Persaingan mencetus perselisihan dan perbezaan; perjuangan dan pertarungan. Ianya melibatkan pertikaman lidah dan pergelutan minda. Lebih parah lagi pertumpahan darah, deraan, kezaliman dan kekejaman.
Sehingga nyawa tidak lagi berharga - dari bayi yang baru mengenal dunia sehinggalah kepada segala percaturan konspirasi pembunuhan terancang yang diketawakan dimeja-meja perundingan dengan sinis dan sengaja!
Kuasa dan kekuatan menjadi lambang kebesaran dan kemuliaan. Tanpa kuasa manusia diperkotak-katikkan. Kehinaan dan kelemahan menjadi arca kepada mereka yang gagal memafaatkan kehebatan kuasa. Kehidupan bergerak pantas tanpa mahu menoleh kebelakang dengan keegoan insan yang memartabatkan nama, kuasa dan kemegahan.
Kebenaran selalunya menjadi subjek yang diakui tetapi biasanya diabaikan. Hujah kebenaran mudah diterima tetapi senang juga ditolak kerana paksi perhitungannya adalah niat dan kepentingan. Niat yang murni akan mengangkat kebenaran kepuncak penyaksian dengan kekuatan hujah. Namun bagi yang berkuasa, kebenaran kerapkali dibenamkan dengan hujah kekuatan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan