Pengikut

07 Julai 2010

Doa sempena Hari Ulangtahun BERNAS ke 16 (2010)

Mohon dariMu Ya Allah, Tuhan yang memiliki kekuasaan dan keagungan:

Dipagi ini - kami berkumpul dengan takdir dan izinMu …
Sudi apalah kiranya mengurniakan kami - pancaran cahaya iman dan sinar taqwa -yang luas menerangi, menguntum mekar dengan rahmat dan maghfirahMu, memenuhi hati-hati kami - agar kami berupaya melangkah dengan penuh tabah dan cermat - meniti perjalanan hidup yang penuh ranjau dan cabaran ini.

Mohon padaMu Ya Rabb.. jadikanlah kami hambaMu yang taat dan patuh, yang bijak mengurus masa dan rencana kehidupan agar kami berjaya di sini dan disana.

Biarlah kami menjadi insan yang berguna, mampu berbakti dan berupaya mencerna setiap kelebihan anugerahMu untuk diri kami, famili kami dan syarikat kami.

Elakanlah kami dari terjebak dengan perangkap musuh-musuh durjana – syaitan dan dunia – sehingga kami tenggelam dalam kehodohan sifat takbur yang membutakan atau sifat lemah yang melenakan.

Bukalah pintu-pintu kecintaan dan kerinduan kami padaMu melalui lidah kami yang basah dengan tasbih & tahmid yang berterusan, menjadi ringan tangan dan jari-jemari kami untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan.

Kami lemah dan hina Ya Allah, kuatkan dan muliakanlah kami.

Kami lalai dan alpa Ya Rahim, ampunkan dan terimalah taubat kami.

Mohon padamu ya Allah jadikanlah kami orang yang kuat dan berani memikul t/j. dengan penuh amanah dan bijaksana. Senantiasa berdaya saing dan komited dengan agenda memperkasa syarikat kami demi perkhidmatan yang terbaik, berkesan dan berketrampilan.

Kami mengharapkan reda dan rahmatMu bagi segala perancangan, aktiviti dan program yang laksanakan; bukalah hati-hati kami untuk berbincang dan mencari keputusan & solusi terbaik dalam tugasan kami.

Berkatilah majlis kami & rahmatilah perpisahan kami nanti.

Tiada ulasan: