Pengikut

18 Mac 2009

Resensi Buku: Misteri Solat Subuh


Nama Buku: Misteri Solat Subuh
Penulis: Dr. Raghib as-Sirjani
Mukasurat: 147
Kandungan: 7 bab

Hadiah paling istimewa untuk manusia! Khususnya pula kepada mereka yang bernama Mukmin-Muslim.Waktu Solat Subuh!

Melepaskan peluang dalam ertikata tidak memperdulikan waktu ini (dan membiarkan ia berlalu percuma) adalah satu kerugian yang paling besar. Nilai yang Allah S.W.T. datangkan dengan fenomena Subuh adalah sesuatu yang sangat sinonim dengan pertumbuhan jiwa dan fizikal insan itu sendiri. Tidak hairanlah studi khas yang dilakukan oleh Dr Ragib as-Sirjani dalam topik “Misteri Solat Subuh” ini terlalu mengesankan.

Pengalaman penulis ketika bersama umat Barat di suatu masa ternyata memberikan satu impak bahawa mereka telah menafaatkan detik waktu subuh itu dengan sebaiknya. Walaupun kebanyakkan mereka mungkin tidak mengetahui ajaran Islam yang terlalu menekankan tentang waktu perdana ini tetapi lanskap hidup mereka telah dibudayakan dengan baik ketika melalui “detik-detik waktu embun” itu. Ada yang bersantai sambil menikmati udara segar pagi dengan anjing; yang mengatur program dan seminar seawal 6.00 pagi dengan kehadiran penuh tepat pada waktunya! Demikianlah manusia barat yang banyak menempa kejayaan duniawi yang tidak mustahil jika kita kaitkan dengan budaya hidup yang me’makna’kan waktu awal pagi dengan penuh tekun.

Islam datang dengan risalah yang sangat murni memberi hidayah dan panduan paling berharga kepada umatnya. Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya “ Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya' dan Solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya nescaya akan bergegas kepadanya walaupun terpaksa merangkak!!”. Seorang pemimpin Yahudi pernah melafazkan : “ Kita tidak perlu takut kepada orang-orang Islam sehingga mereka dapat memenuhi ruang-ruang masjid mereka pada waktu Subuh sebagaimana mereka lakukannya pada hari Jumaat!”

Kesimpulan mudahnya, pada waktu subuh tersembunyi kekuatan buat setiap peribadi muslim-mukmin dan kekuatan pada masyarakat dan umatnya. Namun sejauh mana perkara ini diberi keutamaan oleh orang-orang Islam? Nilai pendidikan yang perlu diperhatikan dengan serius oleh individu, institusi famili serta para perancang pendidikan. Tarbiyyah Islamiyyah tidak akan lengkap melainkan dengan mengambilkira asas ini sebagai aplikasi yang bersifat mandatory.

Tiada ulasan: