Pengikut

10 Julai 2012

Sirat al-Mustaqim

Orang-orang yang percayakan Allah (beriman) diminta mengerjakan solat. Solat adalah tugas dan aktiviti yang diulang-ulang. Termasuklah mengulang-ngulang membaca al-Fatihah dengan bacaan minima 17 kali dalam masa 24 jam.

Solat membina kekuatan. Ianya satu ibadah yang diterima Rasulullah S.A.W secara terus dari Allah di malam Isra' & Mi'raj. Orang yang bersolat adalah mereka yang berjaya! Di dunia dan di akhirat... 

Surah al-Fatihah menggariskan dua aspek utama. Pertama pujian dan kedua permohonan. Kita memuji Tuhan yang Maha Agung kerana kita menerima hakikat kehambaan. Hamba adalah sinonim dengan kehinaan, kerendahan, berhajat dan memerlukan - lalu kita berharap dan bermohon.

Kehidupan adalah perjalanan. Berjalan mendaki atau menuruni. Kemana pun kita melangkah kita memfokaskan laluan dan sasaran. Biasanya laluan dan sasaran itu dinamakan jalan (sirat). Justru, jalan yang menjadi laluan perjalanan kita itu mestilah mudah dan tidak menyusahkan dan tidak pula menyebabkan kita menyimpang atau menyeleweng. Jalan yang kita hajatkan adalah jalan yang benar, mudah dan tepat (sirat al-mustaqim).

Inilah permohonan kita saban waktu. Biar Allah S.W.T bimbing dan anugerah hidayah kepada kita menjalani 'jalan yang lurus' اهدناالصراط المستقيم. Jalan benar dan lurus itu dikenali melalui jejak laluan generasi terdahulu yang telah berjaya merentasi laluan tersebut dengan berjaya dan bergaya - melihat segala cara, tektik, teknik dan strategi mereka lakukan untuk kita meniru (dengan ilmu supaya tidak tertipu atau terkeliru). Teladani juga bagaimana mereka yang gagal berjalan dengan sempurna lalu tersesat dan tersasar dari laluan tersebut.

Laluan perjalanan itulah juga yang diciptakan Ilahi dalam bentuk titian yang merentangi Padang Mahsyar melintasi neraka untuk sampai ke syurga di dalam kehidupan kedua kita di akhirat nanti. Apa yang kita bawa dari dunia dalam bentuk bekalan amalan akan menentukan cara, masa dan gaya kita  berjalan melintasi titian sirat menuju destinasi kehidupan yang kekal abadi -  kekal hidup bahagia di syurga atau kekal hidup derita di neraka!

Tiada ulasan: