Pengikut

19 Oktober 2011

Doa Mustajab

7 golongan insan yang mustajab doanya:

1 - Ibubapa terhadap anak-anaknya.
2 - Anak yang soleh/solehah.
3 - Inter-sahabat (doa sesama sahabat/insan)
4 - Orang yang di dalam kesusahan.
5 - Orang yang sedang berpuassa.
6 - Orang yang dalam musafir
7 - Pemimpim yang adil.

17 Oktober 2011

Bersediakan menjadi orang yang bahagia?

Orang yang bahagia itu 

akan selalu menyediakan waktu untuk membaca

kerana membaca itu sumber hikmah;

akan selalu menyediakan waktu untuk berfikir

kerana berfikir itu paksi kemajuan;

akan selalu menyediakan waktu untuk bekerja

kerana bekerja itu nilai keberhasilan;

akan selalu menyediakan waktu untuk ketawa

kerana ketawa itu irama terapi jiwa;

akan selalu menyediakan waktu untuk memberi

kerana memberi itu sumber keberkatan;

akan selalu juga menyediakan waktu untuk beribadat

kerana beribadat itu induk segala ketenangan jiwa.

16 Oktober 2011

Menyantuni al-Quran

Kata Ustaz Aminuddin Abdul Rahim dalam kuliahnya Sabtu lalu, " Kalau kita letakkan Quran di depan kita, Quran pasti akan bimbing kita ke Syurga. Tapi kalau kita letakkan Quran di belakang kita, Quran akan tolak kita ke neraka!"

"Kalau satu hari kita ambil satu minit saja untuk baca satu ayat al-Quran dengan terjemahannya tentulah satu amalan yang terbaik. Bukankah dalam sehari kita mendapat 1440 minit (24 jam x 60). Ini bermakna dalam masa 6600 hari lebih kita akan khatam satu al-Quran dengan memahami mesej dan kehendak al-Quran. Baki lagi 1439 minit buatlah kerja dan amalan yang lain" .

"Misalnya, hari ini buka al-Quran dan baca 'Alif Laam Miim'. Baca pula terjemahannya 'Hanya Allah sahaja yang mengetahui maksudnya'. Cukup...tak sampai pun 1 minit..." Esok sambung pula baca satu lagi ayat dan maknanya...kita belajar setiapa hari, kalau kita mati pun tiada masalah sebab kita dalam proses sedang belajar, InsyaAllah kita akan menjadi hambaNya yang diredai".

Nanti semakin lama kita bersikap begitu dengan al-Quran, dengan sendirinya kita akan tambah masa menjadi 2 minit, 3 minit, 15 minit, 30 minit dan seterusnya sebab al-Quran adalah kitab hidayah, panduan untuk seluruh umat manusia.

(Kata satu sumber yang pernah sampai kepadaku: Perdana Menteri Britain (namanya aku dah lupa) akan membuka al-Quran pada setiap pagi dan membacanya sebab difahamkan ianya akan memberi kepadanya sumber ilham dan panduan untuk dia bertidak dalam kerjayanya seharian, wallahuaxlam!)

12 Oktober 2011

ANGKA 49 & SIGNIFIKANNYA TERHADAP KEHIDUPANKU

49 cumalah salah satu daripada angka-angka. Sekadar angka biasa. Tiada yang istimewa padanya. Sama sepertimana angka-angka yang lain juga.

Dalam kes nombor bulat, selain dari 1 x 49 (atau sebaliknya), cuma ada satu lagi kombinasi hasil darab yang menghasilkan jumlah 49 - 7 darab 7. (Kelihatan semacam ada keistimewaan bilamana nombor 49 dihubungkaitkan dengan angka 7. Bukankah angka 7 mempunyai nilai dan kehebatan tersendiri bilamana ianya dikaitkan dengan 7 lapisan bumi, 7 lapisan langit, 7 hari seminggu, 7 ayat surah al-Fatihah, 7 keajaiban dunia dan bermacam 7 lagi?!)

Surah paling panjang dalam al-Quran adalah surah al-Baqarah. Tahukah anda bahawa surah yang berjumlah 286 ayat ini berakhir pada muka surat 49.

Meneliti kajian-kajian kalimah mengenai ayat-ayat al-Quran terdapat dua kalimah yang berjumlah 49 perkataan. Perkataan itu ialah ‘al-Aqlu’ bermakna akal dan ‘an-Nuur’ bermakna cahaya. (Akal dan cahaya Ilahi memang diperlukan dalam memandu insan menjalani kehidupan demi kebahagian dunia dan akhirat)

Takdirnya Allah telah menentukan aku memilih untuk membeli rumah di Taman Cahaya, Hutan Kampong. Nombor rumahnya pula ialah 49. (Subhanallah – apakah rahsianya perkaitan ini buat diriku? Mudah-mudahan ada rahsia kebaikan dan keberkatan dariNya untukku dan familiku, InsyaAllah..)

Blog yang telah kubina dengan nama Ibnu Daud al-Jalaini (mengambil sempena nama bapaku dan kampung asalku Tok Jalai) bermula tahun 2008 telah kuhiasai tajuk utamannya dengan satu khat ayat al-Quran bermaksud “ Maklumkan kepada seluruh hamba-hambaku bahawa sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Rupanya bila semakan dibuat di dapati ayat tersebut adalah dari Surah al-Hijr ayat 49. (Kebetulan apakah yang hendak disampaikan padaku oleh Tuhanku bilamana angka itu memberi signifikan yang berbagai dalam kehidupanku!)

Hari ini genap usiaku 49 mengikut perkiraan tahun masihi. Sempena hari ulanglahirku ini ada berita istimewa dalam dunia kerjayaku. Jika rezeki memang telah tertulis menjadi milikku, ianya sudah tentu menjadi hadiah birthday 49-ku yang amat bermakna….







12 September 2011

Tazkirah Ramadhan di Holiday Villa

Tanah Jajahan atau Tanah Naungan?

Fokus kepada sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini semacam tawar saja. Ke'ceroi'an itu terpacul secara tiba-tiba sahaja ekoran dari polemik yang tiada noktah penghujung akhir-akhir ini. Apa sudah jadi dengan sejarah Tanah Melayu atau Sejarah Malaysia ini? Sentuhan-sentuhan oleh pelbagai pihak tambah membingungkan bahkan meengelirukan.

Kita mungkin mudah menghidu komentar yang berkepentingan politik kerana ianya membawa gelombang dan nada tertentu. Justeru kita dengan mudah dapat menentukan pendirian yang wajar dengan seloka dan pantun politik yang datang secara bermusim tanpa istilah mustahil itu. Pendekata, isu-isu politik masih boleh di anggap secondary dalam melunasi hakikat kejujuran yang menimbulkan persoalan di minda dan keyakinan di jiwa.

Cetusan hambar sebegini sebenarnya bersumber dari tafsiran-tafsiran akademik yang mula diangkat ke perbicangan umum berkaitan dengan istilah ‘penjajahan’ dan ‘naungan’. Tersentak dengan kenyataan wakil Majlis Profesor Malaysia, Profesor Zainal Kling yang menyebutkan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya di’naungi’ sahaja oleh Kerajaan British – ianya mengudang polemik yang sukar dileraikan.

Kemerdekaan yang diangkat menjadi acara tahunan dalam sambutan yang gilang-gemilang kini menjadi persoalan. Apa sebenarnya makna kemerdekaan? Jika Kerajaan British hanya menaungi Tanah Melayu (bukan menjajah) apa signifikannya sambutan kemerdekaan itu?

Jika sekadar menaungi, kenapa selama ini tidak pernah pun disebutkan dalam buku-buku sejarah. Yang ada adalah perkataan penjajahan. Sedangkan menjajahi dan menaungi tidak pernah dilihat mempunyai makna dan tafsiran yang serupa.

Apa yang lebih peliknya kenapa sekarang baru ditimbulkan perkara tersebut setelah berlalu masa yang melebihi separuh kurun cerita kemerdekaan berlalu?! Adakah ianya berkaitan dengan cerita Mohd Sabu dan Bukit Kepong yang menjuarai carta berita diakhir Ramadhan dan awal Syawal tahun ini?!

Sejarah Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka menjadi sesuatu yang sukar dimengertikan. Jika tiada penjajahan bagaimana tuntutan kemerdekaan boleh berlaku. Andaikata ianya satu penyerahan kuasa kenapa perlu digembar-gemburkan perkataan merdeka yang selama ini disajikan dalam kurikulum pendidikan berdekad lamanya.

Kekeliruan ini terasa sekali kerana ianya membawa konotasi yang dalam dan panjang. Ianya nenafikan dan melukai para pejuang kebangsaan yang diketahui dan dimaklumi. Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau, Pak Sako, Datok Maharaja Lela, Datok Sagor adalah antara beberapa nama pejuang kebangsaan. Siapa yang mereka tentang sebenarnya? Tidakkah pernah diberitahu bahawa musuh mereka adalah penjajah?! Sungguh keliru dan mengelirukan!!

Kenapa orang-orang akademik gagal menjunjung taraf profesionalisme mereka secara jujur? Kejujuran dengan fakta yang tepat dan bukti yang konkrit tanpa melakukan jenayah akademik yang memualkan. Dimanakah rujukan dan hujah yang boleh membuktikan kenyataan yang berani dibuat secara terbuka sehingga menimbulkan impak yang terang-terangan melawan arus perdana yang menjadi pegangan umum.

Kita menanti kajian lanjut yang lebih profesional dan tepat untuk menjawab kecelaruan fakta sebegini.