Pengikut

06 Februari 2009

MENGAPA MEREKA MENGKRITIK AL-GHAZALI?

Dua atau tiga minggu kebelakangan ini, aku begitu terganggu. Seperti suatu kebetulan pula, kutemui beberapa karya melibatkan hasil penulisan Imam al-Ghazali terutama dalam memperkatakan kitab agungnya Ihya' Ulumiddin lewat beberapa tulisan bersifat kritikan yang meminta untuk lebih berhati-hati dalam mengambil maklumat atau ilmu hasil tulisan hebat itu.Sungguh ianya satu kejutan dalam mindaku!

Pertama kali kutemui idea kontra dalam isu ini melalui tulisan Astora Jabat ketika dia diberi kolum khas memberikan pandangannya di dada akhbar Mingguan Malaysia. Tapi ketika itu aku masih kuat dengan persepsiku yang jelas menyokong penuh ketokohan al-Ghazali tanpa ragu. Sebenarnya hingga kini pun, sebagai orang awam aku merasa tidak layak untuk membuat apa-apa komentar terhadap tokoh-tokoh besar Islam seperti al-Ghazali. Aku tetap menghormati dan kagum dengan kehebatannya. Lagipun Ustaz Fahmi Zam-Zam ada berpesan jangan sampai kita berani mempertikai tokoh-tokoh Islam yang banyak berjasa kepada perkembangan Islam itu. Kalau kita hendak menyalin balik karya mereka pun, nescaya tidak termampu kita melakukannya sehingga ke akhir hayat kita sekali pun!

Tetapi bila kutemui beberapa tulisan kritikan yang mempertikaikan karya al-Ghazali, aku menjadi bingung! Benarkah mereka yang mengambil sikap mengkritik al-Ghazali itu ikhlas atau sebaliknya mereka mempunyai agenda berbau kepentingan yang tidak terduga atau diketahui oleh pembaca? Aku memerlukan masa untuk terus memperhalusinya dan membuka ruang untuk bertanya bagi mendapat kembali jawaban yang bisa menteteramkan jiwaku!

Memanglah dari dulu lagi, aku adalah antara peminat & pencinta al-Imam al-Ghazali. Dengan jolokan 'Hujjatul Islam', Imam Ghazali telah menghasilkan karya-kerya hebat dengan memberi kritikan terhadap persoalan zamannya yang ketika itu telah berlaku kecelaruan dalam pelbagai bidang ilmu termasuk ilmu-ilmu asas Islam - Tauhid, Fiqah dan Tasauf.

Bermula dari usia belasan tahunku (tahun 80-an)ketika aku mula mempelajari sehingga khatam kitab Hidayatus Salikin (HS) karangan Syeikh Abdul Samad al-Palembani di surau kampungku. Sebuah teks popular yang sememangnya menjadi rujukan utama dikebanyakan pondok, pesantren, masjid-masjid dan surau-surau hampir di seluruh daerah umat Islam di Asia Tenggara - Malaysia, Selatan Thailand, Indonesia, Singapura dll. Sehinggakan aku sendiri memiliki dua naskah teks kitab HS itu dalam versi kitab kuning dan cetakan berjilid tebal dengan tulisan jawi yang agak besar. Kemudiannya, aku menyedari telah berlaku lagi cetakan berikutnya dengan lebih jilid yang lebih menarik berukuran buku teks sekolah yang kerap kujumpai dikedai-kedai kitab.

Ustaz Fahmi Zam-Zam telah melakukan satu anjakan baru dengan menghasilkan kitab HS dalam bentuk yang lebih istimewa dengan membuat tahqiq kepada hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab tersebut serta persembahan pengeditan berbentuk karangan baru yang lebih mudah difahami.Kitab HS versi Ustaz Ahmad Fahmi ini menjadi lebih popular ketika berlangsungnya Seminar pemikiran Syeikh Abdul Samad al-Palembani di Masjid al-Bukhari, Jalan Langgar pada penghujung tahun 2002 bersama kitab Sairus Salikin dalam beberapa jilid tebal.Aku turut berada dalam seminar tersebut yang berlangsung selama dua hari.

Kitab HS juga dibaca dipondok Gajah Teriak, Bukit Wang oleh Ustaz Khairul Anwar Sfafie sejak penubuhan pondok tersebut. Sehingga akhir tahun lalu (2008), kitab tersebut baru selesai dikhatamkan.

Demikianlah satu lintasan sejarah ringkas aku dan Kitab Hidayatus Salikin yang merupakan kitab pertama yang kutelaah dan kemudiaannya terus berdampingan dengannya sehingga kini. Apa yang cuba hendak kujelaskan disini ialah bahawa kitab HS itu sebenarnya adalah saduran dari Kitab Bidayatul Hidayah karangan al-Imam al-Ghazali.

Kitab Bidayatul Hidayah juga telah diterjemahkan oleh ustaz Fahmi Zam-Zam dalam nashkah yang memenuhi tuntutan zaman dari segi pendekatan penyampaiaannya. Sekarang, disurauku juga setiap dua minggu, kitab inilah yang dibacakan oleh seorang Ustaz muda dari Maahad Tarbiyyah Islamiyyah, Derang.

Kitab Minhajul Abidin karangan al-Ghazali dalam nashkah kitab kuningnya juga pernah kupelajari dari Tuan Haji Abdul Hamid Abdul Rahman, dimasjid al-Irfan, Derga dalam usia mudaku dulu.

Buku-buku karangan al-Ghazali yang lain dalam koleksiku memang tersimpan dengan baik. Ihya Ulumiddin yang dicetak secara kitab-kitab berasingan ada sebahagiannya kubeli dulu. Kitab Bimbingan Mukminin yang dijilidkan agak tebal yang kumiliki pernah menjadi rujukanku sehingga tidakku tahu kemana menghilangnya; kebetulan kitab tersebut baru-baru ini kuperolehi kembali dari simpanan kitab-kitab allahyarham bapa mertuaku. Terakhir tahun lalu, aku sempat meminjam sebuah buku kajian ilmiah memperhalusi kitab terakhir karangan al-Ghazali dalam bidang logik yang rata-rata mengangkat al-Ghazali kepersada tokoh yang semestinya dikagumi.

Nostalgia ku bersama kitab-kitan al-Ghazali amat terkesan bila mahu diperkatakan. Pendekata, karangan-karangan al-Ghazali telah banyak membentuk sikap dan peribadi muslimku.

Penemuanku dengan satu nashkah 'digital book' melalui i-scribd yang memberi komentar dan kritikan kepada al-Ghazali amat menggangguku. Disebutkan disana bukan seorang dua ulama yang mengambil sikap sedemikian termasuk ulama yang kenali dan masih kuingati, Ibnu Kathir.

Dr Aid Abdullah al-Qarni pengarang hebat sejuta pembaca melalui karangan "La Tahzan" juga mengambil sikap yang sama mengkritik dan menasihatkan supaya berhati-hati dalam merujuk karangan al-Ghazali dalam karangannya "Hakaza Haddasana al Zaman" yang diterjemahkan dengan tajuk "Beginilah zaman memotivasikan Kita" terbitan Yasmin Enterprise. Alasannya, pertama kedapatan hujah-hujah al-Ghazali menggunakan hadis-hadis yang tidak dapat diberikan autoriti. Keduanya, al-Ghazai terpengaruh dengan aliran-aliran sufi tertentu dalam menulis perkara-perkara yang melibatkan saranan-saranan dalam beribadat yang kurang menepati kehendak sunnah Rasulullah s.a.w. Ataupun rujukan tokoh-tokoh yang dibawa untuk dihujjahkan tidak mencapat tahap ulama yang berautoriti dalam perjalanan sejarah Islam itu sendiri. Wallahuaxlam.

Siapakah Dr Aid Abdulah al-Qarni? Aku belum pernah membaca biografinya. Dalam karangannya dia turut melabelkan kitab "Qut al-Qulub" karangan Syeikh Abu Talib al-Makki setaraf dengan karangan al-Ghazali juga. Sedangkan Ustaz Khairul Anwar Shafie kerap sekali mengambil rujukan dari kitab ini. Begitu juga, Dr al-Qarni memuji-muji karangan Ibnu Taimiyyah yang tidak mendapat tempat di pondok Ustaz Khairul Anuar. Aku bertambah bingung??!

Aku perlukan jawapan yang cukup dengan hujah-hujahnya untuk menteteramkan hati dan mindaku. Siapakah yang harus kutemui untuk urusan ini!? Allah s.w.t. bakal menentukannya....

3 ulasan:

onetrue berkata...

saudara,..kamu sudah berjalan mencari kebenaran yg hakiki,spt hasan asyaari menulis al ibanah dan sila baca kitab terakhir al ghazali kembali kpd salaf akhirnya..kembali kpd quran dan hadis soheh

bohemian grove berkata...

jawapan dia ada kat sini ustaz. sy harap ustaz tonton video ini dengan tenang sampai habis banyak dia akan crita pasal imam ghazali
https://youtu.be/7chGarvLjRQ

bohemian grove berkata...

jawapan dia ada kat sini ustaz. sy harap ustaz tonton video ini dengan tenang sampai habis banyak dia akan crita pasal imam ghazali
https://youtu.be/7chGarvLjRQ