Pengikut

04 Mac 2012

Nilai sebuah kehidupan


Kehidupan ialah perubahan dan pergerakan.  Selagi  tubuh masih bersalut nyawa, proses bergerak dan berubah adalah sesuatu yang pasti. Justeru, ianya suatu fitrah. Cuma perubahan yang berlaku mengarah kemana – positif atau negatif; membina atau membinasa. Disitulah letaknya akal dan usaha yang menjadi paksi kepada asas penilaian.

26 Januari 2012

Tersedar..2012 rupanya!

Tahun baru 2012 berlalu pantas begitu saja tanpa sapaan. Masa yang berlalu bagai tak terkejar. Februari akan muncul tidak berapa hari lagi saja.

Kesempatan melawat blogku malam ini seperti mengheret sesalan pula. Lama rupanya aku gagal membuat update sehingga belum ada satu pun yang terkini menjelang 2012. Satu kelecehan yang tidak seharusnya berlaku!

Sibuk apalah aku ini sehingga tidak sempat mencatat sesuatu buat perkongsian bersama. Akukah yang gagal mengurus kesibukan atau kesibukan itu yang mengekang diriku sehingga gagal melepaskan diri untuk bersantaian dengan kata-kata yang menjadi hobiku....

Tahun Baru Cina tahun ini (Isnin dan Selasa lepas) merayakan tahun Naga Air yang membawa tafsiran pelbagai. Yang pasti ada laluan kepayahan yang bakal diharungi sebelum menikmati limpahan kesejahteraan - kata seorang pakar fengsui yang di temuduga melalui siaran tv yang sempat aku jeling seketika beberapa hari lalu.

Begitu juga dengan cerita yang merata tentang kiamat 2012 yang telah digahkan sejak awal tahun lalu lagi. Cerita yang semakin kurang diberi fokas kerana situasi dunia masih tidak memperlihatkan kesempatan dalam liku-liku mencari habuan kehidupan. Keperdulian terhadap masa depan atau 'kehidupan nanti' selepas 'kehidupan ini' semakin hambar dan longlai.

Manusia semakin ghairah menggagahi kehidupan dari aspek keduniaan  yang kian mencabar dan mendesak. Harga barang menjadi tidak terkawal bahkan bertambah mahal dan meningkat secara tidak menentu. Rumah yang menjadi salah satu keperluan asas menjadi semakin gayat untuk dimiliki kerana kosnya yang rata-rata antara suku hingga setengah juta RM!

Medan politik yang semakin panas berbahang menjelang PRU ke-13. Masalah sosial remaja yang tidak pernah memperlihatkan angka reda. Pemerdagangan manusia menjadi bisnes yang cukup menguntungkan biarpun berhadapan dengan bahaya. Warga asing yang berleluasa di Malaysia dengan jumlah yang sangat membimbangkan dengan ledakan masalah sosial yang tercectus daripadanya. 2012 - biar kita menitinya dengan doa - semoga Allah melindungi kita dari musibah yang tak tertahan oleh kita semua. 

05 Disember 2011

Kuda & Manusia


Kuda adalah ikon kehebatan. Tegap, pantas dan berani.
Manusia tangkas yang bersinergi dengan kehebatan kudanya adalah simbol penguasaan dominan yang sukar ditandingi.

Berjalan di lereng sehingga ke puncak pergunungan; menuruni lurah genting yang rata dan sukar; sesekali tercungap namun tetap kental berlari; merempuh musuh di waktu subuh penuh bengis (lihat surah al-A'diyaat Surah ke-100) dengan rentak irama ladamnya yang gagah menerjah.

Kuda adalah lambang 'kepatuhan kepada arahan' penuh tabah tanpa kecuali. Kuasanya di aplikasikan dalam sistem hitungan sepanjang zaman.  

29 November 2011

Pandangan mata yang terpedaya



Cuba kira berapa titik bulat berwarna hitam di dalam kotak di atas. Apa kesimpulan yang boleh anda rekodkan? Tafsirannya pelbagai.

Satu solusi penting ialah bahawa 'fokus dan tumpuan' mencipta pandangan yang lebih tepat dan jarang menipu.

Begitulah Islam mendidik umatnya supaya memberikan fokus dan tumpuan dalam semua ibadah dan aktiviti supaya dapat mengelak dari penipuan dan perdayaan segala ciri-ciri yang bersifat sementara dan fana.

Pandangan mata kasar boleh tersasar; pandangan mata hati yang menepati realiti. 

17 November 2011

Resensi Buku: Setitis Embun Semarak Api (Shahnon Ahmad)

Dalam kesibukan hidup yang sedikit sangat ruang rehat itu, akhirnya berjaya juga aku menamatkan pembacaan auto-biografi SN Shahnon Ahmad berjudul Setitis Embun Semarak Api  (SESA). Karya panjang yang penuh dengan siratan dan anyaman ilmu, kemahiran, kebijaksanaan dan pengalaman seorang novelis dan ilmuan yang bergelar Sasterawan Negara ini terlalu mengasyikkan. Meskipun sesekali tercuit rasa jemu justru perjalanan ceritera seperti dipaksa-paksakan seperti penyelitan kertas-kertas kerja dan kajian penulis yang dimasukkan ke dalam karyanya atau unsur-unsur pengulangan yang seperti disengajakan bagi mencetuskan sesuatu impak yang aku sendiri malas menduganya!  

Inilah antara karya-karya tebal yang mampu aku khatamkan pembacaannya sepanjang usiaku ini. Seingatanku, novel tebal pertama yang berjaya kusempurnakan pembacaannya ialah Desa Pingitan karangan Ibrahim Omar; milik abang sulungku yang digunapakai sebagai teks sastera sekolahnya (SMSAH) dt tahun-tahun 70-an ketika usiaku masih awal belasan tahun dulu dan masih menuntut di sekolah rendah lagi. Diikuti kemudiannya dengan novel-novel seperti Hujan Pagi (A. Samad Said), Rantau Selamat (Abdullah Hussain), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Al-Sqiqaq 1(Shahnon Ahmad), Sandera (Arenawati), Salina (A. Samad Said) dan beberapa karya lain sekitar 300 hingga 500 halaman begitu. Auto-biografi SESA SN Shahnon Ahmad ini pula sebanyak 516 halaman.

Membaca karya ini, terasa diri seperti sedang berenang dilautan salju yang mendamaikan bahkan sesekali terasa berada di lautan api yang membahang. 100 bab yang dicerakinkan dengan pelbagai nostalgia karyanya yang beraneka – cerpen, novel, kertas-kerja, khutbah, esei, kritikan, ilusi, monolog dsb – melengkapkan satu perjalanan seorang yang bergelar sasterawan sejati. Seorang yang menjadikan masyarakatnya – dengan segala kemelut dan rencam budayanya -  sebagai medan berkarya dengan perspektif yang menjurus kepada peleraian yang bersifat rabbaniyy atau fitrah kemanusiaan itu sendiri.

Banggol Derdap, Sik, Kedah - kampung kelahirannya adalah sumber ilham yang memperkaya dan memperkasa karya-karyanya. Kehidupan masyarakatnya disekitar dekad 40-an hingga 60-an adalah diari terbuka yang disunting dan diadun dalam karya-karyanya penuh dramatik, sensasi dan menarik. Shahnon menekuni bi’ahnya dengan penuh ketelitian disetiap liku dan sudut kemanusiaan masyarakatnya. 

Penduduk kampung yang hidup dengan budaya dan persekitaran yang bersirat dengan penat-jerih dan jeritan kepayahan diangkat menjadi karya sastera yang dapat dikongsi oleh  insan-insan lain diserata dunia. Bukit Enggang atau “Srengenge” yang melintang daerahnya itu, merakamkan pelbagai kisah suka duka yang sukar dilupakan.

Ibunya adalah sumber ilham dan pancaran citra kesungguhan yang memercikkan semangat dan iltizam yang mendalam dan cukup berkesan dalam kariernya sebagai penulis. Keluarganya yang terbina dari semangat hijrah telah membina pelbagai kekuatan dan stamina untuk sentiasa mampu dan anjal untuk berubah dan menjadi agen untuk melakukan perubahan. Ibunya yang berasal dari Selatan Thailand dan bapanya yang berasal dari suku batak, di Sumatera; ditakdirkan bertemu, berkahwin dan bersama-sama turut mewarnai kanvas kehidupan desa yang menjadi ikon dan proksi kehidupan masyarakat Melayu di tempat-tempat lain juga pada ketika itu. Demikianlah takdir Ilahi yang melahirkan seorang tokoh seni yang prolific dan sangat peka dengan gerak dan gema setiap makhluk dipersekitarannya.
Shahnon menulis bahawa dia telah berusaha berdakwah melakukan amar makruf dan nahi munkar dengan menggunakan medium penulisan. Tidak hairanlah jiwanya yang kental itu dibaluti dengan citra kehidupannya yang berwarna warni. Dunia yang beliau ceburi amat rencam dan beraneka. Dari senarai rekod kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai guru, penyusun kamus, pensyarah dan ahli politik. Pernah juga bergiat dalam politik UMNO diusia mudanya tetapi kemudiannya menjadi wakil rakyat PAS diumur-umur pencennya. Pernah bergiat dalam kumpulan al-Arqam selama beberapa tahun. Namun dalam apa saja bidang yang diceburinya, nyata yang terserlah adalah bakatnya dalam bidang penulisan. Segala pengalaman dan ilmu yang ditempuhinya adalah simbahan idea yang terlalu bertenaga untuk dirakamkan dalam bentuk hasil karya kreatif samada cerpen ataupun novel.

Beliau cuba mencipta kemesraan kreativitinya dengan unsur-unsur alam dan gelagat fitrahnya yang pelbagai dan beraneka. Pengalaman yang sarat dengan hitam putih dan warna-warni kemanusiaan serta sifat atau ciri alam yang mendarah daging dengan gelagat bahasa yang bertenaga seolah-olah memberi kesempatan untuk pembaca turut merasai kerencaman hidup yang cukup menarik dan dramatik.

Rempuhan seni yang terkawal cuba diaplikasikan dengan cermat dan mesra. Fokus utamanya adalah sasaran menuju matlamat kebenaran dan keadilan; mencari makna kesaksamaan dan kembali kepada Pencipta yang asal. Fitrah kehidupan tetap berjalan dengan tenang dan megah di atas paksi takdir dan sunnahNya. Lalu segala yang berlaku secara menyongsang dan bercanggah akan menemui jalan sukar dan payah. Demikianlah falsafah yang menunjangi tulisannya disetiap sudut pandangan dan efek yang berlaku di dalam penceritaan, analogi maupun pementasan watak yang cuba dijelmakan.

Kerap Shahnon mengkritik secara tajam, pedas sesekali kelihatan ganas. Segalanya berpunca dari kebobrokan sikap dan perangai manusia yang terlepas dari acuan fitrah Ilahiyyah. Kita melihat beliau beraksi dengan berang dan kasar pada waktu-waktu yang tepat dengan sifat sombong-bongkak insan yang lupa diri atau terjerumus jauh digomol nafsu serakah.

Tulisannya yang kritis dan analitikal tidak pernah menghampakan peminatnya meskipun beliau diuji Tuhan dengan penyakit MG yang mengehadkan beliau untuk bebas beraksi dan bergerak. Dalam kepayahan tersebut berlaku bermacam kontradiksi konflik dalaman yang sukar terlerai. Cuma kekuatan iman, akidah dan taqwanya telah memberikan beliau kesempatan membina dan meredai dengan mendahulukan kesan syukur mengatasi makna sabar.

Dalam kepayahan meniti hidupnya itulah beliau beruzlah. Menulusuri gerak lintuk aktiviti unsur-unsur alam. Shahnon mengukir personafikasi pada watak-watak utama yang beraksi sebagai agen utama menjuarai perubahan cerun bentuk mukabumi seperti sungai, hujan, pokok, angin, air, bukit-bukau dan sebagainya. Memberikan nilai Ilahi kepada semua unsur tersebut lalu mewarnai seluruh watak mereka dengan fitrah dan aksi mencetuskan pertarungan dan kontradiksi yang membuak terhadap perlakuan manusia yang gagal berperanan sebagai khalifah dalam menggenggam kukuh amanah bertunjangkan kepatuhan kepada Pencitpanya.


Karya Agung  yang menjadi igauannya masih tetap berdiri utuh sebagai tunggak idealisme yang gagal dirrealitikan. Cetusan karya agung yang mahu dihasilkannya masih bercempera dalam mindanya. Hanya sekadar mencuba-cuba dengan mainan idea cuma dan meronta dalam kotak monolog yang berbalut ketidakpastian. Pembaca hanya dapat mengutip cebisan-cebisan idea yang bermacam dari igau yang masih kacau atau bercelaru. Inilah kemuncak impiannya yang tidak dizinkan Tuhan untuk menjadi kenyataan. Lalu dengan kepayahannya diasak penyakit MG nya itu, dia membuka relung minda dalam uzlah sepi yang penuh syahdu dengan melihat segala makhluk ciptaan Tuhan dalam dimensi yang pelbagai sehingga kemudiannya terhasil karya-karya pasca-MGnya seperti Sungai, Pokok, Revolusi Yang Ditangguhkan dsb.

Shahnon memang dilahirkan dengan seni dan bakat  menulis yang unik dan konsisten dalam kariernya beraksi dengan gaya tersendiri mengkritik ataupun menyampaikan dakwah kepada khalayak, masyarakat dan manusia sejagat. 

20 Oktober 2011

Antara keajaiban angka 9

19 = (1 + 9 = 10; 1 x 9 =  9)   ==>  10 +  9  = 19
29 = (2 + 9 = 11; 2 x 9 = 18)  ==>  11 + 18 = 29
39 = (3 + 9 = 12; 3 x 9 = 27)  ==> 12 + 27 = 39
49 = (4 + 9 = 13; 4 x 9 = 36)  ==> 13 + 36 = 49
59 = (5 + 9 = 14; 5 x 9 = 45)  ==> 14 + 45 = 59
69 = (6 + 9 = 15; 6 x 9 = 54)  ==> 15 + 54 = 69
79 = (7 + 9 = 16; 7 x 9 = 63)  ==> 16 + 63 = 79
89 = (8 + 9 = 17; 8 x 9 = 72)  ==> 17 + 72 = 89
99 = (9 + 9 = 19; 9 x 9 = 81)  ==> 18 + 81 = 99






Inilah laluan perjalanan kita