Pengikut

07 September 2009

Rupanya masih ringan melakukan ibadah itu...

Ramadhan memecut laju. Dalam kemengahan mengejarnya jangan sampai mengalah pada keletihan. Biar apa pun jua kepayahannya, Ramadhan ini perlu dijejaki dengan reda.; dihambati dengan penuh damba & rela. Membelai benih dan tunas keinsafan atau mengutip buah-buah keihklasan yang tercerna dari aplikasi ibadah – pasrah dalam diri hamba yang menyerahkan diri pada kebesaran Tuannya.

Berpuasa dalam ruang berhawa dingin sebegini apalah sangatnya jika mahu digandingkan dengan cabaran insan-insan lain yang terpaksa dicekam terik panas mentari demi melunasi tanggungjawab mencari sesuap juadah buat hidangan berbuka.

Wajar sangat rasanya dipaksakan diri dan nafsu yang senantiasa dibuai selesa itu dengan aneka ibadah yang boleh menundukkan segala kebuasan manusiawi yang kerap mahu kehadapan meraup peluang dan kesempatan membina empayar keegoaan.

Satu ucapan yang dikhutbahkan dalam bentuk sebuah lakonan pendek dialog antara seorang anak muda yang mengajukan pertanyaan kepada seorang lelaki tua yang sangat sibuk menekuni amalan solat tanpa rasa kepenatan. Pertanyaan anak muda itu: “Wahai orang tua kenapalah engkau bertekun benar beribadat. Memadailah melakukan seadanya saja. Selebihnya mohonlah ampun dari Tuhanmu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui hal keadaanmu” – soalan yang kelihatan relevan dan bertoleransi sekali.

Jawab orang tua :“Biarlah aku sakit dan derita dalam melakukan amalan sebanyak mungkin selagi ada usiaku didunia ini kerana amalan-malan ini masih terasa ringan dan mudah buatku mengerjakannya berbanding saat-saat menghadapi segala derita dan kesakitan azab dan siksaNya yang aku yakin pasti bahawa aku tidak akan mampu menanggungnya!! ” - masih segar ucapan khatib di Masjid Seberang Jaya sewaktu singgah berJumaat dalam perjalanan pulang dari rumah mertuaku tidak berapa lama dulu.

Tiada ulasan: