Pengikut

25 Disember 2009

Seteguh Tekad: Biografi Prof Dr Sidek Baba

Menjejaki nukilan auto-biografi Prof. Dr. Sidek Baba melalui bukunya ‘SETEGUH TEKAD’ adalah kembara sebuah perjalanan hidup yang sarat dengan kisah suka-duka perjuangan, menjejaki ranjau berliku dan berwarna-warni. Tekad dalam kekentalan azam penulis yang demikian teguh seawal usia kanak-kanaknya lagi yang beristiqamah dan bertunjang di dalam dirinya telah mencorakkan kepelbagaian cerita dan drama yang terbina dalam episod kehidupannya.

Sesekali perasaan kurang selesa terjelma ketika menikmati tulisannya justeru gaya penceritaan yang agak sterotaip begitu. Ada bezanya tatkala menelaah auto-biografi Shahnon Ahmad dalam Setitis Embum Semarak Api… yang bersimpang-siur dengan sulaman seni dan estetika sasteranya yang sesekali terasa mengcengkam nubari....(apapun perasaan sebegini pastinya berbeza dikalangan pembaca justeru nilai dan penghayatan adalah sesuatu yang relatif berbeza). Namun rasa ingin tahu terhadap tokoh yang kuminati sejak sekian lama ini tetap terbina dan teruja untuk terus menyelami alun dan ombak yang melatari rona dan rentak kehidupannya.

Penggunaan gaya bahasa mudah cuba dimanafaatkannya dengan bebebrapa pengulangan yang entah disengajakan atau tidak seawal bab-bab permulaan sehingga menjangkau ke pertengahan karyanya;ketika beliau begitu asyik menostalgiai detik-detik kehidupan awal dan remajanya – ketika mengkisahkan realiti keperitan kehidupan keluarganya, payah dan jerihnya persekolahannya (sehingga terpaksa berbasikal sejauh 45Km pergi-balik setiap hari persekolahan), kepayahannya bersekolah dengan biaya yang tidak pernah cukup, malu dan tersiksa di'perli' dan dihina oleh guru-guru, kerimasannya yang terlampau kerana tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Inggeris, kerutinan membantu ibu dan ayah dan datuknya di masjid, dikampung dan dimana-mana demi menikmati sedikit nikmat rezeki harian mereka.

Walau apapun, tokoh ini adalah watak yang wajar menjadi ikon yang hebat yang sudah semestinya dicontohi. Kekuatan yang melatari aspek kejayaannya adalah keintiman hubungan ibubapanya dengan permohonan secara terus dengan Allah S.W.T. setiap ketika apatah lagi ketika bersua kebuntuan. Doa dan rintihan itulah yang telah mencorakkan keperibadiannya yang kemudiannya terbina dengan syaksiyyah yang amat bersebati dengan nilai dan norma agama Islam itu sendiri. Nilai keikhlasan yang terbina dan terasuh dari bapanya yang juga seorang bilal kampung telah mengangkat anaknya menjadi seorang tokoh yang murni peribadi dan gigih dalam memberi sumbangan ilmu serta tarbiyyah kepada masyarakatnya dimana-mana juga.

Penglibatannya dalam gerakan Islam khususnya ABIM dan lain-lain Badan akademik di sekolah dan universiti telah memberikan tasawwur yang jelas dan mantap sehinggakan keyakinan beliau yang tidak berbelah-bagi terhadap keupayaan Islam sebagai penyelesai segala masalah manusia telah berjaya diapalikasikan sepenuhnya sehingga beliau berkeupayaan mengongsikan segala ilmu dan pengalamannya dengan manusia lain dan membuat banyak perubahan dalam arus tamadun di Malaysia.

Tokoh pendidik ini terlalu unggul. Cikgu Sidek wajar dijadikan simbol. Inilah antara tokoh pendidikan yang telah berjuang dengan penuh keazaman dalam mengubah watak umat yang diwakilinya bahkan masyarakat luar juga. Ternyata perubahan watak dan kecenderungan remaja dan mahasiswa di tahun-tahun 80-an yang berpaksi kepada orientasi Islamik adalah hasil dari campur-tangan beliau juga. Remaja dan wanita Muslim yang menukar gaya berpakaian kepada bertudung….

Pernah di tahan ISA kerana penglibatan dalam gerakan ABIM dan dakwah yang ada kaitan dengan isu penahanan Anwar Ibrahim di zaman pemerintahan Mahathir Mohamad. Ketahanan psokologi yang kuat sahaja yang mampu berhadapan dengan panel penyoal ketika di dalam tahanan. Penceritaan yang agak detail dikisahkannya tentang detik-detik penahanan beliau telah meninggalkan kesan yang amat menyayatkan. Sekali terburai juga airmata justru kesan kekuatan mentalnya terlalu menusuk emosi ketika merenangi kisahnya yang cukup mengesankan itu.

Kejayaan watak ini adalah hasil dari kesungguhan dan kemahuan yang amat tinggi. Cukup patuh dengan disiplin dan tanggungjawabnya. Degilnya dalam menentang segala fenomena dan halangan demi cita-citanya yang murni. Kisah ini amat wajar dibaca dan ditekuni oleh sesiapa juga yang mahu melihat insan yang berjaya hasil daripada jerihpayah dan airmata. Semangat dan azam yang senantiasa menyala adalah lambang kepada kekuatannya dalam memberi sumbangan yang tiada hujungnya terhadap dunia akedemik berpaksikan Islam dam dunia dakwah di Malaysia dan dunia juga.

Tamat membaca pada 30 Zulhijjah 1430. Doaku mudah-mudahan roh dan semangat juang Prof Dr Sidek Baba akan turut terjalin dan tercerna dalam azam baruku menjelang tahun baru hijrah 1431....