Pengikut

26 Februari 2009

"Oh! betapa bahagianya mereka"

Satu scene yang indah! Keluar dari pejabat pagi tadi menuju ke Pusat Bandar untuk ke Bank Muamalat terpandang sepasang insan berbasikal (ala-ala 60-an gitu) mencuri pandanganku. Lelaki bermisai tebal separuh macho agak setengah umur, berbaju lengan panjang putih, berseluar hitam kemas; baju dimasukkan ke dalam dengan kasut hitam ala ke pejabat.

Dibelakangnya membonceng wanita separuh umur berbaju kurung dengan tudung panjang kehijauan; dibiarkan saja sebelah tudungnya yang tak berikat terlepas ke bawah menutupi separuh baju ‘pink’nya. Dengan badan sedikit dicondongkan agak kebelakang kelihatan tangan kanan wanita itu memeluk pinggang si lelaki agak kemas, kasut tumit tingginya dapat dilihat dengan jelas apatah lagi dengan kedudukannya yang bertindih paha duduk penuh bersahaja di tempat ‘carrier’ di belakang..

Kalau tak salah perhitungan, nampak seperti pasangan suami-isteri. Wajah keduanya selamba saja. Si lelaki mengayuh tenang tanpa memperdulikan beberapa pandangan liar mencuri-curi dari cermin-cermin kereta atau pandangan terus dari penunggang motosikal dan mereka yang lalu-lalang di situ; terpegun rasanya. Bukan senang hendak bertemu dengan pemandangan sebegitu dalam zaman begini.

Begitulah warna-warna kehidupan, kebahagiaan adalah milik semua dengan sejuta aksi. Aku cuma mampu berkata: “oh, betapa bahagianya mereka!”

Tiada ulasan: