Pengikut

28 September 2008

ARTIKEL: CARA MENYAMBUT HARI RAYA

I’dul/I’dil (Ain kasrah Ya sukun) bukannya aidul/aidil(Ain fathah Ya sukun).
Sumber ambilan perkataan dari surah al-Maidah :114.

Adab-adab menyambut hari raya

1. Menghidupkan malam-malam I’dul Fitri dan I’dul Adha dengan pelbagai amalan soleh. Paling kurang solat Isha’ berjemaah dan Solat Subuh berjemaah. Lebih baik lagi jika di lakukan amalan-amalan yang lain seperti solat rawatib, qiyamullail, baca al-quran, selawat dsb. Sabda Rasulullah s.a.w. “ Barangsiapa yang menghidupkan malam-malam Eid , maka hatinya tidak akan dimatikan pada hari matinya hati-hati yang lain” .

2. Memperbanyakkan takbir mulai jatuh matahari (Maghrib) sehingga takbir Imam bagi solat Eid-fitri. Disurau-surau, dimasjid-masjid, di jalan-jalan dan juga di pasar-pasar. Berjalan dari rumah kerumah dan bertakbir membesarkan Allah s.w.t. (Ada usaha yang dilakukan oleh beberapa orang yang menaiki bas mengelilingi Bandar Alor Setar dan bertakbir diserata jalan/lorong – ini suatu usaha baik menghidupkan sunnah yang harus disokong, dikembangkan dan diteruskan)

3. Memakai pakaian baru. Ianya mengambarkan suasana diakhirat juga yang memperlihatkan orang yang mempunyai dana yang lebih akan membeli pakaian yang lebih baik, lebih bagus, lebih mahal; membeli perabut dsb. Manakala orang susah akan mengadakan persediaan secara seadanya saja. Begitulah juga suasana diakhirat nanti atau lebih tepatnya disyurga nanti yang akan memperlihatkan sesiapa yang memiliki pahala yang banyak akan mendapat lebih ketinggian dan kesempurnaan yang dianugerahkan Ilahi kepadanya. Boleh menggunakan haruman yang lebih kuat untuk lelaki dan haruman yang lembut bagi perempuan sekadar disedari oleh orang disebelahnya saja. Ada dua kegembiraan yang akan dikecapi oleh mereka yang berpuasa. Pertama ketika berbuka dan ketika bertemu Allah kelak. Maksud berbuka 2 makna: Pertamanya ketika iftar dan keduanya ketika dipagi raya.

4. Makan dahulu baru pergi kemasjid pada I’dul Fitri dan sebaliknya Idul adha pergi masjid dahulu, makan kemudian. Disunatkan makan dulu dengan buah kurma sebab mengikut sunnah ada 3 keadaan makan kurma itu akan menjadi ibadah. Pertama ketika iftar, kedua ketika sahur dan ketiga pada pagi Eid.

5. Keluarkan fitrah . Tujuannya membersihkan amalan dan meningkatkan pahala dan keduanya adalah untuk memberi keseronokan kepada fakir miskin. Ada 5 hukum masa keluar fitrah. 1 hingga 30 Ramadhan – harus. Malam raya sehingga Subuh- Wajib. Pagi raya sehingga takbir Imam – sunat. Lepas solat raya sehingga jatuh matahari 1 Syawal – makruh. Masuk hari kedua Syawal dan seterusnya adalah haram. Keluarkan fitrah dengan makanan asasi adalah mengikut mazhab Syafie, Maliki dan Hambali. Manakala keluarkan nilai wang adalah mengikut mazhab Hanafi. Keluarkan fitrah dengan nilai wang yang sesuai dengan beras yang kita makan. Jika 1 kilo RM3 keluarkan RM10.00 dan kiaskanlah. Sebab kerajaan menetapkan kadar yang minima bagi kebanyakan orang. Jika hendak sempurna tunaikan fitrah mengikut kedudukan masing-masing.

6. Pergi ke masjid ikut jalan lain dan pulang kerumah ikut jalan lain pula. (Sekarang budak2 saja yang ikut sunnah ini sebab nak dapat habuan duit raya yang lebih).

7. Bersalam-salaman sesama jantina dan mengucapkan tahniah serta ucapan selamat hari raya.

8. Mandi sunat hari raya.


Beberapa petikan:

Andaikata manusia mengetahui apa yang Allah berikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka akan senantiasa mengharap-harap untuk berada dalam bulan ramadhan itu sepanjang masa – mafhum hadis.

Hari raya kepada orang muslim ada 3. Eid Fitr, Eid Adha dan Hari Jumaat.

Hari raya yang sebenar bukannya mempersiapkan dengan pakaian baru tetapi keasyikan hati ketika bermunajat dengan Allah. – kata arifin billah.

Orang muslim awam akan bergembira dengan dua kali hari raya tetapi orang arif billah menikmati hari raya sepanjang masa ketika hampir dengan KEKASIH mereka.



Petikan dari tazkirah Ramadhan (Zohor)
Sheikh Aminuddin Abd. Rahim
Masjid al-Bukhari
28/9/2008

Tiada ulasan: