat menungkat
meski ruas-ruas maruah sembilu berserakan
dianjung pentas sengketa membara
melakuni selamba menyantuni hukum rahsia


13/10/2008

SAJEN: RAYA SEBULAN!

Makan ketupat cicah daging
Perut sendat tak boleh pusing

Raya puasa sungguh hebat
Lihat artis pelbagai bakat
Ada yang tergeletek tergelak kuat
Tak kurang aksi dibuat-buat, meluat
Terlupa kita siaran tertunda
Mereka dah rakam di bulan puasa
Dua bulanlah artis beraya
Maaf kalau silap kira!

Berjuta sms di langit terbuka
Mengirim ucapan penuh bermakna
Yang tua bercerita nostalgia
Yang dewasa menghubung saudara
Yang muda mengintim asmara
Yang kecil mengutip duit raya

Ibu jari pantas berlari
Mengatur aksara bercampur emosi
Ibu sendiri terkadang bersendiri
Anak cucu tidak perduli

Perangat lemang sama serunding
Pagi ziarah petang baring

Cuti panjang masih dirumah
Makan sungguh segala juadah
Lupa diet lupa tazkirah
Timbang terkini kilo bertambah.

5/10/2008

28 September 2008

ARTIKEL: CARA MENYAMBUT HARI RAYA

I’dul/I’dil (Ain kasrah Ya sukun) bukannya aidul/aidil(Ain fathah Ya sukun).
Sumber ambilan perkataan dari surah al-Maidah :114.

Adab-adab menyambut hari raya

1. Menghidupkan malam-malam I’dul Fitri dan I’dul Adha dengan pelbagai amalan soleh. Paling kurang solat Isha’ berjemaah dan Solat Subuh berjemaah. Lebih baik lagi jika di lakukan amalan-amalan yang lain seperti solat rawatib, qiyamullail, baca al-quran, selawat dsb. Sabda Rasulullah s.a.w. “ Barangsiapa yang menghidupkan malam-malam Eid , maka hatinya tidak akan dimatikan pada hari matinya hati-hati yang lain” .

2. Memperbanyakkan takbir mulai jatuh matahari (Maghrib) sehingga takbir Imam bagi solat Eid-fitri. Disurau-surau, dimasjid-masjid, di jalan-jalan dan juga di pasar-pasar. Berjalan dari rumah kerumah dan bertakbir membesarkan Allah s.w.t. (Ada usaha yang dilakukan oleh beberapa orang yang menaiki bas mengelilingi Bandar Alor Setar dan bertakbir diserata jalan/lorong – ini suatu usaha baik menghidupkan sunnah yang harus disokong, dikembangkan dan diteruskan)

3. Memakai pakaian baru. Ianya mengambarkan suasana diakhirat juga yang memperlihatkan orang yang mempunyai dana yang lebih akan membeli pakaian yang lebih baik, lebih bagus, lebih mahal; membeli perabut dsb. Manakala orang susah akan mengadakan persediaan secara seadanya saja. Begitulah juga suasana diakhirat nanti atau lebih tepatnya disyurga nanti yang akan memperlihatkan sesiapa yang memiliki pahala yang banyak akan mendapat lebih ketinggian dan kesempurnaan yang dianugerahkan Ilahi kepadanya. Boleh menggunakan haruman yang lebih kuat untuk lelaki dan haruman yang lembut bagi perempuan sekadar disedari oleh orang disebelahnya saja. Ada dua kegembiraan yang akan dikecapi oleh mereka yang berpuasa. Pertama ketika berbuka dan ketika bertemu Allah kelak. Maksud berbuka 2 makna: Pertamanya ketika iftar dan keduanya ketika dipagi raya.

4. Makan dahulu baru pergi kemasjid pada I’dul Fitri dan sebaliknya Idul adha pergi masjid dahulu, makan kemudian. Disunatkan makan dulu dengan buah kurma sebab mengikut sunnah ada 3 keadaan makan kurma itu akan menjadi ibadah. Pertama ketika iftar, kedua ketika sahur dan ketiga pada pagi Eid.

5. Keluarkan fitrah . Tujuannya membersihkan amalan dan meningkatkan pahala dan keduanya adalah untuk memberi keseronokan kepada fakir miskin. Ada 5 hukum masa keluar fitrah. 1 hingga 30 Ramadhan – harus. Malam raya sehingga Subuh- Wajib. Pagi raya sehingga takbir Imam – sunat. Lepas solat raya sehingga jatuh matahari 1 Syawal – makruh. Masuk hari kedua Syawal dan seterusnya adalah haram. Keluarkan fitrah dengan makanan asasi adalah mengikut mazhab Syafie, Maliki dan Hambali. Manakala keluarkan nilai wang adalah mengikut mazhab Hanafi. Keluarkan fitrah dengan nilai wang yang sesuai dengan beras yang kita makan. Jika 1 kilo RM3 keluarkan RM10.00 dan kiaskanlah. Sebab kerajaan menetapkan kadar yang minima bagi kebanyakan orang. Jika hendak sempurna tunaikan fitrah mengikut kedudukan masing-masing.

6. Pergi ke masjid ikut jalan lain dan pulang kerumah ikut jalan lain pula. (Sekarang budak2 saja yang ikut sunnah ini sebab nak dapat habuan duit raya yang lebih).

7. Bersalam-salaman sesama jantina dan mengucapkan tahniah serta ucapan selamat hari raya.

8. Mandi sunat hari raya.


Beberapa petikan:

Andaikata manusia mengetahui apa yang Allah berikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka akan senantiasa mengharap-harap untuk berada dalam bulan ramadhan itu sepanjang masa – mafhum hadis.

Hari raya kepada orang muslim ada 3. Eid Fitr, Eid Adha dan Hari Jumaat.

Hari raya yang sebenar bukannya mempersiapkan dengan pakaian baru tetapi keasyikan hati ketika bermunajat dengan Allah. – kata arifin billah.

Orang muslim awam akan bergembira dengan dua kali hari raya tetapi orang arif billah menikmati hari raya sepanjang masa ketika hampir dengan KEKASIH mereka.



Petikan dari tazkirah Ramadhan (Zohor)
Sheikh Aminuddin Abd. Rahim
Masjid al-Bukhari
28/9/2008

ARTIKEL: PENDIRIAN TERHADAP ISU SEMASA DALAM NEGARA

Kenyataan Media

21 Ramadhan 1429H / 21 hb September 2008

Kami mengambil perhatian serius terhadap perkembangan politik semasa dalam Negara . Dengan percaturan dan persaingan yang sangat sengit diantara parti politik sekarang kami sangat prihatin terhadap masa depan dan prospek perubahan yang diinginkan oleh rakyat jelata yang semakin menyerlah.

Kami menginsafi betapa sistem pemerintahan yang sedia berjalan di Negara ini adalah sistem yang sedemikian lama berlanjutan dari peninggalan penjajah sejak 51 tahun yang lalu.

Sistem pemerintahan ini telah mengekalkan model yang diperkenalkan oleh penjajah. Ia telah meliputi berbagai aspek ketatanegaraan dalam hampir semua bidang kehidupan rakyat : pendidikan , ekonomi , sosial , budaya , politik , undang-undang dan sistem kehakiman , pentadbiran , teknologi dan pembangunan.

Berasaskan corak dan jenis pembangunan yang digunapakai di Negara ini termasuk soal penggubalan dasar dan mekanisme perlaksanaan dasar Negara , kami merumuskan sistem pemerintahan sekarang sejak 51 tahun yang lalu adalah sistem yang maseh menggunakan paradigma yang sama seperti yang diujudkan bermula zaman kolonial lagi.

Menggunakan premis ini kami meneliti perjalanan pembangunan dan pemerintahan Negara . Jelas dalam banyak hal ia telah diwarnai dan dicorakkan oleh sebuah sistem politik berdasarkan kepentingan kaum yang sempit , terpisah dari asas dan nilai kebenaran dan keadilan dalam Islam . Pada realitinya sistem ini hanya menguntungkan segelintir golongan elit berkepentingan dikalangan kaum masing-masing .

Sementara itu sistem pemerintahan yang lebih bersifat sekular iaitu pemisahan antara negara dan syariat Islam menjadi ciri yang dominan dan dikekalkan sehingga hari ini.

Sejak dari 1957 kewujudan parti politik berdasarkan kaum telah memberi pengaruh kepada corak dan dasar pemerintahan yang diamalkan dalam berbagai aspek pembangunan.

Namun walaupun acuan perpaduan antara kaum cuba dipupuk , sikap chauvinis melampau yang sempit dan berakar lama dalam sistem politik yang ada sering mendedahkan negara kepada potensi pertembungan dan konflik antara ras dan antara agama.

Kami juga meneliti bahawa berdasarkan perkembangan dan perubahan besar yang telah berlaku pada pilihanraya ke 12 yang lalu , jelas menunjukkan semakin ketara angin perubahan untuk menuntut reformasi sistem politik yang sedia ada di Negara ini.

Dengan kesedaran , bahawa sementara kejayaan yang dicapai dalam Negara berbilang kaum dan agama ini secara relatifnya boleh dibanggakan , namun berbagai kepincangan yang telah berlaku terlalu lama dalam sistem pemerintahan yang sedia ada telah menghakiskan keyakinan rakyat. .

Kepincangan itu termasuk soal penyelewengan dalam guna kuasa , monopoli kekayaan , pembangunan yang tidak seimbang , politik sogok dan opportunisme , salahguna sumber dan khazanah Negara , dasar pengswastaan yang mengkayakan kroni dan penggunaan kuasa keselamatan untuk menyekatkan kerasahan rakyat .

Kepincangan tersebut pada hakikatnya adalah berpunca dari amalan budaya feudal dan patronisme yang dijadi asas pencaturan dikalangan politik elit dalam Negara ini. Lebih parah lagi ia yang membiakkan amalan rasuah , kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran negara.

Kesan yang parah kini ditambah burukkan lagi dengan terheretnya Negara dalam kancah krisis ekonomi yang menyebabkan rakyat bawahan sedang melalui kehidupan yang perit dan semakin tertekan.. Salah urus dan lemah dalam menggariskan ekonomi untuk manfaat rakyat terbanyak , telah menghumban Negara kepada kelesuan dan porak-peranda ekonomi

Dipihak yang lain pula polisi yang digubal dan dilaksanakan oleh pemerintah kelihatan terus memburukkan lagi keadaan sehingga implikasi negatif mulai dirasai oleh rakyat .

Dampak sosial akibat kepincangan ini semakin kelihatan dalam bentuk penambahan kadar jenayah yang meningkat terus-menerus dan gejala sosial yang meruncing. Ini mengakibatkan Negara berhadapan bukan sahaja dengan krisis ekonomi malah krisis juga kepimpinan yang serius. .

Berlanjutan dari itu , pemerintahan yang ada kini dijangkiti dengan berbagai penyakit ketidaktelusan serta penyalahgunaan kuasa yang melibatkan salahguna wang rakyat , pencerobohan kepada institusi kehakiman , pengkhianatan kepada budaya dan bahasa bangsa , keruntuhan akhlaq dan terongkainya sosio-budaya umat termasuk semakin terjejasnya penghayatan Islam dan syariah dikalangan masyarakat Muslimin.

Sebagai akibat jangka panjang , kedudukan agama dan bangsa kini sering berada dalam keadaan tidak menentu dan terdedah kepada tekanan dan cabaran dari pihak yang mahu mengikis dan mempersoalkan hak dan wibawa umat Islam itu sendiri.

Semua hal ini telah menyebabkan kami merumuskan bahawa sebuah perubahan besar dan holistik perlu dilakukan segera jika rakyat mahu menyelamatkan dan menjadikan Negara ini sebagai Negara contoh dan disegani.

Kami berpendapat perubahan yang mendesak yang perlu segera dilakukan ialah perubahan dalam sistem pemerintahan. Ini bukan semata-mata dalam isu peralihan kuasa akan tetapi juga suatu anjakan yang jelas dalam tadbirurus (governance) yang menetapkan pembangunan negara berlandaskan kebenaran dan keadilan mengikut Islam.

Dalam hal ini kecenderungan pemikiran dan sikap politik rakyat kini jelas menunjukkan kesedian untuk menerima dan menyambut perubahan. Desakan kepada perubahan ini menjadi sangat ketara bila majoriti rakyat mengikut survei sebuah badan kajian bebas , Merdeka Center bersetuju supaya peralihan kuasa dilaksanakan.

Akibat dari kehilangan keyakinan yang semakin menonjol terhadap kepimpinan maka kami berpendapat demi kepentingan Negara , sudah tiba masanya untuk pemerintahan yang sedia ada menghormati kehendak rakyat yang menuntut kepada perubahan yang lebih murni dan tulin.

Kami merumuskan bahawa sebarang peralihan kuasa yang mungkin dan bakal berlaku tidak boleh dilihat sebagai suatu petaka dan gugatan kepada keamanan dan keselamatan Negara. Asalkan perubahan itu dapat menjaminkan segala prinsip kebenaran dan keadilan berdasarkan tuntutan Islam sebagai dasar tidak dikompromikan .

Kemelut politik dalam parti dan antara parti yang kini semakin tegang perlu segera diredakan dengan mengujudkan kembali kesepakatan nasional berdasarkan tuntutan Islam. Kami tidak akan bertolak ansur dengan politik opportunis dikalangan ahli politik yang hanya mementingkan diri untuk mengaut keuntungan dan kesenangan atas penderitaan rakyat.

Kami percaya jalan keluar kepada kemelut politik yang ada kini hanya boleh dirongkai dengan meletakkan asas yang betul dan tepat berteraskan formula Islam untuk semua pihak yang berkenaan mencapai suatu kesepakatan yang murni.

Pendekatan formula Islam dalam semua aspek berasaskan maqasid syar’iyyah untuk menjaga agama , akal , nyawa , harta dan keturunan perlu diaplikasikan jika hak rakjyat hendak diperjuangkan.. Jika parti-parti politik merujuk kepada kuasa sebagai sebuah amanah untuk menegakkan agama dan menguruskan politik didunia ini kami yakin kemelut yang berlaku dapat diselesaikan.

Untuk itu kami menggesa supaya pemimpin-pemimpin politik dikalangan umat Islam memberi perhatian kepada pendirian dan tuntutan kami seperti berikut:

Kami mengesa semua pihak bersikap rasional dan menerima baik perubahan yang dituntut oleh rakyat agar ketelusan , intergriti serta hak dan tanggungjawab bersama untuk membangunkan Negara ini tidak tergadai oleh kepentingan peribadi.

Kami juga menuntut supaya peralihan dan perubahan pemerintahan yang kini menjadi isu besar Negara ini hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat dan berhemat demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Persetujuan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang disepakati sebagai kerangka membentuk dan membangunkan negara ini hendaklah dihormati . Tindakan mencabar dan mempersoalkan hak dan kedudukan kaum pribumi dan umat Islam di Negara ini perlu dihindari.

Kami juga mengingatkan bahawa berasaskan komposisi pendudukan negara ini bahawa majoritinya adalah Islam maka perwakilan yang menganggotai Dewan Rakyat serta barisan kabinet kerajaan hendaklah terus menggambarkan komposisi tersebut demi menjaga kestabilan dan keharmonian negara ini.Penggunaan kuasa dan undang-undang hanya untuk mempertahankan kedudukan dan kepentingan peribadi dan kelompok hendaklah ditolak.

Kami tidak dapat menerima sebarang pendekatan menggunakan kuasa untuk menyekat hak individu dan kelompok diluar yang dibenarkan undang-undang yang sah dan adil.

Kami menolak ugutan mengguna kuasa dan memprovokasi rakyat yang menimbulkan tindakan diluar batas undang-undang.

Kami berpendapat bahawa kepimpinan parti politik pemerintah di negara ini tidak harus terlalu ghairah untuk mempertahankan kuasa secara tidak demokratik sehingga menyebabkan rakyat kehilangan fokus dan keyakinan terhadap agenda yang hendak dibawa untuk membela nasib rakyat. Pihak yang mahu mendapatkan kuasa dan pihak yang ingin terus kekal berkuasa perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.

Kami menolak pihak yang menggunakan politik fitnah dan politik wang untuk merebut jawatan.

Kami juga menuntut mereka yang telah berkuasa selama 51 tahun menerima dengan jujur kemahuan yang kuat dikalangan rakyat untuk menuntut perubahan pemerintahan .

Kami mengesa agar semua pemimpin Islam dikalangan organisasi politik dan NGO bersedia mengujudkan kesepakatan yang murni untuk menghadapi cabaran yang sedang mendepani umat . Perselisihan pendapat dan pegangan pemikiran politik antara pemimpin hendaklah tidak sampai merosakkan keutuhan kesatuan umat yang sangat perlu diperkukuhkan.

Kami menekankan bahawa perhubungan kaum di negara ini hendaklah berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan yang dituntut oleh Islam berasaskan panduan Al Quran ” Wahai manusia sesungguhnya kami ciptakan kamu dari jenis lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berpuak-puak untuk saling berkenalan . Sesungguhnya yang paling mulia dikalangan kamu adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui ( Al Hujurat : 13) . Kami mengesa agar sikap fanatik dan chauvinis kaum hendaklah ditolak.

Kami menuntut agar seluruh sistem perundangan yang telus dan adil hendaklah ditegakkan. Institusi kehakiman yang berintegriti dan bebas dari campurtangan kuasa Eksekutif hendaklah dijamin untuk memastikan keadilan dipertahankan. Kezaliman atas nama keselamatan yang diguna untuk mempertahankan kuasa hendaklah ditolak samasekali.

Kami mendesak semua pihak media massa memberhentikan pelaporan yang semakin menegangkan suasana politik negara bila terdapat media arusperdana yang cenderung menyiarkan kenyataan-kenyataan yang menambah-burukkan lagi krisis yang sedia ada dan terus mengadu-domba antara parti politik yang mengakibatkan rakyat semakin keliru..
Untuk menghadapi gejala fitnah-menfitnah yang kini sangat berleluasa kami mengingatkan seluruh umat Islam kembali kepada pedoman Al Quran “Wahai orang-orang yang beriman , sekiranya datang kepada kamu orang-orang yang fasiq membawa berita maka selidikilah agar kamu tidak akan mencelakakan sesuatu kaum kerana kejahilan yang akhirnya kamu akan menyesal diatas perbuatan kamu tersebut” ( Al Hujurat : 6)
Disamping itu kami menuntut agar semua pemimpin-pemimpin politik mengelakkan diri dari membuat kenyataan-kenyataan yang saling menuduh yang boleh memburukkan lagi konflik antara umat Islam.

Kami berpendapat bahawa krisis ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara sekarang harus dianalisa secara objektif dan ilmiah , bukan dengan menuding jari dengan melulu kepada seteru politik. Seluruh pengurusan ekonomi dan dasar ekonomi yang digunapakai selama 51 tahun itu perlu dikaji semula kerana secara jelas Malaysia sememangnya mengamalkan ekonomi pasaran bebas dan liberal yang bersifat kapitalistik. Analisis terperinci (melibatkan semua dasar fiskal iaitu penentuan kadar faedah , asas perbelanjaan dan dasar pertukaran matawang ) untuk membentuk sistem ekonomi alternatif yang lebih manusiawi yang berpaksikan keadilan menurut kehendak Islam perlu dibangunkan.

Kami mengharapkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agung segera campur tangan dalam krisis politik yang meruncing ini dan menggerakkan usaha untuk mempertemukan semua pemimpin-pemimpin politik agar mencari jalan keluar yang terbaik demi kemuliaan agama dan kelangsungan survival bangsa.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

Disokong oleh :
Syeikh Abu Bakar Awang
YDP Persatuan Ulama Kedah
Hafiz Mustaffa Lubis
YDP ABIM Kedah
Ahmad Tarmizi Sulaiman
Setiausaha Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah (ISRA)
Dr. Hasbullah
Jamaah Islah Malaysia , Kedah
Dr. Abdul Rahman Ahmad
Wadah Kecerdasan Umat , Kedah
Ust Aizuddin
Pengerusi Badan Bertindak Menangani Gejala Sosial , Sg.Petani (TEGAS)
Shahrizan Sazali
Pengerusi Ummah Aid
Aziz Man
Persatuan Warga Desa Kedah
Masadah Sajadi
Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia

AMALAN: HINDAR SIHIR

21 September 2008

SAJEN: TIDUR SIANG DIBULAN PUASA

Tidur siangnya yang panjang
Biarkan saja
Kerana dia berkira mahu berpuasa
Pada tingkatan lebih sempurna
Justru mata hidung mulut telinga
Terpelihara

Tidur malamnya serupa juga
Kerana sudah terlebih lena

Puasanya diharap jadi perisai
Sehebat wajahnya yang kian kemasai

21/9/08

SAJEN: MASIH SETIA DITAKUK LAMA

Kelihatan hebat cukup berani
masih setia fobiakan bini
seperti dulu-dulu juga
mengorek hidung menggerdi telinga
kalau benar tidak gentar
jangan biarkan kaki menggeletar
mulut yang mencabar
mesti seutuh jiwa menggegar
pasti sungguh tidak terjejas
hairannya tetap berhempas-pulas

dia kudengar asyik berbicara
masih kulihat dia terleka
apa yang mampu aku berkata
kalau begini apa sudahnya

16/9/08

12 September 2008

SAJAK: PELEPAH NYIUR PELEPAH PISANG

Pemimpin pelepah pisang
biar kering meleweh dibatang
susahnya menjejak bumi
kalau belum diparang, pantang
menyampahi dimata perdulikan
bawakan saja bertenang
malam ini pelepah mana lagi
akan patah mengecut mengapuk juga
ditarik tetap sama meliat
jatuh alamat tamat

Pemimpin pelepah nyiur
melambai bebilah amanahnya
julur menghulur
erat menggalas tandanan
menahan kembang bebuahnya
hingga menguning kering terkulai
tak usahlah ditahan dijerkahi
kerana aku pasti sekali
turun sendiri
mengerti

10/9/2008

CERIKA: HANTU PUN TAK TAHAN!

Tak larat dah! Letih sangat. Udah le letih kerja. Balik rumah bertambah-tambah letih dengan radio yang volume sebelah perlahannya dah rosak tu. Ada saja ceramah yang bersiri. Ada saja syarahan yang tak selesai-selesai...

Member ada buat cadangan bila dia sms malam tu. "Buang saja kat perigi, belakang kampung tu!!". "Hoi, kau giler ke!! ini bini aku le, bukan tayar buruk! tak kan ler nak main buang-buang jer!?" "Abihtu! kau minta cadangan! Itu ler cadangannya!!" Membernya merespon.

Bungkam. "Sekali fikir bernas juga cadangan tu. Sebab aman sikit rasanya rumah ni!! dah le anak pun tak ade." Tanpa buang masa malam berikutnya dia bertindak. Nekad. Berjaya juga dia sudahnya buang "radio buruknya" kat perigi tu. Padan muka!! He...hee

Malam mula tiada bini...wooww!! aman terasa. Tidur dengkur penuh nyaman.

Malam kedua...eh..apa yer yang kurang ni..mana le radio buruk aku tu...apa dah jadi agaknya yer!? Sunyi.. kalau dia ada tak le aku sunyi mcm ni...

Malam ketiga... tak jadi ni!! aku kena pergi ambik balik.. sampai di perigi, buang tali ke bawah..tarik dan tarik... tetiba yang naik makhluk yang berbulu-bulu. "Hoi! naper le engkau yang naik hantu, aku bukan nak engkau aku nak bawa balik bini aku .."
Ooh!! itu bini kau ke! kenape le kau tak ndak datang ambik awal sikit, dah letih aku dengar ceramah dia dua tiga hari ni!!

9/9/2008

SAJEN: NENEK YANG SELALU SIBUK

Kasih datukku yang damai
Ranum di hujung julai

Nenek menghayun buai
Menantu lena awai

Datuk selalu kata
Nenek sibuk sentiasa

Nenek kerumah menantu
Mahu melihat cucu

Datuk kekedai janda
Minum kopi berganda

Nenek tidur diluar
Panas menyambar-nyambar

Datuk terbatuk-batuk
Mahu lena tidak ngantuk!

8/9/08

CERIKA: JANGAN JOLOK!

Budak tu memanglah! Rebus pun tak mau empuk punya !! Kat rumah tu dah berbuih-buih mulut mak dia. Siapa pun dia tak heran...nak rotan, rotanlah! nak pukul? alaah..setitik air mata pun tak jatuh!! Apa yang dia tak buat...ligan ayam, terebe burung, curi buah moktan, ndap anak dara, isap rokok...pendek kata tangan dia tak pernah dok diam!!

Tapi dengan Pak dia. Habis. Kena tibai dengan kayu getah sampai lembik..kena rejam dalam air sampai dekat nak nazak..kena hempas ke kaki tangga sampai patah (tangga le!)...dia memang taku sangat kat Pak dia. Sekali Pak dia jeling, dia tak meretek !!(x berani dah!).

Satu petang Pak dia bawa pi surau. Ada la 5 orang jemaah. Pak dia letak betul-betul belakang Tok Imam.(Manalah tahu berkat Tok Imam dia akan berubah).

Sekali bila Tok Imam bangun dari rukuk, kain dia masuk kat dalam punggung sikit.(Orang tua mana pakai underware). Bila budak ni nampak, dia pun tarik kain tu keluar..(tangan tak tau dok diam ni kan). Tok Imam still relax macam tak dak apa-apa yang berlaku. Budak tadi menjeling Pak dia...Pak dia bulatkan mata luas-luas, marah! Mau tak mau budak tu kena la jolok balik kain masuk ke punggung Tok Imam...ooop!!terloncat le Tok Imam kali ni...

14/8/2008

CERIKA: BOM JEPUN

Al-kisah diceriterakan akan kisah benar di daerah utara ini beberapa ketika selepas merdeka.

Adapun memanglah sudah termaklum bahawa Jepun pernah menguasai Semenanjung Tanah Melayu satu ketika dulu. Maka banyaklah bom-bom yang ditinggalkan bersepah-sepah merata lokasi. Ada yang dah meletup dan banyak lagi yang belum.

Satu hari al-Fandir Ngong sedang mencangkul-cangkul akan kawasan dihujung kampongnya. Tiba-tiba terjumpa dia akan bom Jepun. Ukurannya besarlah juga. Maka jadi tak keruanlah akan siFandir Ngong itu. Apa sebenarnya mahu dibuat dengan bom tersebut? Dia pernah teringat akan satu ketika ada seorang kawannya terjumpa bom macam itulah juga lalu merepotlah ia kepada ke Balai Polis berdekatan. Kemudiannya datanglah sekumpulan orang yang yang entah siapa berpakaian seragam lalu dibawa naik teraklah akan bom itu...

Ah!! lambatlah mahu repot ke balai ni! fikir si Fandir Ngong lalu mengambil bom Jepun itu. Diletak ke dalam raga Honda 70 nya dan diajaklah akan anaknya yang baru 5 tahun itu ke balai polis. Tentulah anaknya yang masih kecil itu diletak sebelah depan dengan memijak akan bom Jepun itu. Maka bergerak-gerak jugalah bom itu dalam raga motosikalnya tetapi selamatlah juga dia tiba didepan balai polis yang lebih kurang 10 KM itu. Terbeliak mata beberapa orang polis yang bertugas kat depan kaunter. Apa bendanya tu???

Si Fandir Ngong dengan penuh bangga memegang akan bom Jepun yang bogel itu lalu diletakkan dia diatas kaunter..Nah! saya jumpa bom!!..

Prumm..semua polis yang ada kat situ meniarapkan badan masing-masing...

Apa dah jadi ni? fikir si Fandir. Aku nak nak serah bom pun dia orang main sembunyi-sembunyi. Selang beberapa minit ada pegawai polis berpangkat mendekati bom itu...awat yang hang mai hantaq bom ni!? pasai apa tak mai bagitahu..kami boleh pi tengok!! hang tau dak kalau meletup bom ni hang dengan anak hang kami kena pi kutip di sempadan Siam nu!!? ih..ih..ih..

Naik pucat muka si Fandir Ngong hari itu. La! macam tu ka...

(cerita x-file yang belum pernah didedahkan orang)

10/8/2008

CERIKA: FAHAM DAN KEFAHAMAN

Aku pun naik heran. Apa kena dengan murid aku yang sorang ni!! Program motivasi yang diatur ni hanya separuh hari saja..pukul 12.30 tengahari semua waris boleh ambil anak balik rumah..

Bukan ke surat dah diberi..yang mak bapak pun takkan le tak faham kut...kalau program separuh hari mana ada program solat sebab sebelum zohor dah boleh belah!!

Aku tengok dia bawa satu beg. Bila ditanya amenda yang kamu bawa ni? Dia jawab:telekung. Ha ! telekung?? Siapa yang suruh bawa?? Mak!

Kamu tahu ke tidak program motivasi ni separuh hari saja? Tahu...jawabnya selambe..

Habis kenapa yang kamu bawa telekung ni...mak kata ada solat kat surat yang cikgu beri tu!!

Ha...biar betul!! Aku terus ke kereta ambil surat dan belek-belek kembali ..

oooo!! Slot 1 dan Slot 2. ...Slot daaa !! camne yang mak dia faham kata Solat!!

3/8/2008

07 September 2008

SAJAK: MERABA MENCARI DIRI

Meniti malammu didada para auliya
adalah jernih mutlak rasa memesrai cinta
hanyut dizauq rindu menenggelam darjat hamba
syahdu digema bibir sayup mengasyik
bertangkup syahadah pada makrifah Ilahi
saban dinihari berteman tadahan jemari
percikan lautan barakah dan maghfirah
menyantuni kalam suci dengan papahan rasa
tasbih yang dalam merendam mazmumah
silauan dijernih sendu meresahi sesal
istighfar yang masih bersisa diruang harap
menghimpun khauf yang saling bertangkup
di anjal degup hati yang basah dengan zikrullah

terus juga aku bertatih melubangi ananiah
mengheret sadar dibayang kasih Ramadhan
mengintai percikan cahaya mengusap rahmat
menjenuhi sujud mengusap wajah taubat
meraba mencari diri menagih cintaMu rabbi!

7/9/2008

SAJEN: MimP PP

Ayah PiPi bermimpi
Anak PiPi kembali
Ibu PiPi melamun
Anak PiPi ke parlimen

PiPi menang lagi
PiPi kembang lagi
PiPi undang lagi
PiPi bangkang lagi

Abang PiPi marah
Kawan PiPi bertambah
Abang PiPi pasrah
PiPi pandai berhujah

Bila main panah
Berpijaklah atas tanah
Usah telan ludah
Bila sudah menyerah

PiPi jadi nakhoda
Cantum layar terbuka
Kembali redah samudera
Dengan jiwa medeka

27/8/2008

SAJEN: HARI INI KITA JERITKAN LAGI SUARA ITU

Hari ini kita turun padang
Dengan jiwa tenang
Jerit-laung bersipongang
Kita watan terbilang
Warisan penuh gemilang

Dulu kita pasang bendera semua motor kereta
Kini jatuh merabak patah merelai perdulikan saja
Kita tetap anak merdeka selama-lama
Kental kita dengan patriotik
Kenyal dengan simplistik

Saf pemimpin yang bergaya
Rakyat yang mengulum setia
Biar mengikat perut berbarut
Jangan jadi tali barut
Biar makan berkuah airmata
Mesti akur dipertikai tiada
Bumi ini milik kita
Kita pertahankan sampai akhirnya

Kita wakil yang dilantik
Berhujah kita jangan serik
Bahasa biar muluk dan cantik
Asal menarik tertarik bombastik
Biar jelas kaca dan plastik

Mereka dapat pulau kita miliki batu berbatik
Kita tetap abang sulung biar ditolak adik lima beradik
Sebab pencanang media pasti mengedit merealistik
Nama gah merata berwajah ceria walau tanpa botox disuntik

Biar disana telah ada persimpangan
Untuk kita membuat pilihan
Kita pasti pertahankan mandat
Ini sumpah (lagi) keramat berdaulat

Ramai yang berkata yang bergerak-gerak itu katak
Namun kita yakin ianya burung
sekali dihalau ia melompat
lompat pun ia tetap burung!!

31/8/2008

SAJEN: PAGI KE PASAR PETANG KE BAZAR

Pagi ke pasar
Petang ke bazar
Malam membazir

Kitab resepi bertimbun
Segala chef berhimpun
Guna index tersusun
Masak tak pernah pun

Tika berbuka berkerumun
bermacam juadah bertambun
solat Tarawih melamun
imam dah duduk dia masih bangun

Pagi pasar
Petang bazar
Malam bazir

Hari awal azamnya hebat
Khatam Quran sebulan tamat
Bila baca mata tersumbat
Sebab perut padat menyendat

Mahu sedekah masjid dan surau
Dah campur bonus income tak risau
Naik hypermarket melilau-lilau
Dua trolley penuh tangan masih menghanggau
Bahagian fitrah jangan kacau
Barulah baki rasa nak pantau
Niat yang baik tak tercekau
Terpaksa pecah tabung nak beli tembakau!

Pagi ke pasar
Petang ke bazar
Malam membazir

2/9/2008

27 Ogos 2008

SAJAK: BULUH DARI BENIH REBUNG BERAURA

Buluh itu
Ruasnya belum terjengkal
Bukunya masih mencengal

Benih rebung beraura sumpahan laksamana
Teras dupa diratib pertapaan empat purnama
Tusuk tunjang kedasar pucuknya lurus melangit
Tunggul membatu menggerigis gerit melilit
Cantas tunas seperiuk rebung diperasap
Dicangkul akarnya masih basah meruap
Rintis ranting diperunggun asapnya menikam ulu mata
Bahang miang meledak roma latah menyinga

Ruasnya belum terjengkal
Bukunya masih mencengal
Buluh itu

28/7/2008

SAJAK: TENGGELAM

pancutan rindu mendamai taman resah sewaktu galak ikan dan berudu menggeletek liar pinggiran hati yang rontanya kian menjadi tatkala suria merendam sendu nan dalam dihujung penantian yang panjang ketika kekasihnya tiba-tiba hadir dalam jubah kesyahduan …..


26/8/2008

SAJEN: RIUH

Gemerincing loceng-loceng
meleding cacing-cacing

tuding-menuding
pusing-memusing
sinting-menyinting
tungging menungging
saling-mengguling
kerling-menjuling
bising berunding
pancing keliling

anjing kucing berdamping
membanting digenting
terumbang-ambing berculang-caling
samseng bertaring kencing mengharing
berguling-guling terbaring pening
runsing bertanding

24/8/2008

13 Ogos 2008

SAJAK: MERAUT BUDI MENJALIN BAHASA

Kita belajar bahasa
bukan sehari dua
meniti dari nyanyian ibu
tatihnya berirama
hingga menulis mengarang
salahnya merata
terpaksa juga ternganga
mengadap guru BM lama-lama
dan tuisyen berjela
namun fahamnya tak seberapa
angguknya saja yang mengada.

Siapa pula yang mengajar kita subjek budi
sukar sekali ditelahi
cuma leteran ibu saban hari
dan ayah sesekali membulatkan mata
ustaz yang memulas telinga
dan Guru Disiplin yang mengetuk kepala
dalam geram dan akur
kita terus membesar
bersama budi
bersama bahasa

Kita kenal budi dari baik pekerti
Kita kenal budi dari sopan peribadi
Kita kenal budi dari akhlak yang tinggi.

Budi-bahasa itu hati
Budi-bahasa itu personaliti
Budi-bahasa itu lakonan dan aksi

Contoh apalah yang boleh diteladani
kalau terkinja-kinja dipentas hiburan
memangkas perdu moral spesis insan
mengumpan simpati menangguk kesempatan
senyuman manis berbaur kepahitan

Biarlah kita belajar budi dari akar budaya
Menutur bahasa sopan ikhlas dari bibir terbuka

Melentur peribadi dari hukum dan akhlak murni
dari ajaran Kitab Suci dan Risalah Nabi
kitalah anak-anak wawasan sejagat
budi bahasa menjadi hiasan terhormat
melakar masadepan dengan azam keramat
mengangkat martabat bangsa berdaulat !!

11/8/2008
(edit dari edisi asalnya sebuah nukilan sajak untuk anakku darjah 3 yang mahu mendeklamasikannya di perhimpunan pagi sempena Minggu Budi dan Bahasa)

SAJAK: PELANGI HITAM

Masih adakah lagi kesempatan
Melihat cahaya di dalam kegelapan
Terlalu lama terhoyong-hayang tanpa sirna
Dalam kealpaan ruang pekat berhantu
kelam disaluti gelap berbucu
mengatur langkah prasangka
selangkah demi selangkah
bagaikan bertatih di paksi kerikil
bertebing ngeri
curam dan dalam

Ada ketikanya tersasar juga minda
Mencari cahaya di dalam cahaya
Justeru terpesona pada kalimat indah
Yang pernah ditemui para aulia
akhirnya tewas tertipu juga
kerana syaratnya yang tidak terlaksana
dan waridnya yang terdinding berjelaga
kebuasan nafsu tanpa jenama
tewas di pentas sandiwara
pertarungan tanpa gencatan
berlarutan

Cuma penyair tua itu
Masih setia melihat lakaran pelangi
Yang berubah saban hari
Tinta hitamnya yang semakin kering dan pudar
Dan hatinya yang kian membungkam
Ada waktu-waktunya kini
dia seperti melihat
pelangi sudah berwarna hitam.

4/8/2008

SAJAK: KERIS

Kemenyan mesra setanggi liar berlintuk
Diperasap limau sintok disembilan luk
Hangit darah hitam masih berbekas dilekuk
Mercik muntah hanyir petualang tampung bertampuk

Tiada onar mahu ditempah dipersada sengketa
Tiada cabar mahu dijual dianjung baginda

Ulunya yang usang bergerigi berliang curang
Rentak tikamannya sudah sumbang melintang

Biar diganti teras buluh tidak berbuku beruas tiga
Libasan juang perwira tanjak laksamana
Disarung baru dari tempa kursani ternama
Biar bisanya terpercik mengancam segala.

13/8/2008

11 Ogos 2008

SAJEN: AKU HANYA DREBAR

Aku hanya drebar
Lulusan tak seberapa
Tingkatan tiga sekolah lama

Kata majikanku
Dressing mesti utama
Tutur kata mesti jaga
Belajarlah tiru-tiru saya!

Dia penyarah handalan
Kerap terima jemputan
Lontar bicaranya memukau
Selangseli falsafah dalam gurau
Pantun seloka cetusnya bersahaja
Senyum tawa sinis bermakna

Ceramahnya tak pernah ku lepaskan
Duduk menyerangguh dikerusi penghabisan
Kalau aku punya kesempatan
Tiada masalah sesekali kehadapan
kerana aku drebar hebat
10 tahun sudah berkhidmat

Sekali peristiwa disebuah sekolah
Majikanku kecemasan tak boleh berceramah
Diminta aku beri mukaddimah
Nanti disambungnya ditengah-tengah

Siapa sangka persembahanku yang hebat
Semua audien tertumpu minat
Maklumlah “pensyarah berbakat”
Sehingga majikanku dibelakang terlopong bulat
Tak siapa sedar aku “kakak tua” berkarat!

Sampai akhirnya dihujung majlis
Soalan ditanya tidak bertapis
Kali ini terbongkar habis
Gementar dada bergerak kumis

Teringat majikan berpesan jangan gelabah
pamirkan kekuatan jangan mengalah
kataku: oh!! Ini soalan mudah!
“drebar” saya kat belakang tu
akan respon semua masalah!!

(karya untuk e-sastera.com - sajen)

SAJAK: RATIB NAFASNYA

Sepi menjadi ganas
menggulung taufan kepedihan
Sayu kian mencengkam
menghiris ulas kenangan

Senyum terlalu hambar
menahan busungan luka
Tawa semakin sukar
dipenjara gerigi nestapa

ternganga menunggu takdir
meratapi setimbun noda
menghimpun kudrat akhir
mengumpan bibir
mengusap kalimatNya

9/8/2008

12 Jun 2008

CETUSAN: DU.I.T.

"DUIT" tu ....DOA, USAHA, IKHTIAR dan TAWAKKAL.


Hidup tu kena fokas 4D - Dayausaha, Disiplin, Diskusi, dan Doa.

03 Jun 2008

ARTIKEL: Kenapa 2 telinga 1 mulut?

Manusia itu diberi 2 telinga dan satu mulut agar dia mendengar 2 kali dan menjawab 1 kali.


Kita diajar berjalan, bercakap, menulis dan membaca
tapi pernahkah kita belajar mendengar?
Maksudnya bagaimana menjadi pendengar yang terbaik yang mendengar dengan tepat dan memberi respon yang juga tepat dan berkesan mengikut watak seseorang, masa, ketika dan mood yang sesuai.



Kesediaan untuk mendengar (masalah orang lain) itu sendiri sudah merupakan therapy & syifaa’ (penyembuh) yang sangat membantu? Bukankah begitu!?

21 April 2008

IMEJ: NUN


AMALAN:SELAWAT TAFRIJIYYAH

صلاوة التفريجية
اَللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَآمًّا عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِكُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

17 April 2008

CETUSAN: Hidup, peluang, pilihan dan ketentuan


ARTIKEL: Rahsia Angka 29

1. Terdapat 29 Huruf-huruf asas arab.
Dari Alif hingga Ya. Huruf-huruf bergabung membentuk pelbagai kalimah (perkataan). Bahkan ada huruf yang mampu ‘hidup’ bersendirian seperti “wau” atau “fa” dll. Kalimah bergabung membentuk ayat. Ayat yang mencipta hasil puisi dan prosa. Ayat memiliki “kuasa” yang membina diri insan dan komuniti. Ianya terbukti mencipta kecemerlangan tamadun Islam lebih seribu tahun. Dan ia juga yang meruntuhkan segalanya justru kealpaan manusia juga.

2. Surah al-Fath : ayat 29 - mengandungi semua huruf-huruh Hijaiyyah yang 29 itu. Huruf-huruf yang dimulakan dengan alif, ba, ta… itu dikenali dalam bahasa Inggerisnya sebagai alphabet (alphabet itu berasal dari perkataan alif, ba ta hasil dari proses asimilasi ilmu pengetahuan yang diceduk oleh Barat dari tamdun Islam ). Surah al-Fath (Surah ke-48) juga mempunyai bilangan ayat berjumlah 29 kesemuanya. Disamping itu juga surah-surah lain yang mengandungi 29 ayat ialah Surah al-Hadid (Surah ke-57) dan Surah at-Takwir (Surah ke-81).

3. 29 – dalam bulan Feb tahun Syamsiyyah. 4 tahun sekali tahun lompat. Lahir 29 Feb bermakna empat tahun sekali meraikan harijadi…keshian.

4. 29 hadis-hadis utama (asas agama) tersusun di dalam Kitab Bustanul Ariffin – Kitab terakhir al-Imam Nawawi. Seoarang ulama yang meninggal dalam usia muda (40-an) tetapi memiliki umur yang sangat berkat. Beliau telah mengarang kitab-kitab ilmu yang banyak dan hebat-hebat yang sangat bermenafaat untuk rujukan umat Islam yang telah baca dan ditela’ah oleh umat Islam sepanjang zaman dari dulu, kini dan akan datang…

5. Huruf-Huruf Muqattoat (huruf-huruf potong dipermulaan surah al-Quran) yang melibatkan sebanyak 14 huruf dengan 14 gabungan (Alif, Naqasa asalukum, hayyun tahura) terbentuk dalam 5 kombinasi (1,2,3,4,5 huruf) terdapat di dalam 29 surah semuanya. – Rujuk kitab-kitab Ilmu Tajwid.

29 x 1 = 29
29 x 2 = 58
29 x 3 = 87
29 x 4 =116
29 x 5 =145
29 x 6 =174
29 x 7 =203
____________
Jumlah: 812
=========
29 x 29=841

Beza: 841 - 812 = 29

-1 x 1 = -1
-1 x 2 = -2
-1 x 3 = -3
-1 x 4 = -4
-1 x 5 = -5
-1 x 6 = -6
-1 x 7 = -7
___________
Jumlah:-28
========
-1 x -1 = 1

Beza: 1- (-28) = 29

6. Hasildarab 29 dengan nombor-nombor 1 hingga 7 (Tujuh adalah angka yang membawa konotasi “kesempurnaan atau keseimbangan” – cuba kaitkan semua ciptaan yang yang kaitan dengan 7 untuk melihat hakikat “sempurna” dan “seimbang” itu) ialah 812. Manakala 29 di darab dengan nombornya sendiri (29) maka jawapannya ialah 841. Perbezaan bagi dua hasil ini juga memberi jawapan 29 juga!!. (841 – 812 = 29)

Lihat pula keajaiban sifir –1 pada rajah di atas dalam format yang sama. Bukankah 29 juga jawapannya!? ...

7. Surah al-Fatihah mempunyai 29 kalimah.

25 Mac 2008

ARTIKEL: Lompatan Minda

Bukankah suatu tindakan yang bijak dan objektif jika kita dapat memberi setidak-tidaknya nafas baru kalaupun tidak satu lonjakan perubahan pada ‘budaya agama’ yang berakar umbi dalam masyarakat kita? Banyak amalan yang mendarah-daging dalam masyarakat telah mengikat para muslim dan muslimat untuk menerima pakai secara total dan suci tanpa memberi ruang untuk apa-apa pemikiran, kajian dan tindakan bagi pindaan apatah lagi pertikaian.

‘Budaya agama’ yang dimaksudkan disini adalah adalah bentuk-bentuk amalan yang diterima dan digunapakai secara berleluasa yang dikaitkan dengan hukum atau agama itu sendiri. Amalan memberi bayaran kepada orang-orang yang bersolat jenazah contohnya telah diterima bahkan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan setiap kali berlaku kematian.

Waris simati tanpa mengira kedudukan status kaya atau miskin adalah ‘dipertanggungjawabkan’ untuk menyediakan sejumlah wang untuk beberapa tugasan yang melibatkan tajhiz atau pengurusan jenazah tersebut. Bagi simati atau warisnya yang tergolong dalam kategori berada tentulah perbelanjaan bagi pengurusan jenazah termasuk sedekah kepada orang-orang yang bersolat jenazah untuknya adalah sesuatu yang baik dan terpuji. Namun masyarakat disesetengah tempat telah meletakkan hukum yang sama untuk kemestian berbelanja tanpa membezakan yang berada atau sebaliknya. Bagi keluarga yang tidak berada, bukankah ianya satu bebanan yang memeritkan? Terpaksa berhutang pula bagi satu tugas yang sepatutnya dipikul bersama oleh masyarakat sekeliling atas kewajipan fardhu kifayah.

Tentulah tidak menjadi suatu bebanan jika pihak waris simati perlu membayar beberapa bentuk tugasan yang berkaitan dengan kerja-kerja khusus seperti mandi jenazah, menggali kuburan. Tetapi bagaimana wang menjangkau dua ribu ringgit yang perlu disedikan oleh satu keluarga susah untuk

Apakah kemajuan yang lambat dikalangan umat berpunca dari factor-faktor seperti ini? Apakah pemikiran subsidi yang terwaris dari generasi awal juga adalah landasan gaya hidup yang telah terbina sejak sekian lama meskipun desakan dan idea pendidikan yang disalurkan menekankan aspek perubahan dan pembinaan jatidiri. Tidak mudah membuat kejutan bagi maksud perubahan minda masyarakat. Ruang dan masa serta kebijaksanaan para pemimpin agama dan masyarakat adalah elemen-elemen utama yang perlu didahulukan.