Pengikut

25 Mac 2009

Kerajaan PR Kedah selepas 100 hari: Satu komentar umum

Mampukah kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah yang diketuai oleh PAS dibawah teraju pimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak sebagai Menteri Besar bertahan sehingga Pilihanraya Umum ke-13 nanti dan seterusnya mampu pula mempertahankan kemenangan itu untuk penggal yang berikutnya nanti? Suatu persoalan yang sukar diberi telahan.
Bagaimanapun, senario politik Kedah selepas seratus hari pemerintah PR kelihatan masih belum bergegar hebat. Beberapa insiden yang seperti acahan-acahan kecil masih gagal menimbulkan 'kegelian' kepada kerajaan baru itu untuk mudah melatah apatah lagi hilang kawalan. Mengangkat isu-isu yang terpencil seperti penutupan tadika kemas, sabotaj oleh pihak majlis kerajaan tempatan seperti MBAS, tuduhan-tuduhan melulu tanpa asas kukuh seumpama wujudnya exco Kedah yang 'derhaka', percubaan memancing wakil rakyat dan seumpamanya tidak memberikan impak yang maksima untuk menggugat kerajaan.
Ternyata pihak pembangkang di Kedah (BN) masih terkial-kial mencari sasaran yang tepat untuk melemahkan pentadbiran pimpinan Ustaz Azizan itu. Polisi yang diaplikasikan oleh MB dalam urus-tadbirnya memberikan implikasi yang cukup signifikan samada dengan pegawai-pegawai kerajaan, sektor-sektor swasta, NGO-NGO dan lain-lainnya sehinggakan halatuju yang difokaskan terhadap kemajuan negeri semakin terserlah.
Situasi politik yang stabil telah menyumbang kepada keselesaan rakyat seluruhnya. Misi-misi pelabur asing semakin berminat dengan bumi Kedah ini disebabkan dasar dan polisi yang telah dipermudahkan dengan urusniaga tanpa 'belitan' birokrasi atau kepentingan-kepentingan lain yang menyusahkan. Dalam masa yang sama, pelbagai perubahan telah diperkenalkan. Hubungan dengan istana yang mesra dan intim banyak membantu kejayaan tersebut.
Namun, asas kekuatan parti perlu diperkemaskan. Pakatan Rakyat memerlukan komitmen yang serius dari semua ahli-ahli dan penyokongnya. Walaupun, kemenangan bergaya oleh PR di beberapa negeri telah mendapat kredit dan 'membuka mata', namun satu perkara yang perlu diakui ialah bahawa persiapan dalam ertikata yang rapi dan tersusun diperingkat cawangan, kawasan, bahagian dan negeri masih belum boleh dipuji dan dibanggakan.
Hakikatnya, kemenangan dalam PRU ke-12 adalah satu isyarat ketidakpuasan hati rakyat kepada BN adalah satu hujah yang dipersetujui. Dibantu pula oleh perubahan sikap yang jelas menolak kepimpinan lemah dan bermasalah pemimpin-pemimpin kerajaan pusat sehinggakan mencetuskan terlalu banyak bebanan dan kerimasan dalam kehidupan dan keselesaan rakyat meninggalkan implikasi yang berjaya menggugat status-quo BN. Trend atau arah kecenderungan generasi muda yang majoritinya tidak dapat menerima kaedah dan pendekatan kerajaan yang kelihatan mengamalkan nilai-nilai hipokrasi sangat menyumbang kepada kejatuhan BN.
Oleh itu, program dan penyusunan semula parti dengan agenda-agenda yang lebih serius dan praktikal perlu diberi penekanan. Ahli-ahli tidak boleh dibiarkan berstatus seperti pembangkang yang lebih bersedia melihat, mengkritik dan menegur. Hak dan tanggungjawab sebagai rakyat dan sebagai ahli yang mahu kerajaan PR ini berkesinambungan dalam pemerintahannya perlu dikongsikan. Kerajaan baru ini harus diberikan peluang untuk beberapa penggal untuk mentadbir dan memperlihatkan kematangannya sehingga kehendak dan keperluan serta segala tuntutan dan kepentingan rakyat dapat direalisasikan.
Apa yang jelas, mempertahankan kemenangan itu bukanlah satu kerja yang mudah!

Tiada ulasan: