Pengikut

21 Ogos 2010

Ramadhan 1431 dan isu Palestin

Jumaat 20/8/2010: Masjid Hutan Kampong melalui rangkaian tertentu mengambil langkah proaktif menghubungi sebuah badan NGO - aqsasyarif - datang memberi taklimat dan tayangan multimedia tentang kekejaman Israel terhadap bumi Palestin. Ceramah yang disampaikan oleh Dr 'T" meninggalkan kesan mendalam dan cukup mengesankan. Satu roadshow di Kedah dengan beberapa siri ceramah yang diatur bertujuan mengutip dana untuk meringankan bebanan kesengsaraan saudara-saudara se Islam dibumi Aqsa.
Sebelumnya khatib Dr Abdullah Abdul Ghani selaku imam telah membuat satu imbauan kekejaman dan penderitaan yang berlaku dibumi Isra' itu dalam lanskap khutbahnya.
Palestin adalah isu akidah yang patut dipertanggungjawabkan ke atas setiap muslim. Zionis adalah satu regim yang ganas dan kejam : meratah dan memusnahkan kehidupan damai rakyat peribumi. Mereka menyembelih dan meratah umat bukan Yahudi tanpa perlu apa-apa alasan!
Jangan sampai tidak ada satu pun sumbangan yang kita salurkan atau hulurkan kepada pejuang Palestin yang sedang berhempas pulas mempertahankan bumi mereka dan Masjid al-Aqsa yang menjadi satu dari keutamaan orang Islam mempertahankannya dari pencerobohan Yahudi laknatullah itu. Paling minimum bermunajatlah kepada Allah setiap masa supaya diberi kemenangan dan kejayaan serta kesabaran kepada para pejuang yang ikhlas kerana Allah - moga doa umat Islam menjadi senjata yang ampuh buat menggerunkan musuh Islam dan musuh Allah itu.
Para Mujahidin bersedia pada bila-bila masa mewakafkan diri dan jiwa mereka menjadi mata tombak untuk dilancarkan ketengah perut setiap Yahudi yang mengganas...cuma umat slam diseluruh dunia hendaklah peka bahawa kekuatan untuk melontar batang tombak itu ada para mereka. Bantulah saudara seagama kita di Palestin!!

15 Ogos 2010

Ramadhan 1431 H

Ramadhan 1431H. Bermula Rabu bersamaan 11 Ogos 2010. Kedah mengambil cuti negeri bagi meraikannya.

Hadirmu tamu suci
Ditunggu-nanti
bersama mesra cinta
redup kasih rindu Ilahi
suci meranggi dikelopak purnama
Ramadhan

langkah kembali diperkemas
meniti siang dan malammu
tenang dalam sabar
bimbang dalam debar
mengumpul fada’il
mensyukuri nia’mat
mendamba maghfirah
merangkul rahmat

Biar tasbih basah dibibir
menekuni kalamMu menyirat tabir
menerjah kejernihan zauq hidayah
dalam kudus hati dimuka sejadah
dengan tangan yang ternganga
menyantuni insan dimana-mana

Ramadhan
Janganlah pergi lagi
Kerana kita belum puas bermesra!

24 Julai 2010

Hidayah Ilahi dimana-mana...

5 jenis hidayah yang diberikan pada manusia:

Hidayah Tabii (cth:lapar perlukan makanan)
Hidayah Pancaindera
Hidayah Aqal
Hidayah Agama
Hidayah Taufik (terus dari Allah)

Doa untuk yang malas dan degil

Amalan perubatan untuk sesiapa juga (suami/isteri/anak dll) yang malas/degil/tak dengar cakap dsb:

Bacakan 3 jenis bacaan di bawah & kemudiannya sapukan pada 7 anggota sujud ketika tidurnya (dahi/2 tapak tangan/2 lutut/dua kaki) menggunakan minyak wangi atau air -

60 kali "ar-Rahman"
100 kali "ar-Rohiim"
19 kali (ayat 19 surah as-Syura: Allahulatifun .....)

(Ijazah dari Ustaz Kazim al-Hafiz:23/7/2010-Masjid al-Bukhary Alor Malai)

07 Julai 2010

Doa sempena Hari Ulangtahun BERNAS ke 16 (2010)

Mohon dariMu Ya Allah, Tuhan yang memiliki kekuasaan dan keagungan:

Dipagi ini - kami berkumpul dengan takdir dan izinMu …
Sudi apalah kiranya mengurniakan kami - pancaran cahaya iman dan sinar taqwa -yang luas menerangi, menguntum mekar dengan rahmat dan maghfirahMu, memenuhi hati-hati kami - agar kami berupaya melangkah dengan penuh tabah dan cermat - meniti perjalanan hidup yang penuh ranjau dan cabaran ini.

Mohon padaMu Ya Rabb.. jadikanlah kami hambaMu yang taat dan patuh, yang bijak mengurus masa dan rencana kehidupan agar kami berjaya di sini dan disana.

Biarlah kami menjadi insan yang berguna, mampu berbakti dan berupaya mencerna setiap kelebihan anugerahMu untuk diri kami, famili kami dan syarikat kami.

Elakanlah kami dari terjebak dengan perangkap musuh-musuh durjana – syaitan dan dunia – sehingga kami tenggelam dalam kehodohan sifat takbur yang membutakan atau sifat lemah yang melenakan.

Bukalah pintu-pintu kecintaan dan kerinduan kami padaMu melalui lidah kami yang basah dengan tasbih & tahmid yang berterusan, menjadi ringan tangan dan jari-jemari kami untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan.

Kami lemah dan hina Ya Allah, kuatkan dan muliakanlah kami.

Kami lalai dan alpa Ya Rahim, ampunkan dan terimalah taubat kami.

Mohon padamu ya Allah jadikanlah kami orang yang kuat dan berani memikul t/j. dengan penuh amanah dan bijaksana. Senantiasa berdaya saing dan komited dengan agenda memperkasa syarikat kami demi perkhidmatan yang terbaik, berkesan dan berketrampilan.

Kami mengharapkan reda dan rahmatMu bagi segala perancangan, aktiviti dan program yang laksanakan; bukalah hati-hati kami untuk berbincang dan mencari keputusan & solusi terbaik dalam tugasan kami.

Berkatilah majlis kami & rahmatilah perpisahan kami nanti.

Forum di Ambang Israk & Mikraj 1431H

Forum yang telus dengan gandingan penalis terkenal Ustaz Dr Zahazan Mohamed dan Ustaz Haslin Baharin. Ketelusan dalam mengupas isu yang bersangkutan dengan persoalan semasa yang berlaku secara berluasa dan terbuka.

6 Julai 2010. Di Perkarangan masjid al-Bukhary. Anjuran BERNAS dan Yayasan Al-Bukhary Foundation. Moderatornya Ustaz Mohd Farouque Mohd Fathillah.

Aku sekali lagi diamanahkan untuk beraksi sebagai Pengerusi untuk majlis pembukaan. Berikut adalah teks yang sempat kusediakan ketika berhadapan dengan kehadiran lebih 1000 orang :























Ustaz Zahazan banyak mengupas tentang pentingnya umat Islam kembali menyayangi Rasulullah S.A.W. sebagai formula untuk kembali kepada kesejahteraan. Para sahabat yang menuruti sunnah tanpa soal. Apa yang Rasulullah buat mereka mengikutinya.

Perlunya usaha meskipun sedikit dan kecil untuk membantu menyemarakkan kekuatan semangat Islam. Lakukan apa sahaja demi kebaikan umat.

19 April 2010

"Rindu Bau Pohon Tin"

"Rindu Bau Pohon Tin" sebuah Travelog Tarbiyyah hasil nukilan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com).
Dua hari selepas membeli buku ini di Popular Book Store aku berjaya mengkhatamkannya. Dorongan untuk memiliki buku ini terbit dari rasa keterujaan dengan semangat dan aura Ustaz Hasrizal yang muncul dikaca tv di satu pagi baru-baru ini. Analisis yang dicerakinkan tentang permasalahan remaja di arus perdana dengan pandangan menjurus kepada usaha-usaha melempar dan menarik pelampung penyelamat berteraskan akhlak islamiyyah cukup berbekas.
Memanglah sudah lama ustaz muda ini kukenali melalui tulisan-tulisannya tetapi tidak pada gaya bicaranya. Sehingga buku best sellernya "Aku terima nikahnya" telah maklum dalam pengetahuanku tetapi masih belum terpanggil untuk menikmatinya justru terasa ruang-lingkupnya mungkin terpagar dalam mood remaja cuma...
Selepas safar bersama bayangan ustaz dalam travelognya dibumi anbiya' dalam rindu bau daun pohon tin selama dua hari ini terasa sangat pula untuk mendapatkan juga hasil karangan hebatnya "Aku Terima Nikahnya" itu.
Bukannya apa cuma sekadar bersantai dalam pengalaman seorang da'i meredah kemelut jiwa dan kekalutan manusia yang pelbagai ragam sambil menyuntik buah-buah harum yang menyegarkan di dataran sanubari dengan nur Ilahi dalam makna kasih-sayangNya diruang-ruang kosong rangka fitrahNya.
Menuntut ilmu adalah medan juang yang menuntut segala pengorbanan! Gambaran tentang kesulitan dan kepayahan untuk mendapatkan ilmu terungkap dalam kisah-kisah duka, sinis, pengalaman bersama pensyarah yang juga para ulama, peritnya bertalaqqi dengan kitab-kitab ilmu, berhempas-pulas dengan kuliah yang menuntut cabaran demi cabaran; segalanya adalah pergerakan yang membawa perubahan diri menjadi waris para anbiya' untuk sentiasa bersifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana dalam gerak dan tindak.
Berapa banyak pelajar yang terbang ke bumi para anbiya' dengan niat putih berseri tapi pulang dengan wajah warna-warni!!? Ianya terakam dengan nada berat dalam tulisannya namun kita masih mampu merasai dan turut sedih dengan perkembangan yang berlaku. Kumpulan yang tersasar dari matlamatnya, cuma terkapai-kapai bahagia dalam fatamorgana yang memperdaya.
Insan lahir dengan pelbagai kehebatan. Bagi yang tahu mengexploit keupayaan diri lalu akan terserlah pelbagai keajaiban anugerah Allah. Ustaz Hasrizal yang bukan sahaja pendakwah yang suka berlapang dada dan meninggalkan kesan perkataan yang berbekas untuk dianalisa tetapi juga berupaya menghasilkan senikata dan irama merdu nasyid yang juga turut menjadi jambatan kepada exsplorasi luahan jiwanya dalam berdakwah dalam bentuk nasihat maupun kritikan kepada sasaran dilingkungannya.
Tahniah Ustaz Hasrizal...teruskan usaha anda untuk terus 'memberi' kerana disitulah terserlahnya makna!!