Pengikut

26 Julai 2009

Selesema Babi

Wabak selesema babi. Dengan kata lain influenza H1N1. Serangannya cukup digeruni. Catatan angka-angka maut yang bersabit dengan kes ini ternyata semakin meningkat. Belum ada apa-apa tanda yang memperlihatkan kejayaan pakar mengaplikasikan sebarang penemuan vaksin untuk suatu pengisytiharan langkah-langkah kemajuan dan kejayaan mengatasinya.

Dunia yang dianggap semakin bergaya mencerna kemajuan dan teknologi menjadi bingung seketika dengan perkembangan wabak yang menular sebegitu cepat serta menelan mangsa yang tidak sedikit. Malaysia tidak terkecuali dalam 'tragedi' ini. IPT-IPT terpaksa mengambil langkah-langkah keselamatan dan penjagaan dengan memberi ruang bercuti kepada pelajar.

Jika wabak seumpama ini dikaitkan dengan fenomena aktiviti manusia yang semakin terperangkap dengan budaya 'lupa Tuhan';terjebak dengan aliran memuja seluruh unsur-unsur hedonisme; terkinja-kinja dipentas gelora nafsu dan keseronokan maka jawapannya adalah merujuk kepada hukum pembalasan akibat gagal memelihara keharmonian fitrah yang menjadi asas keseimbangan.

10 Julai 2009

Khutbah: Nostalgia Tamadun Islam: Kemana halatuju kita dan generasi mendatang

Marilah kita sama-sama menjadi hamba bagi Allah yang sentiasa patuh dan taat kepada perintah-perintahNya. Marilah kita memperkukuhkan iman dan taqwa kita kepadaNya dan berusaha dengan gigih dan tekun untuk mendapatkan keredaan dan rahmatNya.

Perkataan taqwa ini telah begitu lama kita dengar dan akan terus menerus diperdengarkan kepada kita kerana ia adalah asas kepada risalah para rasul – para anbiya dan mursalin - dan merupakan syarat bagi kejayaan dan kecemerlangan insan dalam urusan kehidupan duniawi dan akhiratnya juga.

Taqwa kepada Allah yang merupakan wasiat bagi orang terdahulu dan yang terkemudian, kebajikan dan kebaikan. Keselamatan dari kehinaan pada hari kiamat kelak diberikan kepada orang yang datang bertemu Allah dengan hati dibaluti ketaqwaan, bersih dari syirik dan membawa bersamanya bekalan amalan yang diterima oleh Allah SWT.



“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah dikalangan kamu adalah mereka yang paling bertaqwa”.

Sidang Jumaat sekelian,

Islam telah datang membawa perubahan yang besar dalam kehidupan manusia seluruhnya. Terkadang kita alpa dan leka dengan sejarah dan sirah yang pernah berlaku yang mencatatkan bagaimana Islam telah berjaya membawa satu bentuk keyakinan yang mudah, yakni bertauhid kepada Tuhan Yang Esa, Tuan Yang Satu.

Umat Islam diseluruh dunia juga berpegang kepada satu panduan syariat iaitu al-Quran. Menghala kepada kiblat yang satu iaitu Kaabah. Merujuk dan mengambil pedoman kepada Rasul yang satu, Nabi Muhammad SAW.

Jadi, segala asas kesatuan ini dimiliki secara mutlak oleh kita umat Islam dimana saja kita berada. Bumi umat Islam sangat diberkati sehingga disediakan dengan pelbagai kekayaan hasil bumi yang cukup dicemburui. Tidak ada sebab kita harus bersusah payah berfikir dan mencari mana-mana pegangan atau agama lain.

Islam juga telah terbukti membina satu tamadun yang sangat hebat dengan menyerlahkan keadilan dan kemakmuran; memberikan ruang yang sangat luas kepada penguasaan ilmu, sains bahkan penerokaan laut dan angkasa.

Rata-rata kajian para ilmuan ternyata menunjukkan bahawa negara-negara Barat dan Eropah sangat terhutang budi kepada Tamadun Islam dalam membina kemajuan mereka. Walaupun generasi kita dan anak cucu kita diajar dan dididik dengan agenda membesar dan mengkagumi sains dan teknologi barat; segala penemuan dan ciptaan adalah dimulakan oleh orang-orang barat; kita diperkenalkan dengan nama-nama Sir Isaac Newton, Alexander Graham Bell, Henry Ford, Ferdinand Magellan dan sebagainya ataupun tokoh-tokoh Rom yang awal seperti Plato, Aristotle dan Socrates – namun yakinlah sumber kemajuan dan kecanggihan barat sebenarnya adalah hasil dari sinar Tamadun Islam yang telah berjaya menguasai Ilmu-ilmu al-Quran & ilmu-ilmu lain yang dipelajari, yang diadaptasi, yang dicuri dan diubahsuai oleh mereka kemudiannya.

Cumanya kita mungkin tertipu atau diperdaya oleh telalu banyaknya agenda sehingga menyebabkan terlalu banyak ketidakjujuran yang tercetus sepanjang tempoh mendokumentasikan sejarah dunia itu sendiri.

Sepatutnya kita perlu kenal dan berbangga dengan pakar-pakar yang sekaligus ulama-ulama Islam yang pernah memenuhi tamadun dengan sumbangan mereka. Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibn Rusydi, Ibu Haitam (sekadar menyebut beberapa nama) yang menguasai bidang perubatan, kajian bintang dn falak, ilmu sosiologi, ilmu-ilmu sastera, muzik dan seni sekaligus mempunyai keahlian dalam bidang tafsir, hadis, mantiq, fiqah dsb.

Itu belum lagi kita mengambil ulama-ulama besar dan hebat seperti as-Syafie, Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Malik, al-Imam al-Ghazali dan banyak lagi yang telah memberikan sumbangan terlalu besar dalam bidang ilmu dan disiplin-disiplinnya.


“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”

Sidang Jumaat sekalian,

Penghijrahan Rasulullah S.A.W ke Yathrib berlaku dalam tahun 622 Masihi. Baginda kemudiannya menukarkan perkataan Yathrib kepada Madinah. Peritiwa ini menggambarkan bandar itu sendiri sebagai tamadun. Oleh itu, Madinah lebih tepat diertikan sebagai pusat tamadun manusia kerana penduduk di Madinah tidak lagi jahil, biadap dan kuno seperti penduduk Mekah ketika itu.

Jika ditinjau dari perspektif sejarah, wujudnya tamadun besar dunia seperti tamadun Cina di lembah YangTze Kiang, Tamadun India di lembah Indus, Babylon, Mesir dan Yunani serta Parsi semuanya memakan masa yang lama untuk berkembang. Namun ia berbeza dengan tamadun Islam yang lahir ditengah-tengah masyarakat yang tinggal di gurun kering, bilangan penduduknya yang sedikit dan berpindah randah. Tidak sampai dua abad (200 tahun) dari saat kelahirannya, tiba-tiba kegemilangannya telah mempengaruhi Eropah, Himalaya bahkan Cina. Sedangkan tamadun besar lain memakan masa beribu-ribu tahun lamanya untuk mencapai kemajuan.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan perkembangan Tamadun Islam?
1. Ajaran Islam itu sendiri yang bersifat maju dan bermutu tinggi
2. Kebangkitan Islam bukan berdasarkan longgokan harta benda
3. Adanya golongan ulama dan intelektual
4. Kesederhanaan hidup

Mengapa Tamadun Islam Disifatkan Unik?

1. Ia lahir bersama penurunan wahyu
2. Apabila ajaran Islam diterima dan diamalkan mereka yang hidup dalam lingkungan akhlak yang mulia, kerukunan dan bertatasusila tinggi.

Ternyata Nabi Muhammad SAW telah mencipta rekod pembinaan dan perubahaan masyrakat dalam tempoh masa paling singkat.

Inilah satu bentuk ingatan yang harus kita wariskan kepada anak-cucu generasi yang bakal mewarisi kita bahawa Islam mestilah dipegang dengan kuat dan mantap. Bahawa tamadun yang hebat yang pernah kita lalui boleh digilap kembali jika kita bersedia berpegang dan mengambil panduan dari kitab al-Quran itu sendiri. Tidak ada siapa pun yang boleh memadamkan cahaya Allah sebab Islam adalah dari Allah SWT.




“Mereka berusaha keras memadamkan cahaya Allah dengan lidah-lidah mereka tetapi Allah tetap menyempurnakan agamanya walaupun dibenci oleh orang-orang yang kafir”

Muslimin yang berbahagia,

Tamadun Islam adalah sinar cahaya yang menyuluh seluruh alam dengan hakikat sebenar kewujudan Insan. Islam adalah acuan sebenar yang paling serasi dengan ciptaan manusia itu sendiri.

Siapa yang bersama Islam pasti akan berjaya sesiapa yang terbabas akan tertinggal.

Kajian dan perangkaan memperlihatkan bahawa masyarakat dunia kian kembali kepada Islam. Mahu berjinak-jinak dengan Islam. Berapa ramai rakyat di Amerika dan Eropah yang menerima Islam. Bangunan-bangunan masjid semakin banyak terbina dimerata tempat diseluruh dunia bagi menggambarkan syiar Islam itu semakin diterima.

Semakin kuat Islam ditekan dan dicemburui oleh musuh-musuh Islam - samada Yahudi atau Kristian; samada Kafir atau Munafik- selama itu juga Islam menjadi ikon yang cuba dirapati.

Secara logiknya Palestin telah lama hilang dalam peta dunia dengan segala kecanggihan senjata Yahudi Israel namun ternyata Palestin masih kuat dan hebat berdiri berjuang dan mempertahankan Islam. Sudah menjadi sifat kepada Islam sepanjang sejarahnya ia ditentang dan dimusuhi. Namun Islam tetap bangkit dan berjalan dengan bergaya menggamit hati-hati yang mahu mencari kebenaran dan keadilan. Allah memberikan cahaya iman dan petunjuk kepada sesiapa juga dari hamba-hambaNya yang berjalan mencari sinar cahayaNya.

Muslimin sidang Jumaat Sekalian,

Kita bentangkan tentang kehebatan Islam dan tamadunnya dalam khutbah pada hari ini dengan tujuan untuk memberikan satu kesedaran bahawa Islam adalah satu agama yang amat hebat dan agung. Islam dengan ajarannya telah berjaya membetuk insan yang baik dan sempurna.

Marilah kita berjalan dan bergerak dengan agama Islam ini. Marilah kita memberikan kesedaran kepada diri dan generasi anak-anak kita tentang keagungan ini. Jalan penyelesaian kepada masalah diri, masalah keluarga, masyarakat, qaryah, negeri dan negara ditangani dengan penuh kasih sayang dan kemanusiaan oleh Islam.

Kerana kita jauh dari tarbiyyah Allah maka kita berhadapan dengan pelbagai masalah yang membuntukan. Anak-anak muda yang tenggelam dalam pelbagai masalah moral dan akhlak. Salahguna dadah, ketum, jenayah,ragut, seks bebas, samseng jalanan, adalah masalah –masalah yang berada dihadapan kita dan kita berhempas pulas mahu menghadapinya. Namun belum ada sebarang tanda-tanda berkurangan.

Berapa ramai anak-anak kita yang kita belikan handphone boleh menggunakannya untuk kebaikan. Pernahkah kita periksa apa yang mereka simpan di dalam kota-kotak file handphone mereka. Sedangkan kita atau sebahagian besar dari kita pun tidak pernah tahu cara menggunakan apatah pula mahu memeriksanya.

Berapa ramai anak-anak remaja kita di cyber-cyber cafe, atau yang kita benarkan ke cyber cafe samada untuk membuat kerja sekolah atau lain-lain tujuan benar-benar melakukan kerja sekolahnya atau mereka melayari internet ke laman-laman web yang penuh dengan galakan-galakan nafsu berahi dan hiburan-bhiburan yang melekakan... dunia yang semakin laju dan kita yang semakin lemah.

Sejarah membuktikan pemuda-pemuda Islam diusia belasan tahun memimpin angkatan tentera berdakwah & membuka bumi-bumi Islam yang baru seperti India dan Sepanyol. Sedangkan anak-anak muda kita jatuh, patah, mati dimedan-medan rempit.

Apa yang boleh kita lakukan adalah memberikan didikan dan tarbiyyah kepada anak-anak supaya menjaga sembahyang mereka setiap waktu dan mesti membaca al-quran setiap hari untuk mendidik hati-hati mereka supaya mampu menapis dan menepis segala keburukan dan kemaksiatan. Keupayaan menapis fakta dalam dunia sekarang merupakan satu keperluan yang sangat utama dan mendesak. Firman Allah:



"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik yang membawa sebarang berita - janganlah kamu terimanya begitu saja tetapi hendaklah ditapis dan dinalisa terlebih dahulu supaya kamu tidak bertidak secara salah sehingga menyebabkan kamu dikhuatiri mengenakan tindakan secara salah dan buruk terhadap sesuatu kaum sehingga menimbulkan penyesalan kepada kamu implikasi kepada tindakan kamu tersebut"
Sidang Jumaat sekalian,

Kita perlu sedarkan dan penuhkan anak-anak kita dengan ilmu-ilmu asas Islam. Dengan ilmu-ilmu fardhu ain disamping ilmu-ilmu yang lain. Mari kita pupuk mereka dengan akhlak yang baik dan mulia. Majlis-majlis ilmu dimerata masjid dan surau menyediakan kemudahan pengajian untuk memahami dan beramal dengan amalan-amalan yang mulia.

Anak-anak yang terbina dengan akhlak yang baik, ilmu-ilmu asas yang kukuh, berkawan dengan teman-teman yang baik, menghormati ibubapa amat kita rindukan sekarang. Kitalah yang akan menentukan arah tuju generasi anak cucu kita mulai sekarang. Mereka yang terbina dengan akhlak Islam InsyaAllah, akan terpelihara dengan pertolongan Allah. Lepaskan mereka ke dunia luar, untuk belajar dan bekerja dimana-mana InsyaAllah mereka akan mampu menjaga maruah diri dan keluarga mereka. Kita mahu membina generasi yang sedar tentang keberadaan Allah SWT memerhati dan memantau mereka sepanjang masa. Inilah satu generasi yang nantinya boleh menjadi penyambung kepada sebuah tamadun yang adil, baik dan diharapkan.

Kita kenalkan mereka dengan insan-insan yang menjadi rujukan dalam tindakan dan kerjabuat mereka seharian. Supaya mereka tidak terikut-ikut dengan budaya hiburan yang keterlaluan atau budaya hedonisme yang banyak dipromosikan di kaca-kaca TV; supaya mereka tidak terlalu terjebak dengan menyanjung bintang-bintang filem, artis-artis hiburan, bintang-bintang sukan dan seumpamanya. Biarlah kita benihkan mereka dengan cinta ilmu, cinta amal, cinta kebenaran. Biar mereka kenal ulama-ulama Islam yang pernah berjasa pada Islam. Bahkan ulama-ulama besar yang bertungkus-lumus memberikan panduan dan bimbingan yang masih hidup seperti al-Qardawi, Dr Wahbah az-Zuhaily, Dr Ain al-Qarni yang banyak sekali hasil tulisan mereka dipasaran untuk memberi pandangan dan jawapan terhadap persoalan semasa umat Islam. Biar mereka menjadi insan yang bertanggungjawab dan mampu menggariskan hala tuju yang berguna demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara yang kita cintai ini.

Mudah-mudahan tajuk 'Tamadun Islam : Kemana halatuju kita & generasi akan datang' ini akan memberikan faedah dan buah-buah fikiran untuk kita memulakan langkah perubahan yang terbaik untuk semua.
Disampaikan di Mimbar Masjid Hutan Kampong pada 10 Julai 2009 bersamaan 17 Rejab 1430H

05 Julai 2009

Kemana arah politik Melayu?

Permainan politik yang kian memualkan. Seperti perjalanannya menuju tebing-tebing licin dan curam. Politik yang semakin sukar dikawal kerana dasarnya seperti kian terbabas. Perjuangan yang cuba memartabatkan bangsa dengan nilai yang bernama pembangunan dan keselesaan dalam tempoh masa lebih setengah abad kelihatan bercelaru dan tidak menjadi. Pemimpin-pemimpin yang diamanahkan kelihatannya sahaja beramanah. Rupanya persepsi dan takrif amanah sudah diberikan versi baru yang mudah difahami dengan pengertian sendiri-sendiri. Maksud dari segi istilah adalah jelas sebagaimana sepatutnya difahami sedangkan makna yang terbit dari perlaksaannya telah memberikan impak pengertian yang lain pula.