Pengikut

17 Oktober 2010

Dinner Bernas Wilayah Utara 12 Oktober 2010


Majlis makan Malam Bernas Wilayah Utara pada 12.10.2010 berakhir dengan perspektif yang pelbagai. Pandangan pro & kontra melantun dan terbias di mana-mana. “Rumah siap pahat masih mahu berbunyi”. Sememangnya pahat yang berbunyi itu mungkin masih boleh dikira wajar diketika rumah yang sepatutnya siap tersergam hanya indah pada khabarnya saja tidak pada rupanya!

Pertama kali mengadakana majlis sebegitu mengundang kehadiran yang tidak mengecewakan pihak penganjur. Keceriaan, kemeriahan dan penuh warna-warni. Hadiah cabutan bertuah hebat dan menarik. Semua teruja dengan jumlah dan barangan yang disediakan kepada yang bertuah.

Maksud & objektif penganjuran majlis rasanya tentulah tidak lari dari tujuan memberikan ruang kerehatan atau memberi suasana santai kepada para pekerja yang ‘penat’ atau ‘lelah’ dengan karenah tugasan seharian apatah lagi yang terlibat dengan kerja-kerja mencabar. Jamuan dan hiburan yang diselit pula dengan acara cabutan bertuah sebagai umpanan bagi memancing keterujaan para tetamu pastinya menimbulkan rasa tergiur dan terliur yang bukan sedikit!

Dari perspektif peribadi, rasanya perjalanan majlis boleh dikatakan lancar dan wajar dipuji. Kehambaran atau lebih tepatnya ‘kekecewaan’ muncul apabila acara dipalit dengan adegan ‘dangdut-dangdutan’ atau ‘goyang-goyangan’ (yang terkadang menjadi terlalu “over”) dalam majlis yang rata-rata 90% tetamunya adalah warga dewasa melewati pertengahan usia; tentulah memberi kesan tawar dan sedikit meresahkan. Seperti tidak menepati ‘selera yang sepatutnya’ dalam majlis yang rata-rata para tetamu masih bersedia memberikan rasa hormat dan penghargaan kepada pihak majikannya yang sudi menyediakan sejumlah peruntukan untuk majlis besar sebegitu!

Pemilihan Effa Raziah sebagai DJ mungkin berjaya menghangatkan suasana. Pada awalnya Effa masih mampu menguasai majlis dengan mengimbangkan celotehnya dengan “watak dewasa” kebanyakan para tetamu. Persembahan dari Jabatan Kebudayaan yang terdiri dari tarian gemalai para anak-anak bangku persekolahan di peringkat sekolah rendah masih menimbulkan impak yang menceriakan.

Ternyata apabila ruang selingan dihidangkan dengan goyangan dan golekan penyanyi muda yang agak keterlaluan, suasana bertukar haluan. Ada desas-desus menyebutkan bahawa slot tersebut sebenarnya tidak pun tersenarai dalam aturcara malam tersebut.

Effa Raziah kemudiannya, menggunakan skala hiburan rambang menggunakan dua tetamu istimewa (menepati ciri khas pilihannya iaitu yang bermisai lawa dan yang gendut berperut labuh) mengiringi goyangan dangdutnya dipentas menimbulkan kesan pelbagai rasa dikalangan penonton. Gembira, kasihan, jenaka, sedih, malu, seronok, teruja, terpegun dan pelbagai perasaan lain.

Cuma penyanyi lelaki Razali Husain berjaya menyelamatkan suasana. Mungkin ramai yang boleh bersetuju. Anak-anak kecil mungil yang mempersembahkan tarian rakyat juga masih boleh diterima dan ‘matching’ dengan majlis malam itu.

Rata-rata komentar yang dapat didengar adalah berkaitan juga dengan jamuan yang agak kurang meransang selera. Apapun rasanya menu yang disajikan masih mamuaskan walaupun tidak menepati selera ramai. Kita terkadang harus bersikap rasional dan berlapang dada dalam perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan untuk dipersetujui walaupun disana-sini terselit sedikit sebanyak kelemahan kecil yang tidak sampai mencacatkan.

Pihak penganjur perlu membuat analisa lebih mantap dan melihat kesesuaian yang lebih ‘manis’ bila cuba menganjurkan buat pertama kali majlis makan malam sebegitu. Doa yang dibaca di awal majlis tidak seharusnya ‘dilacurkan’ dengan pengisian majlis yang berbau hiburan picisan atau murahan atau bersifat hedonistic. Penghormatan harus diberikan kepada VVIP yang rata-rata kelihatan agak gelisah dan ‘kekok’ dengan beberapa selingan yang tidak patut ditonjolkan.

Dikalangan staf sendiri pun berlaku kepelbagaian dalam penilaiaan, bayangkan pula persepsi pasangan-pasangan kakitangan samada suami atau isteri yang buat pertama kali menyertai majlis makan malam bernas. Mungkin pada awalnya majlis warna-warni itu diharapkan akan membuahkan keseronokan dan kesantaian yang menghiburkan. Namun akhirnya agak kecewa dengan palitan adegan yang tidak membayangkan kematangan pihak penganjur dengan kebingitan muzik dan gelekan dangdut yang memualkan.

Pengalaman sebegini akan memanifestasikan impak yang lama yang cukup berbekas sehingga bilamana pada masa akan datang penganjuran majlis makan malam ini akan diadakan lagi maka bayangan dan kenangan tawar yang pernah dilalui akan turut mempengaruhi kehadiran. Mungkinkah!?

Cabutan bertuah boleh diperkemaskan tentang cara cabutannya. 20 cabutan untuk VIP di atas pentas bagi hadiah-hadiah paling istimewa memang wajar dan boleh dipersetujui. Cuma cabutan ‘silent’ oleh ‘tangan-tangan ghaib’ perlu dilihat kembali kewajarannya. Para tetamu hanya dibenarkan melihat nombor pekerja yang di’highlight’kan di screen komputer sahaja.

Mungkin lebih menarik andaikata ketelusan cabutan itu diberi sedikit ruang supaya para tetamu yang hadir dapat merasakan peluang secara yang lebih menarik dan dilihat lebih adil. Maksudnya, jika ketua-ketua jabatan dijemput mencabut 10 cabutan kupon di atas pentas (contohnya) kemudian dipamerkan nama mereka yang berjaya di screen secara berselang-seli dengan celoteh DJ dan persembahan-persembahan santai maka hadiah yang berjumlah 200 lebih itu terasa dimenangi secara lebih menarik, telus dan meriah. Pihak urusetia seharusnya lebih prihatian dalam soal yang sebegini.

Apa kurangnya bakat dan kebolehan kakitangan Bernas. Ada yang boleh menyanyi, berlawak, bersajak dan seumpamanya yang boleh dimanafaatkan untuk lebih menampakkan kesantaian dan hiburan yang menghiburkan pada majlis di malam itu.

Beberapa pandangan yang diberikan ini mungkin boleh dibawa untuk perbahasan lanjut. Apapun tulisan ini bermaksud memberi pandangan alternatif untuk menjadikan majlis yanag dianjurkan sekali-sekala sebegitu dapat berlangsung dalam panorama yang meriah dan meninggalkan kesan yang manis untuk menjadi kenang-kenangan berharga di kalangan kakitangan Bernas yang rata-rata akan pencen dalam waktu yang tidak berapa lama lagi.

Tiada ulasan: