Pengikut

19 Oktober 2010

Resensi Buku: Remaja Islam


Sebuah hasil nukilan “santai akademik berjiwa Islamik” buah tangan Prof. Dato’ Dr Sidek Baba berjudul REMAJA ISLAM KEMBALI PADA PEMIKIRAN AL-QURAN & SUNNAH (Terbitan Alaf 21 Sdn Bhd : Cetakan Pertama 2010: 27 bab: 141 mukasurat) menarik untuk diperhalusi.

Semua peringkat muslimin dan muslimat dan para remaja khasnya wajar memiliki dan menghayati pelbagai idea yang hidup dan mampu menghidupkan yang disajikan dalam topik-topik pendek namun cukup menimbulkan aura Islamik yang mengesankan. Ternyata pengalaman penulis yang begitu lama dalam bidang pendidikan dan dakwah telah dimanafaatkan sepenuhnya dalam menghasilkan sebuah buku ringkas tetapi berisi pelbagai ilmu dan pengalaman dengan perspektif menarik tentang peranan, tugas dan tanggungjawab individu Islam-Melayu (dalam konteks masyarakat setempat) untuk difahami dan dilaksanakan.

Islam diangkat dengan citra dinamik yang ternyata secara yakinnya mampu menjadi rujukan dan penyelesai kepada perubahan zaman dan cabaran lingkungan. Islam datang dengan mesej sejahtera dan mensejahterakan dalam semua dimensi dan lokasi. Ciri fleksibiliti Islam dengan kekuatan yang bertunjang kepada asas akidah, ibadah, syariah dan akhlaknya adalah jawaban kepada pelbagai persoalan luaran dan dalaman manusia itu sendiri yang menjadi agen pemakmur di muka bumi.

Realiti yang terjadi kini memperlihatkan pancaran Islam selalunya menjadi malap dan kurang bermaya disebabkan kelemahan ahli-ahli ilmu dan kejahilan penganutnya. Kegagalan untuk memahami pengetahuan tentang Islam dan falsafah berkaitan dengan kehebatan dan keagungan Islam telah membawa pandangan skeptis terhadap ‘agama damai’ itu. Pengaruh barat yang bersalut dengan pandangan sekular-materialistik dan kehidupan yang bernilai keduniaan semata-mata amat mencengkam pandangan dan cara hidup manusia kini. Kegilaan kepada keseronokan yang melampau yang bersifat hedonistic menjadi agenda yang mendapat tempat dalam aktiviti perdana sebahagian besar para remaja khasnya. Ditambah dengan aliran media cetak dan elektronik yang melebihkan agenda membuka, mencerna dan menokok keghairahan nafsu yang tiada berkesudahan.

Mempelajari agama tanpa menyedari kehebatan agama itu sendiri juga tidak memberikan apa-apa makna. Islam perlu diberikan percikan gema yang senantiasa terpancar pada arus perdana di dalam masyarakat. Dengan itu, akan mudah terserlah nilai kekuatan dan kehebatan yang secara fitrahnya akan cuba difahami dan dihayati oleh insan yang berada dilingkungannya. Ayat-ayat Allah disajikan kepada insan secara makru'ah (kitab suci al-Quran) dan dalam bentuk manzurah (alam semesta raya) yang boleh dipelajari, dikaji dan ditekuni bagi mendapatkan segala jawapan kepada sebarang persoalan.
Alam ghaib adalah rahsia Allah yang terlalu subjektif dan tidak terjangkau. Akal tidak mungkin akan mampu meerenoka lautan rahsia ciptaan alam yang agung ini kerana keupayaannya yang terbatas. Allah S.W.T mengutuskan para Rasul dan KitabNya untuk menjelaskan tentang perkara-perkara rahsia ketuhanan yang tiada jawapan melalui pencarian pancaindera manusia. Oleh itu Islam yang datang membawa ciri-ciri fitrah yang mendokong kehendak supaya insan memiliki akidah yang betul dan tepat, syariah yang tidak terpesong, ibadah yang membina integriti dan akhlak yang hebat dan istimewa.
Sedarlah tentang gangguan musuh Islam yang tidak pernah ternoktah. Sengketa yang terpaksa dihadapi dengan penuh sistematik dan bijaksana kerana pertarungan itu sangat sengit dan penuh dengan perangkap.
Kita mesti yakin bahawa Islam adalah jawapan dan formula penyelesaian kepada semua persoalan insan yang hidup di mukabumi ini.

Tiada ulasan: