Pengikut

05 Disember 2011

Kuda & Manusia


Kuda adalah ikon kehebatan. Tegap, pantas dan berani.
Manusia tangkas yang bersinergi dengan kehebatan kudanya adalah simbol penguasaan dominan yang sukar ditandingi.

Berjalan di lereng sehingga ke puncak pergunungan; menuruni lurah genting yang rata dan sukar; sesekali tercungap namun tetap kental berlari; merempuh musuh di waktu subuh penuh bengis (lihat surah al-A'diyaat Surah ke-100) dengan rentak irama ladamnya yang gagah menerjah.

Kuda adalah lambang 'kepatuhan kepada arahan' penuh tabah tanpa kecuali. Kuasanya di aplikasikan dalam sistem hitungan sepanjang zaman.  

29 November 2011

Pandangan mata yang terpedaya



Cuba kira berapa titik bulat berwarna hitam di dalam kotak di atas. Apa kesimpulan yang boleh anda rekodkan? Tafsirannya pelbagai.

Satu solusi penting ialah bahawa 'fokus dan tumpuan' mencipta pandangan yang lebih tepat dan jarang menipu.

Begitulah Islam mendidik umatnya supaya memberikan fokus dan tumpuan dalam semua ibadah dan aktiviti supaya dapat mengelak dari penipuan dan perdayaan segala ciri-ciri yang bersifat sementara dan fana.

Pandangan mata kasar boleh tersasar; pandangan mata hati yang menepati realiti. 

17 November 2011

Resensi Buku: Setitis Embun Semarak Api (Shahnon Ahmad)

Dalam kesibukan hidup yang sedikit sangat ruang rehat itu, akhirnya berjaya juga aku menamatkan pembacaan auto-biografi SN Shahnon Ahmad berjudul Setitis Embun Semarak Api  (SESA). Karya panjang yang penuh dengan siratan dan anyaman ilmu, kemahiran, kebijaksanaan dan pengalaman seorang novelis dan ilmuan yang bergelar Sasterawan Negara ini terlalu mengasyikkan. Meskipun sesekali tercuit rasa jemu justru perjalanan ceritera seperti dipaksa-paksakan seperti penyelitan kertas-kertas kerja dan kajian penulis yang dimasukkan ke dalam karyanya atau unsur-unsur pengulangan yang seperti disengajakan bagi mencetuskan sesuatu impak yang aku sendiri malas menduganya!  

Inilah antara karya-karya tebal yang mampu aku khatamkan pembacaannya sepanjang usiaku ini. Seingatanku, novel tebal pertama yang berjaya kusempurnakan pembacaannya ialah Desa Pingitan karangan Ibrahim Omar; milik abang sulungku yang digunapakai sebagai teks sastera sekolahnya (SMSAH) dt tahun-tahun 70-an ketika usiaku masih awal belasan tahun dulu dan masih menuntut di sekolah rendah lagi. Diikuti kemudiannya dengan novel-novel seperti Hujan Pagi (A. Samad Said), Rantau Selamat (Abdullah Hussain), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Al-Sqiqaq 1(Shahnon Ahmad), Sandera (Arenawati), Salina (A. Samad Said) dan beberapa karya lain sekitar 300 hingga 500 halaman begitu. Auto-biografi SESA SN Shahnon Ahmad ini pula sebanyak 516 halaman.

Membaca karya ini, terasa diri seperti sedang berenang dilautan salju yang mendamaikan bahkan sesekali terasa berada di lautan api yang membahang. 100 bab yang dicerakinkan dengan pelbagai nostalgia karyanya yang beraneka – cerpen, novel, kertas-kerja, khutbah, esei, kritikan, ilusi, monolog dsb – melengkapkan satu perjalanan seorang yang bergelar sasterawan sejati. Seorang yang menjadikan masyarakatnya – dengan segala kemelut dan rencam budayanya -  sebagai medan berkarya dengan perspektif yang menjurus kepada peleraian yang bersifat rabbaniyy atau fitrah kemanusiaan itu sendiri.

Banggol Derdap, Sik, Kedah - kampung kelahirannya adalah sumber ilham yang memperkaya dan memperkasa karya-karyanya. Kehidupan masyarakatnya disekitar dekad 40-an hingga 60-an adalah diari terbuka yang disunting dan diadun dalam karya-karyanya penuh dramatik, sensasi dan menarik. Shahnon menekuni bi’ahnya dengan penuh ketelitian disetiap liku dan sudut kemanusiaan masyarakatnya. 

Penduduk kampung yang hidup dengan budaya dan persekitaran yang bersirat dengan penat-jerih dan jeritan kepayahan diangkat menjadi karya sastera yang dapat dikongsi oleh  insan-insan lain diserata dunia. Bukit Enggang atau “Srengenge” yang melintang daerahnya itu, merakamkan pelbagai kisah suka duka yang sukar dilupakan.

Ibunya adalah sumber ilham dan pancaran citra kesungguhan yang memercikkan semangat dan iltizam yang mendalam dan cukup berkesan dalam kariernya sebagai penulis. Keluarganya yang terbina dari semangat hijrah telah membina pelbagai kekuatan dan stamina untuk sentiasa mampu dan anjal untuk berubah dan menjadi agen untuk melakukan perubahan. Ibunya yang berasal dari Selatan Thailand dan bapanya yang berasal dari suku batak, di Sumatera; ditakdirkan bertemu, berkahwin dan bersama-sama turut mewarnai kanvas kehidupan desa yang menjadi ikon dan proksi kehidupan masyarakat Melayu di tempat-tempat lain juga pada ketika itu. Demikianlah takdir Ilahi yang melahirkan seorang tokoh seni yang prolific dan sangat peka dengan gerak dan gema setiap makhluk dipersekitarannya.
Shahnon menulis bahawa dia telah berusaha berdakwah melakukan amar makruf dan nahi munkar dengan menggunakan medium penulisan. Tidak hairanlah jiwanya yang kental itu dibaluti dengan citra kehidupannya yang berwarna warni. Dunia yang beliau ceburi amat rencam dan beraneka. Dari senarai rekod kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai guru, penyusun kamus, pensyarah dan ahli politik. Pernah juga bergiat dalam politik UMNO diusia mudanya tetapi kemudiannya menjadi wakil rakyat PAS diumur-umur pencennya. Pernah bergiat dalam kumpulan al-Arqam selama beberapa tahun. Namun dalam apa saja bidang yang diceburinya, nyata yang terserlah adalah bakatnya dalam bidang penulisan. Segala pengalaman dan ilmu yang ditempuhinya adalah simbahan idea yang terlalu bertenaga untuk dirakamkan dalam bentuk hasil karya kreatif samada cerpen ataupun novel.

Beliau cuba mencipta kemesraan kreativitinya dengan unsur-unsur alam dan gelagat fitrahnya yang pelbagai dan beraneka. Pengalaman yang sarat dengan hitam putih dan warna-warni kemanusiaan serta sifat atau ciri alam yang mendarah daging dengan gelagat bahasa yang bertenaga seolah-olah memberi kesempatan untuk pembaca turut merasai kerencaman hidup yang cukup menarik dan dramatik.

Rempuhan seni yang terkawal cuba diaplikasikan dengan cermat dan mesra. Fokus utamanya adalah sasaran menuju matlamat kebenaran dan keadilan; mencari makna kesaksamaan dan kembali kepada Pencipta yang asal. Fitrah kehidupan tetap berjalan dengan tenang dan megah di atas paksi takdir dan sunnahNya. Lalu segala yang berlaku secara menyongsang dan bercanggah akan menemui jalan sukar dan payah. Demikianlah falsafah yang menunjangi tulisannya disetiap sudut pandangan dan efek yang berlaku di dalam penceritaan, analogi maupun pementasan watak yang cuba dijelmakan.

Kerap Shahnon mengkritik secara tajam, pedas sesekali kelihatan ganas. Segalanya berpunca dari kebobrokan sikap dan perangai manusia yang terlepas dari acuan fitrah Ilahiyyah. Kita melihat beliau beraksi dengan berang dan kasar pada waktu-waktu yang tepat dengan sifat sombong-bongkak insan yang lupa diri atau terjerumus jauh digomol nafsu serakah.

Tulisannya yang kritis dan analitikal tidak pernah menghampakan peminatnya meskipun beliau diuji Tuhan dengan penyakit MG yang mengehadkan beliau untuk bebas beraksi dan bergerak. Dalam kepayahan tersebut berlaku bermacam kontradiksi konflik dalaman yang sukar terlerai. Cuma kekuatan iman, akidah dan taqwanya telah memberikan beliau kesempatan membina dan meredai dengan mendahulukan kesan syukur mengatasi makna sabar.

Dalam kepayahan meniti hidupnya itulah beliau beruzlah. Menulusuri gerak lintuk aktiviti unsur-unsur alam. Shahnon mengukir personafikasi pada watak-watak utama yang beraksi sebagai agen utama menjuarai perubahan cerun bentuk mukabumi seperti sungai, hujan, pokok, angin, air, bukit-bukau dan sebagainya. Memberikan nilai Ilahi kepada semua unsur tersebut lalu mewarnai seluruh watak mereka dengan fitrah dan aksi mencetuskan pertarungan dan kontradiksi yang membuak terhadap perlakuan manusia yang gagal berperanan sebagai khalifah dalam menggenggam kukuh amanah bertunjangkan kepatuhan kepada Pencitpanya.


Karya Agung  yang menjadi igauannya masih tetap berdiri utuh sebagai tunggak idealisme yang gagal dirrealitikan. Cetusan karya agung yang mahu dihasilkannya masih bercempera dalam mindanya. Hanya sekadar mencuba-cuba dengan mainan idea cuma dan meronta dalam kotak monolog yang berbalut ketidakpastian. Pembaca hanya dapat mengutip cebisan-cebisan idea yang bermacam dari igau yang masih kacau atau bercelaru. Inilah kemuncak impiannya yang tidak dizinkan Tuhan untuk menjadi kenyataan. Lalu dengan kepayahannya diasak penyakit MG nya itu, dia membuka relung minda dalam uzlah sepi yang penuh syahdu dengan melihat segala makhluk ciptaan Tuhan dalam dimensi yang pelbagai sehingga kemudiannya terhasil karya-karya pasca-MGnya seperti Sungai, Pokok, Revolusi Yang Ditangguhkan dsb.

Shahnon memang dilahirkan dengan seni dan bakat  menulis yang unik dan konsisten dalam kariernya beraksi dengan gaya tersendiri mengkritik ataupun menyampaikan dakwah kepada khalayak, masyarakat dan manusia sejagat. 

20 Oktober 2011

Antara keajaiban angka 9

19 = (1 + 9 = 10; 1 x 9 =  9)   ==>  10 +  9  = 19
29 = (2 + 9 = 11; 2 x 9 = 18)  ==>  11 + 18 = 29
39 = (3 + 9 = 12; 3 x 9 = 27)  ==> 12 + 27 = 39
49 = (4 + 9 = 13; 4 x 9 = 36)  ==> 13 + 36 = 49
59 = (5 + 9 = 14; 5 x 9 = 45)  ==> 14 + 45 = 59
69 = (6 + 9 = 15; 6 x 9 = 54)  ==> 15 + 54 = 69
79 = (7 + 9 = 16; 7 x 9 = 63)  ==> 16 + 63 = 79
89 = (8 + 9 = 17; 8 x 9 = 72)  ==> 17 + 72 = 89
99 = (9 + 9 = 19; 9 x 9 = 81)  ==> 18 + 81 = 99






Inilah laluan perjalanan kita

19 Oktober 2011

Doa Mustajab

7 golongan insan yang mustajab doanya:

1 - Ibubapa terhadap anak-anaknya.
2 - Anak yang soleh/solehah.
3 - Inter-sahabat (doa sesama sahabat/insan)
4 - Orang yang di dalam kesusahan.
5 - Orang yang sedang berpuassa.
6 - Orang yang dalam musafir
7 - Pemimpim yang adil.

17 Oktober 2011

Bersediakan menjadi orang yang bahagia?

Orang yang bahagia itu 

akan selalu menyediakan waktu untuk membaca

kerana membaca itu sumber hikmah;

akan selalu menyediakan waktu untuk berfikir

kerana berfikir itu paksi kemajuan;

akan selalu menyediakan waktu untuk bekerja

kerana bekerja itu nilai keberhasilan;

akan selalu menyediakan waktu untuk ketawa

kerana ketawa itu irama terapi jiwa;

akan selalu menyediakan waktu untuk memberi

kerana memberi itu sumber keberkatan;

akan selalu juga menyediakan waktu untuk beribadat

kerana beribadat itu induk segala ketenangan jiwa.

16 Oktober 2011

Menyantuni al-Quran

Kata Ustaz Aminuddin Abdul Rahim dalam kuliahnya Sabtu lalu, " Kalau kita letakkan Quran di depan kita, Quran pasti akan bimbing kita ke Syurga. Tapi kalau kita letakkan Quran di belakang kita, Quran akan tolak kita ke neraka!"

"Kalau satu hari kita ambil satu minit saja untuk baca satu ayat al-Quran dengan terjemahannya tentulah satu amalan yang terbaik. Bukankah dalam sehari kita mendapat 1440 minit (24 jam x 60). Ini bermakna dalam masa 6600 hari lebih kita akan khatam satu al-Quran dengan memahami mesej dan kehendak al-Quran. Baki lagi 1439 minit buatlah kerja dan amalan yang lain" .

"Misalnya, hari ini buka al-Quran dan baca 'Alif Laam Miim'. Baca pula terjemahannya 'Hanya Allah sahaja yang mengetahui maksudnya'. Cukup...tak sampai pun 1 minit..." Esok sambung pula baca satu lagi ayat dan maknanya...kita belajar setiapa hari, kalau kita mati pun tiada masalah sebab kita dalam proses sedang belajar, InsyaAllah kita akan menjadi hambaNya yang diredai".

Nanti semakin lama kita bersikap begitu dengan al-Quran, dengan sendirinya kita akan tambah masa menjadi 2 minit, 3 minit, 15 minit, 30 minit dan seterusnya sebab al-Quran adalah kitab hidayah, panduan untuk seluruh umat manusia.

(Kata satu sumber yang pernah sampai kepadaku: Perdana Menteri Britain (namanya aku dah lupa) akan membuka al-Quran pada setiap pagi dan membacanya sebab difahamkan ianya akan memberi kepadanya sumber ilham dan panduan untuk dia bertidak dalam kerjayanya seharian, wallahuaxlam!)

12 Oktober 2011

ANGKA 49 & SIGNIFIKANNYA TERHADAP KEHIDUPANKU

49 cumalah salah satu daripada angka-angka. Sekadar angka biasa. Tiada yang istimewa padanya. Sama sepertimana angka-angka yang lain juga.

Dalam kes nombor bulat, selain dari 1 x 49 (atau sebaliknya), cuma ada satu lagi kombinasi hasil darab yang menghasilkan jumlah 49 - 7 darab 7. (Kelihatan semacam ada keistimewaan bilamana nombor 49 dihubungkaitkan dengan angka 7. Bukankah angka 7 mempunyai nilai dan kehebatan tersendiri bilamana ianya dikaitkan dengan 7 lapisan bumi, 7 lapisan langit, 7 hari seminggu, 7 ayat surah al-Fatihah, 7 keajaiban dunia dan bermacam 7 lagi?!)

Surah paling panjang dalam al-Quran adalah surah al-Baqarah. Tahukah anda bahawa surah yang berjumlah 286 ayat ini berakhir pada muka surat 49.

Meneliti kajian-kajian kalimah mengenai ayat-ayat al-Quran terdapat dua kalimah yang berjumlah 49 perkataan. Perkataan itu ialah ‘al-Aqlu’ bermakna akal dan ‘an-Nuur’ bermakna cahaya. (Akal dan cahaya Ilahi memang diperlukan dalam memandu insan menjalani kehidupan demi kebahagian dunia dan akhirat)

Takdirnya Allah telah menentukan aku memilih untuk membeli rumah di Taman Cahaya, Hutan Kampong. Nombor rumahnya pula ialah 49. (Subhanallah – apakah rahsianya perkaitan ini buat diriku? Mudah-mudahan ada rahsia kebaikan dan keberkatan dariNya untukku dan familiku, InsyaAllah..)

Blog yang telah kubina dengan nama Ibnu Daud al-Jalaini (mengambil sempena nama bapaku dan kampung asalku Tok Jalai) bermula tahun 2008 telah kuhiasai tajuk utamannya dengan satu khat ayat al-Quran bermaksud “ Maklumkan kepada seluruh hamba-hambaku bahawa sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Rupanya bila semakan dibuat di dapati ayat tersebut adalah dari Surah al-Hijr ayat 49. (Kebetulan apakah yang hendak disampaikan padaku oleh Tuhanku bilamana angka itu memberi signifikan yang berbagai dalam kehidupanku!)

Hari ini genap usiaku 49 mengikut perkiraan tahun masihi. Sempena hari ulanglahirku ini ada berita istimewa dalam dunia kerjayaku. Jika rezeki memang telah tertulis menjadi milikku, ianya sudah tentu menjadi hadiah birthday 49-ku yang amat bermakna….







12 September 2011

Tazkirah Ramadhan di Holiday Villa

Tanah Jajahan atau Tanah Naungan?

Fokus kepada sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini semacam tawar saja. Ke'ceroi'an itu terpacul secara tiba-tiba sahaja ekoran dari polemik yang tiada noktah penghujung akhir-akhir ini. Apa sudah jadi dengan sejarah Tanah Melayu atau Sejarah Malaysia ini? Sentuhan-sentuhan oleh pelbagai pihak tambah membingungkan bahkan meengelirukan.

Kita mungkin mudah menghidu komentar yang berkepentingan politik kerana ianya membawa gelombang dan nada tertentu. Justeru kita dengan mudah dapat menentukan pendirian yang wajar dengan seloka dan pantun politik yang datang secara bermusim tanpa istilah mustahil itu. Pendekata, isu-isu politik masih boleh di anggap secondary dalam melunasi hakikat kejujuran yang menimbulkan persoalan di minda dan keyakinan di jiwa.

Cetusan hambar sebegini sebenarnya bersumber dari tafsiran-tafsiran akademik yang mula diangkat ke perbicangan umum berkaitan dengan istilah ‘penjajahan’ dan ‘naungan’. Tersentak dengan kenyataan wakil Majlis Profesor Malaysia, Profesor Zainal Kling yang menyebutkan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya di’naungi’ sahaja oleh Kerajaan British – ianya mengudang polemik yang sukar dileraikan.

Kemerdekaan yang diangkat menjadi acara tahunan dalam sambutan yang gilang-gemilang kini menjadi persoalan. Apa sebenarnya makna kemerdekaan? Jika Kerajaan British hanya menaungi Tanah Melayu (bukan menjajah) apa signifikannya sambutan kemerdekaan itu?

Jika sekadar menaungi, kenapa selama ini tidak pernah pun disebutkan dalam buku-buku sejarah. Yang ada adalah perkataan penjajahan. Sedangkan menjajahi dan menaungi tidak pernah dilihat mempunyai makna dan tafsiran yang serupa.

Apa yang lebih peliknya kenapa sekarang baru ditimbulkan perkara tersebut setelah berlalu masa yang melebihi separuh kurun cerita kemerdekaan berlalu?! Adakah ianya berkaitan dengan cerita Mohd Sabu dan Bukit Kepong yang menjuarai carta berita diakhir Ramadhan dan awal Syawal tahun ini?!

Sejarah Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka menjadi sesuatu yang sukar dimengertikan. Jika tiada penjajahan bagaimana tuntutan kemerdekaan boleh berlaku. Andaikata ianya satu penyerahan kuasa kenapa perlu digembar-gemburkan perkataan merdeka yang selama ini disajikan dalam kurikulum pendidikan berdekad lamanya.

Kekeliruan ini terasa sekali kerana ianya membawa konotasi yang dalam dan panjang. Ianya nenafikan dan melukai para pejuang kebangsaan yang diketahui dan dimaklumi. Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau, Pak Sako, Datok Maharaja Lela, Datok Sagor adalah antara beberapa nama pejuang kebangsaan. Siapa yang mereka tentang sebenarnya? Tidakkah pernah diberitahu bahawa musuh mereka adalah penjajah?! Sungguh keliru dan mengelirukan!!

Kenapa orang-orang akademik gagal menjunjung taraf profesionalisme mereka secara jujur? Kejujuran dengan fakta yang tepat dan bukti yang konkrit tanpa melakukan jenayah akademik yang memualkan. Dimanakah rujukan dan hujah yang boleh membuktikan kenyataan yang berani dibuat secara terbuka sehingga menimbulkan impak yang terang-terangan melawan arus perdana yang menjadi pegangan umum.

Kita menanti kajian lanjut yang lebih profesional dan tepat untuk menjawab kecelaruan fakta sebegini.

16 Jun 2011

Hidup tidak selalunya indah kerana disitulah indahnya hidup

14 Jun 2011

Marah....

Jadikan kemarahan itu seperti api di dapur.
Jangan dibiarkan ia marak nanti hangus!
Jangan dibiarkan ia padam nanti dayus!
Rancanglah untuk marah....

22 April 2011

Cry



Pepatah Inggeris mungkin - tentunya merujuk kepada kehidupan yang bersifat sementara di dunia ini. Memang betul kita perlu berkongsi tangisan dengan orang lain sebab sekurang-kurangnya ianya akan menjadi terapi yang mampu mengurangkan stres dan membuka ruang santai kepada semak jiwa.

Namun dalam Islam kita diajar menangis sendirian dalam menjalani hubungan dengan Allah S.W.T.

Mata yang menangis kerana takutkan Allah, yang berjaga malam kerana beribadat, yang berjuang dimedan jihad - Allah haramkan pemilik mata tersebut dari jilatan api neraka....

29 Mac 2011

Kuat & Perkasa

Untuk jadi kuat dan perkasa dalam segala aspek kemanusiaan ,  kita perlu beri makan  seluruh anggota kita: perut, akal, hati, nafsu, mata, telinga dll.

23 Mac 2011

DOA TAHLIL VERSI TERJEMAHAN


Alhamdulillahi-rabbil a-lamin Segala pujian hanya bagi Allah yang menguasai pemerintahan semesta alam dengan sanjungan yang sesuai dengan nikmat-nikmatNya dan sejajar dengan tambahan anugerahNya. Ya Rabbana Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian sebagaimana selayaknya bagi keagungan zatMu dan kebesaran kekuasaanMu.
Allahumma Ya Allah,cucurilah kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w dengan kesejahteraan yang dapat menyelamatkan kami daripada segenap kekalutan dan kemusnahan, yang dapat menunaikan segala hajat dan keperluan, yang dapat membersihkan kami daripada segala kejahatan, yang dapat mengangkat kami ke darjat yang tinggi serta dapat menyampaikan kami ke kemuncak harapan daripada segala kebaikan semasa hidup di dunia dan selepas mati.
Subha-naka Maha suci Engkau Ya Allah, tidaklah terkira oleh kami pujian yang selayaknya untukMu sebagaimana Engkau memuji diriMu sendiri. Maka untukMu juga segala pujian sebelum Engkau meredhai kami. UntukMu jua segala pujian setelah itu, setelah Engkau terus-menerus meredhai kami selama-lamanya.
Allahumma Ya Allah, dengan al-Quran yang agung ini, Engkau lapangkanlah dada kami, permudahkanlah urusan kami, berikanlah kami ganjaran yang besar, muliakanlah akhlak kami, luaskanlah rezeki kami dan terangilah hati dan kubur kami, Ya Rabbal Alamin.
Ya Allah, ganjarilah kami atas bacaan kami ini dengan ganjaran yang melimpah ruah dan pahala yang besar daripadaMu. Terimalah daripada kami dengan kurniaMu dan kasih-sayangMu sebagai penerimaan yang berkat lagi indah.
Ya Allah, jadikanlah pahala apa yang kami baca, keberkatan apa yang kami lafazkan, selawat kami kepada Nabi Muhammad s.a.w, juga bacaan tahlil kami dan takbir kami ini sebagai hadiah dari kurniaan rahmatMu, kami persembah dan hadiahkan kepada hadrat Nabi s.a.w. demi menambahkan lagi kemuliaannya yang telah sedia agung.
Termasuklah kepada roh-roh datuk nenek dan saudara maranya dari kalangan nabi-nabi dan rasul- rasul. Juga kepada para pemimpin kami dari kalangan khulafa ar-Rasyidin yakni Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta kepada semua sahabat, kaum kerabat, para tabiin dan orang-orang yang mengikut mereka dengan kebaikan sampai ke hari akhirat.
Ya Allah, jadikanlah ganjaran pahala seumpama demikian ini di samping anugerah tambahan dan kasih sayang redaMu kepada ruh Al-Marhum/AI Marhumah…….. yang kami berkumpul di sini kerana mereka dan membaca ayat-ayat al-Quran untuk mereka. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui tentang diri mereka dan nama mereka dan Engkaulah Tuhan yang Maha Kaya dalam melepaskan mereka daripada seksaan dan azabMu, Ya akramal akromin.

Ya Allah, sampaikanlah pahala itu kepada mereka. Jadikanlah ia cahaya yang terang benderang di hadapan mereka dan dengan rahmatMu Ya Allah kurniakanlah anugerahMu kepada mereka. Rahmatilah mereka dengan al-Quran yang agung ini sebagai rahmat yang amat luas. Ampunilah mereka dengan keampunan yang meliputi semua dosa. Ya malikaddunya wal akhirah. Ya rabbal a-lamin.
Allahummaghfirlahu-warhamhu-wa-afili-waxfu anhu (ha/hum) Ya Allah, ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka, hindarilah mereka daripada keburukan dan maafkan mereka. Muliakanlah pertemuan mereka, luaskanlah laluan mereka, mandikanlah mereka dengan kesejukan mandian rahmatMu, bersihkanlah mereka daripada kesalahan-kesalahan sebagaimana pakaian yang putih yang dibersihkan daripada kekotoran. Anugerahkanlah untuk mereka rumah, keluarga dan pasangan yang lebih istimewa. Masukkanlah mereka ke dalam syurga dan hindarilah mereka daripada azab kubur dan ujiannya serta daripada azab neraka.
Ya Allah, jadikanlah juga pahala seumpama yang demikian itu dalam suratan kami dan dalam suratan ibu bapa kami, guru-guru kami, mereka yang ada bersama kami dan yang tidak bersama kami, mereka yang masih hidup di kalangan kami atau yang telah mati, juga kepada umat Islam seluruhnya.
Ya Allah perelokkanlah kesudahan kami dalam segenap urusan. Hindarkanlah kami daripada kerugian dunia dan azab di akhirat, Ya rabbal a-lamin.
Ya Allah, jadikanlah pertemuan kami ini sebagai pertemuan yang dirahmati dan perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang dipelihara.
Janganlah kiranya Ya Allah dijadikan siapa sahaja di kalangan kami atau yang bersama kami mendapat kecelakaan dan terhalang dari rahmatMu.
Ya Allah, pimpinlah orang yang kurang baik di kalangan kami kepada orang yang berbuat kebaikan dan yang cuai kepada yang beramal. Janganlah dijadikan kami hidup dalam kelalaian dan janganlah dihukum kami dalam keadaan terpedaya. Jadikanlah perkataan kami yang terakhir tatkala sampai ajal kami kalimah La ilaha illallah. Matikanlah kami di alas kalimah itu tanpa terfitnah, tanpa sesat dan menyesatkan, tanpa mengubah dan memindanya. Cukuplah Engkau untuk kami dan Engkaulah sebaik-baik pelindung. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.
Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini kebaikan dan di akhiratjuga kebaikan serta hindarkanlah kami daripada azab neraka. Sebaik-baik selawat dan sesempurna salam kami persembahkan kepada junjungan kami Muhammad s.a.w penutup segala nabi dan rasul, juga kepada ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian. Maha suci Allah, Tuhan yang suci daripada segala yang disifatkan oleh mereka yang kufur; salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

22 Mac 2011

Berilah hadiah yang terbaik untuk semua


Hadiah terbaik untuk seorang teman adalah kesetiaan
Hadiah terbaik untuk seorang musuh adalah kemaafan
Hadiah terbaik untuk seorang guru adalah adab sopan
Hadiah terbaik untuk murid adalah tauladan
Hadiah terbaik untuk sebuah kehidupan adalah kasih-sayang
Hadiah terbaik untuk sebuah kematian adalah doa kesejahteraan
Hadiah terbaik untuk ibubapa adalah kebaktian
Hadiah terbaik untuk seorang isteri adalah penghargaan
Hadiah terbaik untuk anak adalah pendidikan
Hadiah terbaik untuk diri adalah kejujuran

21 Mac 2011

TSUNAMI & MURKA ILAHI

8.9 Richter

Pulau Honshu berganjak 2.4 meter TSUNAMI

Terlalu Seronok Undang Nestapa Akibat Murka Ilahi

TSUNAMI

Tolak Syariat Undang Nestapa Akibat Murka Ilahi

TSUNAMI

Tidak Solat Undang Nestapa Akibat Murka Ilahi

TSUNAMI

Tiada Syukur Undang Nestapa Akibat Murka Ilahi

TSUNAMI

Teman Syaitan Undang Nestapa Akibat Murka Ilahi

TSUNAMI

Tuhan Selalu Uji Namun Anda Masih Ingkar

TSUNAMI

Terpulang Sajalah UntukNya Atasi Maksiat Insan !