Pengikut

15 Ogos 2009

Ramadhan Yang Tersenyum

Ramadhan bakal kembali mengungguli carta ibadah setiap Muslim yang menanti-nantikannya dalam tempoh enam hari lagi. Penantian sebuah bulan yang dijanjikan dengan lautan rahmat , curahan keberkatan dan anugerah sejuta keampunan adalah detik-detik penuh bermakna kepada setiap insan yang dapat memahami dan mengenali hakikat diri yang senantiasa lemah, banyak dosa dan amat berhajat kepada Tuhannya.

Jika kita mudah teruja dan cepat bergegas ke pasaraya-pasaraya atau gedung-gegung membeli belah kerana terliur dan tergiur dengan ‘sale’ atau tawaran-tawaran hebatnya; sesungguhnya Ramadhan bakal menjelma dengan tawaran yang sejuta kali lebih mengkagumkan! Ramadhan bakal tiba dengan beraneka kelebihan dan keistimewaan paling hebat yang mesti kita rebut! Jangan sampai terlepas!! Dan usah ketinggalan!!

Ibadah sunat yang dilaksanakan bakal diberi ganjaran berganda menyamai ibadah wajib manakala ibadah wajib pula dilipatgandakan sehingga melebihi tujuh puluh kali bahkan lebih. Satu malam bernama Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan itu adalah anugerah menyamai ibadah seribu bulan!

Inilah masanya kita mula melangkah dengan penuh ikhlas mencari reda dan rahmatNya dengan berjinak dan menekuni ibadah solat - bertarawih & bertahajud dll - sedekah, berselawat , beristighfar. Basahkan lidah kita dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir – Subhanalllah – walhamdulillah – wala-ilahaillalah – walla –huakbar.

Memperuntukkan masa buat mentartil al-quran saban hari dan malammya. Membuka ruang-ruang hati yang terkesan dengan cahaya iman lalu menyuluh nilai-nilai kebaikan sesama insan – ringankan tulang anda buat menghulur bantuan, bocorkan kocek anda untuk menjadi dermawan.

Berbuat baiklah sesama manusia meskipun berlainan agama dan warna kulit dan berbeza budaya hidupnya. Tauladanilah manusia lain dengan kebenaran dan keadilan. Demikianlah semangat dan toleransi yang ditiupkan oleh Ramadhan Karim!

Sungguh! Ramadhan menjadi simbol penuh kesyahduan buat insan seluruh alam. Dimana-mana juga kita berbuka puasa dengan penuh kesyukuran diatas nikmat yang tidak ternilaikan. Kita sadar dan insaf kepada insan-insan lain yang kurang bernasib baik. Kita juga akan segera bangun bersahur kerana detik itu penuh barakah biar dengan seteguk air cuma. Kita mahu menjadi hambaNya. Kita mahu pasrah dibawah lembayung taufik dan hidayahNya.

Kita cuba mendidik diri dan hati kita dengan nilai keinsanan yang kian terhakis dalam abad moden ini. Nilai-nilai yang semakin terlerai itu bakal terbina dengan motivasi & acuan Ramadhan. Satu bulan tarbiyyah dan latihan yang bakal menempa mercutanda taqwa.

Sebuah nilai Taqwa yang membina dan mengembangkan kemuliaan. Itulah kemuliaan insan muslim yang seharusnya menjadi umat unggul yang dilahirkan sebagai model dan icon kepada umat manusia seluruhnya. Inilah satu-satunya asas kecemerlangan yang memperkasa umat Islam didunia dan InsyaAllah nantinya akan dijemput lalu dipersilakan menduduki singgahsana syurga Allah yang penuh kenikmatan diakhirat kelak.

Tiada ulasan: