Pengikut

08 Ogos 2009

Bidaah yang tidak seharusnya menjadi pertikaian

Sheikh Nuruddin al-Makki semalam telah memberikan penjelasan tentang perkara-perkara bidaah yang kini kembali dipertikaikan dalam masyarakat seperi bacaan tahlil, sambutan Maulid, majlis memperingati Israk dan Mikraj, Nisfu Syaaban, bacaan Yasin malam Jumaat dan seumpamanya. Tidak ada salahnya kita mengamalkan semua perkara tersebut kerana para ulama yang mempelopori semua amalan tersebut bukannya membuat rujukan sembarangan yang terkandas dari landasan syariat.
Para ulama terdahulu yang menganjurkan semua amalan-amalan tersebut adalah mereka yang alim dan warak; adalah ulama amilin yang cukup berhati-hati dalam tindakan mereka. Semua perkara tersebut walaupun tanpa sandaran nas-nas yang sorih secara tepat yang mengungkapkannya namun nas-nas lain yang telah difahami dan dihadami ada memberi laluan kearah perlaksanaan semua amalan-amalan tersebut. Tiada salahnya kita membaca al-quran dalam satu pertemuan orang ramai yang tambahan lagi pula dipersetujui untuk diadakan jamuan kenduri dan sebagainya. Memberi jamuan adalah anjuran Rasul. Membaca al-Quran pula sangat-sangat diberi galakan oleh Rasul.
Janganlah terpengaruh dengan gesaan-gesan supaya meninggalkan amalan-amalan yang ternyata menghimpun manusia melakukan kebaikan seumpama membaca ayat-ayat al-Quran, memberi jamuan, berselawat memuji dan memperingati Rasul dll yang kononnya ianya adalah perkara bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Lebih penting lagi janganlah urusan-urusan itu menjadi sebab kepada perpecahan umat sedangkan dihadapan kita terlalu banyak lagi agenda-agenda umat yang lebih besar dan mencabar urusan akidah yang memerlukan masa, tenaga dan buah fikiran untuk menghadapinya.

Tiada ulasan: