Pengikut

31 Oktober 2012

Solat yang berat sebenarnya tiada ruh!

Aqiimussolah....dirikanlah sembahyang!

Arahan wahyu Ilahi supaya melaksanakan sembahyang datang dalam nada perintah berformat 'laksanakanlah solat dengan sempurna dan berterusan'. Isyarat bahasa dari katakerja kala lampau "aqaama" dalam bahasa Arab itu membawa konotasi sedemikian.  
 
Seorang Muslim adalah mereka secara mandatori mesti bertanggung-jawab melaksana  & memelihara solat dengan kadar minimum 17 rakaat dalam masa 24 jam. Solat sunat adalah tambahan yang dijanjikan bonus dan gandaan istimewa.
 
Segala faedah dan kelebihan yang terhasil dari ibadah solat itu samada dari aspek fizikal, emosi dan rohaninya akan kembali kepada pelaksananya. Begitulah amalan solat yang tidak pernah dibataskan dengan sebarang alasan peribadi besar mahupun kecil kecuali beberapa keuzuran bersifat syar'ie seumpama haid & nifas.
 
Solat diperbahaskan disepanjang zaman dengan beraneka gaya dan persembahan. Sehingga ianya telah dipermudahkan dengan pelbagai presentasi yang terkadang sangat motivatif bahkan interaktif sekali. Pendekata, manusia yang tidak tahu mengerjakan perbuatan solat boleh dianggap mustahil.
 
Persolannya - kenapa terlalu berat untuk bersolat? Kerana solat yang dilaksanakan itu tanpa ruh. Solat yang telah mati. Solat yang mati serupa juga dengan hidupan yang mati. Beratnya bertambah! Bahkan terlalu berat untuk didirikan!! Bukanlah manusia yang mati juga begitu?
 
Solat yang hidup bersumber dari ruh. Ruh kepada solat ialah khusyuk. Ketika khusyuk, solat dapat dikerjakan dengan penuh seronok dan ringan. 
 
Bagaimana mencari kyusuk? Ianya bukan satu urusan yang mudah. Perjuangan dan mujahadah yang berterusan pun belum tentu dapat 'membeli' rasa khusyuk yang menjadi ruh penjana kepada pelaksanaan solat yang hidup. Tetapi laluan itu perlu ditempuhi juga kerana ianya merupakan pra-syarat  yang wajib. Walau apa pun 'khusyuk' adalah anugerah Allah kepada sesiapa juga hambaNya yang dikehendaki dengan izinNya. Khusyuk dalam solat adalah 'nyawa'; adalah nur; adalah pembina jiwa yang perkasa; adalah penjaga dan peguambela! 
 
 
 
 

12 Oktober 2012

Persefahaman Politik yang Bijaksana

Teruja sekali tulisan Presiden PAS TG Hj Abdul Hadi Awang dalam satu perbahasan yang sederhana tetapi menyentuh beberapa aspek utama yang mendasar sehingga mewujudkan kefahaman yang jelas tentang status parti Islam yang diprovokasi dengan pelbagai tohmahan dewasa ini. Biar kuabadikannya disini untuk rujukan dan tatapan sesiapa juga yang berminat....

Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
   لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).


(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah S.A.W. bersabda tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).

Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).

(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman tersebut , walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).

(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.

Begitu juga hubungan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf Siyasi yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.

Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang diletak diatas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan Muktamar Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.

Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.

Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.

Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.

Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W. “sesiapa yang memencilkan diri daripada jamaah akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

15 Julai 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Ketika Ramadhan menyapa ceria
dengan manisnya sebuah senyuman
mendamba rindu dihujung Syaaban
meniti kasih yang dalam
resah seorang hamba yang menunggu
kekasih yang hadir
mesra dalam dakapan syahdu
jiwa yang menyerah pasrah
mengharap siraman rahmah dan maghfirah

Indahnya Ramadhan yang hadir
mengetuk pintu-pintu leka
lalu sadar bingkas terbangun
membasuh noda membilas dosa
mengunci alir amarah dengan riadah ibadah
menyuci jiwa yang parah bernanah

Meraikan istimewanya anugerah Ilahi
dengan ketaatan menahan lapar dahaga
bersusila dengan mereka yang kurang dan tiada
berkongsi kepayahan dan derita
menelusuri hembusan nikmat hidayah
para hamba yang basah lidah memujiNya
insan yang kembali ke pangkal fitrahnya

menekuni Tarawih & Witir penuh setia berjaga
berteman al-Quran pembimbing mesra
memohon berkat misteri malam Perdana
yang ganjarannya berganda-ganda
menjalin siratan keindahan taqwa
untuk mengisi kantung perbekalan
biar selesa dalam perjalanan
kembali kepada Tuhan

Marhaban Ya Ramadhan!
Marhaban Ya Ramadhan !!
Marhaban Ya Ramadhan !!!

Biasakan diri bersama ulama

عليكم بمجالسة العلماء

واستماع كلام الحكماء

فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة

كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


Sentiasalah bersama majlis ulama'
Dengarlah kata-kata hukama'
Sesungguhnya Allah S.W.T menghidupkan hati yang gersang
 dengan kata-kata hikmah
sebagaimana Ia menghidupkan bumi yang kontang
 dengan air hujan yang mencurah

10 Julai 2012

Sirat al-Mustaqim

Orang-orang yang percayakan Allah (beriman) diminta mengerjakan solat. Solat adalah tugas dan aktiviti yang diulang-ulang. Termasuklah mengulang-ngulang membaca al-Fatihah dengan bacaan minima 17 kali dalam masa 24 jam.

Solat membina kekuatan. Ianya satu ibadah yang diterima Rasulullah S.A.W secara terus dari Allah di malam Isra' & Mi'raj. Orang yang bersolat adalah mereka yang berjaya! Di dunia dan di akhirat... 

Surah al-Fatihah menggariskan dua aspek utama. Pertama pujian dan kedua permohonan. Kita memuji Tuhan yang Maha Agung kerana kita menerima hakikat kehambaan. Hamba adalah sinonim dengan kehinaan, kerendahan, berhajat dan memerlukan - lalu kita berharap dan bermohon.

Kehidupan adalah perjalanan. Berjalan mendaki atau menuruni. Kemana pun kita melangkah kita memfokaskan laluan dan sasaran. Biasanya laluan dan sasaran itu dinamakan jalan (sirat). Justru, jalan yang menjadi laluan perjalanan kita itu mestilah mudah dan tidak menyusahkan dan tidak pula menyebabkan kita menyimpang atau menyeleweng. Jalan yang kita hajatkan adalah jalan yang benar, mudah dan tepat (sirat al-mustaqim).

Inilah permohonan kita saban waktu. Biar Allah S.W.T bimbing dan anugerah hidayah kepada kita menjalani 'jalan yang lurus' اهدناالصراط المستقيم. Jalan benar dan lurus itu dikenali melalui jejak laluan generasi terdahulu yang telah berjaya merentasi laluan tersebut dengan berjaya dan bergaya - melihat segala cara, tektik, teknik dan strategi mereka lakukan untuk kita meniru (dengan ilmu supaya tidak tertipu atau terkeliru). Teladani juga bagaimana mereka yang gagal berjalan dengan sempurna lalu tersesat dan tersasar dari laluan tersebut.

Laluan perjalanan itulah juga yang diciptakan Ilahi dalam bentuk titian yang merentangi Padang Mahsyar melintasi neraka untuk sampai ke syurga di dalam kehidupan kedua kita di akhirat nanti. Apa yang kita bawa dari dunia dalam bentuk bekalan amalan akan menentukan cara, masa dan gaya kita  berjalan melintasi titian sirat menuju destinasi kehidupan yang kekal abadi -  kekal hidup bahagia di syurga atau kekal hidup derita di neraka!

17 Jun 2012

Isra' & Mi'raj - Penemuan infiniti selama-lamanya

Ayat 1 Surah al-Isra' adalah ayat pembukaan kepada Surah ke-17 yang mengandungi 111 ayat. Ayat yang menjelaskan tentang peristiwa Isra' yang berlaku kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dimana baginda dianugerahkan pakej perjalanan malam penuh mukjizat dan berkat dari Masjid ke Masjid dan kemudiannya menembusi ruang langit untuk berjumpa dengan Allah S.W.T untuk menerima secara terus ibadat Solat.

Solat lima waktu berjumlah 17 rakaat = Surah al-Isra' (Surah ke-17).

 Bagi setiap rakaat yang tiada tahiyyat jumlah pergerakan ialah sebanyak 6 (Berdiri Betul, Rukuk, I'tidal, Sujud, Duduk antara Dua sujud, Sujud kedua). Bagi rakaat yang ada tahiyyat, jumlah pergerakan ditambah satu lagi (duduk membaca tahiyyat). Ini bermakna bagi solat lima waktu terdapat 8 rakaat tanpa tahiyyat x 6 pergerakan = 48; dan 9 rakaat lagi yang ada tahiyyat x 7 pergerakan = 63. Ini menjadikan 48 + 63 = 111 pergerakan. Jumlah pergerakan dalam solat lima waktu ialah 111 pergerakan = jumlah ayat dalam surah al-Isra' (111 ayat) .

Ini adalah antara kod-kod angka yang menambahkan lagi keyakinan tentang kehebatan al-Quran dan segala perisitiwa yang ditakdirkanNya!!

Mengapa Nabi Muhammad S.A.W. di isra'kan dari Masjid al-Haram ke Majid al-Aqsa kemudian dari dari Masjid al-Aqsa baginda di mi'rajkan kelangit! Dalam perjalanan pulang juga, baginda turun melalui Masjid al-Aqsa kemudian kembali ke Mekah?? Apakah pintu langit atau laluan kelangit berada berbetulan dengan Masjid al-Aqsa?

(Seorang penceramah pernah mendedahkan bahawa Syekh Muzaffar , angkasawan Malaysia ada menyebutkan bahawa biar dimana sahaja kapal angkasa dilancarkan namun ianya akan memasuki ruang yang bertepatan dengan Masjid al-Aqsa untuk menembusi naik ke ruang angkasa lepas. Pihak USA dan Rusia tidak pernah membuat pendedahan apa-apa mengenai perkara ini kerana ianya memberikan kredit kepada Islam!)

17 Mei 2012

Terus hidup dan hidup terus

Untuk apa kita bertungkus-lumus membina kehidupan di dunia ini ? Ramai yang menjawab: Untuk survival. Bermakna untuk terus hidup...untuk masa depan...demi anak cucu...kehidupan yang lebih baik...tamadun yang lebih cemerlang...tidak mahu susah dan sengsara... simpanan untuk hari tua.. semuanya betul!

Bagaimana kalau kita katakan pula begini: Kita membina hidup ini untuk "hidup terus". Bermakna demi kehidupan yang seterusnya...untuk kehidupan yang lebih bahagia bukan sekadar di dunia bahkan yang lebih penting kehidupan kekal di akhirat nanti...

Secara perbandingan, kedua-dua kenyataan ini ternyata memberikan impak dan implikasi yang berbeza.

Niat yang akan menentukan halatuju dan sasaran tersebut. Ia akan menyebabkan corak, tindakan, karektor, hasil dan implikasinya yang turut berbeza.

Memilih matlamat untuk meneruskan kehidupan  harus diadun dengan ramuan kesejahteraan yang ditetapkan oleh peraturan Ilahi supaya ianya dapat mencapai pula  matlamat untuk  kesejahteraan  kehidupan seterusnya juga!

16 Mei 2012

Selamat Hari Guru 16 Mei 2012

Buat seluruh guru-guruku yang pernah mengajar lalu memperkenalkan aku dengan seni mengeja, membaca, mengira, lalu aku berupaya memahami segala sehingga mampu pula mengatur tuturkata bicara - berupaya pula menulis ayat-ayat ringkas maupun karangan berjela sehinggalah aku bisa berada dimeja kerjaya mengetuk papan kekunci ini demi survivaliti dan rezeki anak bini...siapalah aku tanpa jasa dan pengorbananmu guru-guruku!... kalian muncul dalam tiap gerakgeriku kerana ilmu dan harapan yang panjang dan dalam disanubarimu itu tetap segar dihati dan jiwaku juga lalu kepasrahan itu telah kupahatkan sebagai memori dan responsibiliti yang menjadi legasi yang dipersaksikan bahawa aku juga adalah rantaian dari makbulnya doa dan pengharapan kalian buat meneruskan nafas perjuangan mengangkat integriti umat sejagat!.... 
Medan pendidikan adalah padang payah dan pedih kerana bukan mudah meraikan gelagat dan kegilaan insan yang beraneka....tapi sabar seorang guru adalah madu adalah penawar yang merawat segala penyakit sehingga yang jatuh bisa bangun kembali mengatur tapak bertatih lalu kembali berlari...yang resah menjadi damai kerana nilai yang kau semaikan berakar-umbi menjadi pemangkin pencetus motivasi diri...biar dirimu dipanggil Ilahi kembalimu bersama restu, pergimu bersalut rindu - justru doa yang bertimbun dari anak didikmu menjadikan dikau tetap hidup bertakhta dipersada dunia yang sementara sehinggalah ke akhirat yang kekal selamanya.....terima kasih guru-guruku kerana menjadikan aku manusia yang kenal diri, yang kenal hati sehingga jawapan kepada persoalan-persoalan utama dalam perjalanan kehidpan ini terjawab secara pasti....

14 Mei 2012

Kekuatan Hujah atau Hujah Kekuatan

Kehidupan adalah persaingan. Suatu hakikat yang pasti. Lumrah dan fitrah.


Persaingan mencetus perselisihan dan perbezaan; perjuangan dan pertarungan. Ianya melibatkan pertikaman lidah dan pergelutan minda. Lebih parah  lagi pertumpahan darah, deraan, kezaliman dan kekejaman.

Sehingga nyawa tidak lagi berharga - dari bayi yang baru mengenal dunia sehinggalah kepada segala percaturan konspirasi pembunuhan terancang yang diketawakan dimeja-meja perundingan dengan sinis dan sengaja!

Kuasa dan kekuatan menjadi lambang kebesaran dan kemuliaan. Tanpa kuasa manusia diperkotak-katikkan. Kehinaan dan kelemahan menjadi arca kepada mereka yang gagal memafaatkan kehebatan kuasa. Kehidupan bergerak pantas tanpa mahu menoleh kebelakang dengan keegoan insan yang memartabatkan nama, kuasa dan kemegahan.

Kebenaran selalunya menjadi subjek yang diakui tetapi biasanya diabaikan. Hujah kebenaran mudah  diterima tetapi senang juga ditolak kerana paksi perhitungannya adalah niat dan kepentingan. Niat yang murni akan mengangkat kebenaran kepuncak penyaksian dengan kekuatan hujah. Namun bagi yang berkuasa, kebenaran kerapkali dibenamkan dengan hujah kekuatan!



  
  

06 Mei 2012

Tun Mahathir & Doktor Umum

"DOKTOR UMUM - Memoir Tun Mahathir Mohamad": Sebuah buku tebal terbaru dipasaran. Harga (yang ditawarkan oleh Syarikat Hasani Sg Petani ialah) RM59.90.
Masih belum berkesempatan membacanya. Cuma sekadar membelek ciri-ciri fizikalnya sahaja. Jumlah mukasurat hampir 1000 dengan cerakinan tajuk kepada 62 topik. Sudah pasti ianya merupakan satu platform bekas PM Malaysia ke-4 itu menebarkan buah fikirannya berasaskan legasi pemerintahannya selama lebih dua dekad.

Buku awalnya yang kontroversial "The Malay Dilemma" adalah cetusan pemikirannya yang berani dan bersifat terbuka. Komentar dan kritikan terhadap bangsa Melayu termasuklah pemerintahan bangsa Melayu telah membuka ruang perbahasan yang luas dan berkesinambuangan. Ternyata watak Dr Mahathir amat sinonim dengan pandangan yang berani dan menikam. Komited dengan prinsipnya.

Karya-karya berikutnya bernada sama. Prinsipnya boleh ditelah. Satu kehebatan bekas negarawan ini ialah ungkapan kata-katanya yang simple tetapi menepati sasaran. Terkadang dia mampu membaling satu batu dengan mengenai beberapa target. Sinis dan tegas dalam nada bersahaja. Itu satu anugerah.

Memang Dr Mahathir berjaya dalam karier politiknya. Malaysia dikenali dan disegani sepanjang pemerintahannya. Musuh-musuh politiknya masih boleh menghormatinya meskipun terdapat pelbagai perbezaan atau ketidakpuasan. Cuma dalam isu-isu agama, wujud pelbagai polarisasi pandangan. Percambahan fikiran yang bersifat oposisi maupun kecelaruan di dalam beberapa tindakannya kerap terkesima di dalam wataknya yang kuat bekerja, disegani dan mampu membuat peleraian segera kepada sesuatu masalah.

Apakah keperitan pemerintahan yang didideritai oleh Najib dewasa ini dengan pelbagai asakan dari pelbagai pihak - luaran dan dalaman -  mampu dikendurkan dengan campurtangan Tun Mahathir yang semakin dimamah usia itu?!

03 Mei 2012

Things We'd Tell Our Bosses if We Could


"Give me the tools I need to do a good job." If you're unsure, ask me. But, basically, time, materials, information, maybe even a little authority--these are what I need to succeed.

"Ask for my opinion from time to time." I might be able to offer some good ideas if you listened to me even half as much as you expect me to listen to you.

"I truly need frequent feedback." Please don't wait till the year-end performance review. I can do a better job for you if you let me know what I'm doing wrong, and what I'm doing right, on a regular basis.

Gambaran Mentaliti Melayu

Lidah dan Hati

     Ada 2 anggota yang paling merbahaya  dalam diri kita : itulah LIDAH & HATI.
 Ada 2 anggota yang paling baik dalam diri kita: itulah LIDAH & HATI. 

30 April 2012

AJarkan Bahasa Cina & India di Sekolah Agama

 Bahasa adalah wahana perpaduan. Perjuangan memartabatkan bahasa telah diangkat serta diiktiraf sebagai usaha-usaha murni ke arah integrasi nasional. 

Bagaimana jika sekolah-sekolah agama (SMA) diajarkan juga bahasa Cina dan India?

29 April 2012

Polis dan demo rakyat

Bersih 3.0.... sekiranya polis bertindak sebagai pelindung maka insiden & tragedi akan segera berlalu sebaliknya jika polis beraksi demi agenda terselindung maka pelbagai kekalutan akan terus berlaku!!

07 Mac 2012

Keistimewaan Surah al-Rahman

Surah al-Rahman (55) ayat: (13:16:18:21:23:25:28:30:32:34:36:38:40:42:45:47:49:51:53:55:57:59:61:63:65:67:69:71:73:75:77)
Jumlah ayat yang berulang = 31 kali
Hasil campur semua nombor = 1433

Apakah rahsia ayat di atas yang diulang-ulang sebanyak 31 kali dalam surah yang diberi nama jolokan “Pengantin al-Quran” ini?

Apabila dijumlahkan ayat-ayat yang terlibat, jumlahnya bersamaan dengan 1433. Jumlah itu adalah bertepatan dengan tahun hijrah pada tahun ini. Apa signifikan dan menasabahnya?!

Hanya Allah S.W.T  yang Maha Mengetahuinya.

04 Mac 2012

Nilai sebuah kehidupan


Kehidupan ialah perubahan dan pergerakan.  Selagi  tubuh masih bersalut nyawa, proses bergerak dan berubah adalah sesuatu yang pasti. Justeru, ianya suatu fitrah. Cuma perubahan yang berlaku mengarah kemana – positif atau negatif; membina atau membinasa. Disitulah letaknya akal dan usaha yang menjadi paksi kepada asas penilaian.

26 Januari 2012

Tersedar..2012 rupanya!

Tahun baru 2012 berlalu pantas begitu saja tanpa sapaan. Masa yang berlalu bagai tak terkejar. Februari akan muncul tidak berapa hari lagi saja.

Kesempatan melawat blogku malam ini seperti mengheret sesalan pula. Lama rupanya aku gagal membuat update sehingga belum ada satu pun yang terkini menjelang 2012. Satu kelecehan yang tidak seharusnya berlaku!

Sibuk apalah aku ini sehingga tidak sempat mencatat sesuatu buat perkongsian bersama. Akukah yang gagal mengurus kesibukan atau kesibukan itu yang mengekang diriku sehingga gagal melepaskan diri untuk bersantaian dengan kata-kata yang menjadi hobiku....

Tahun Baru Cina tahun ini (Isnin dan Selasa lepas) merayakan tahun Naga Air yang membawa tafsiran pelbagai. Yang pasti ada laluan kepayahan yang bakal diharungi sebelum menikmati limpahan kesejahteraan - kata seorang pakar fengsui yang di temuduga melalui siaran tv yang sempat aku jeling seketika beberapa hari lalu.

Begitu juga dengan cerita yang merata tentang kiamat 2012 yang telah digahkan sejak awal tahun lalu lagi. Cerita yang semakin kurang diberi fokas kerana situasi dunia masih tidak memperlihatkan kesempatan dalam liku-liku mencari habuan kehidupan. Keperdulian terhadap masa depan atau 'kehidupan nanti' selepas 'kehidupan ini' semakin hambar dan longlai.

Manusia semakin ghairah menggagahi kehidupan dari aspek keduniaan  yang kian mencabar dan mendesak. Harga barang menjadi tidak terkawal bahkan bertambah mahal dan meningkat secara tidak menentu. Rumah yang menjadi salah satu keperluan asas menjadi semakin gayat untuk dimiliki kerana kosnya yang rata-rata antara suku hingga setengah juta RM!

Medan politik yang semakin panas berbahang menjelang PRU ke-13. Masalah sosial remaja yang tidak pernah memperlihatkan angka reda. Pemerdagangan manusia menjadi bisnes yang cukup menguntungkan biarpun berhadapan dengan bahaya. Warga asing yang berleluasa di Malaysia dengan jumlah yang sangat membimbangkan dengan ledakan masalah sosial yang tercectus daripadanya. 2012 - biar kita menitinya dengan doa - semoga Allah melindungi kita dari musibah yang tak tertahan oleh kita semua.