Pengikut

12 September 2011

Tazkirah Ramadhan di Holiday Villa

Tanah Jajahan atau Tanah Naungan?

Fokus kepada sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini semacam tawar saja. Ke'ceroi'an itu terpacul secara tiba-tiba sahaja ekoran dari polemik yang tiada noktah penghujung akhir-akhir ini. Apa sudah jadi dengan sejarah Tanah Melayu atau Sejarah Malaysia ini? Sentuhan-sentuhan oleh pelbagai pihak tambah membingungkan bahkan meengelirukan.

Kita mungkin mudah menghidu komentar yang berkepentingan politik kerana ianya membawa gelombang dan nada tertentu. Justeru kita dengan mudah dapat menentukan pendirian yang wajar dengan seloka dan pantun politik yang datang secara bermusim tanpa istilah mustahil itu. Pendekata, isu-isu politik masih boleh di anggap secondary dalam melunasi hakikat kejujuran yang menimbulkan persoalan di minda dan keyakinan di jiwa.

Cetusan hambar sebegini sebenarnya bersumber dari tafsiran-tafsiran akademik yang mula diangkat ke perbicangan umum berkaitan dengan istilah ‘penjajahan’ dan ‘naungan’. Tersentak dengan kenyataan wakil Majlis Profesor Malaysia, Profesor Zainal Kling yang menyebutkan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya di’naungi’ sahaja oleh Kerajaan British – ianya mengudang polemik yang sukar dileraikan.

Kemerdekaan yang diangkat menjadi acara tahunan dalam sambutan yang gilang-gemilang kini menjadi persoalan. Apa sebenarnya makna kemerdekaan? Jika Kerajaan British hanya menaungi Tanah Melayu (bukan menjajah) apa signifikannya sambutan kemerdekaan itu?

Jika sekadar menaungi, kenapa selama ini tidak pernah pun disebutkan dalam buku-buku sejarah. Yang ada adalah perkataan penjajahan. Sedangkan menjajahi dan menaungi tidak pernah dilihat mempunyai makna dan tafsiran yang serupa.

Apa yang lebih peliknya kenapa sekarang baru ditimbulkan perkara tersebut setelah berlalu masa yang melebihi separuh kurun cerita kemerdekaan berlalu?! Adakah ianya berkaitan dengan cerita Mohd Sabu dan Bukit Kepong yang menjuarai carta berita diakhir Ramadhan dan awal Syawal tahun ini?!

Sejarah Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka menjadi sesuatu yang sukar dimengertikan. Jika tiada penjajahan bagaimana tuntutan kemerdekaan boleh berlaku. Andaikata ianya satu penyerahan kuasa kenapa perlu digembar-gemburkan perkataan merdeka yang selama ini disajikan dalam kurikulum pendidikan berdekad lamanya.

Kekeliruan ini terasa sekali kerana ianya membawa konotasi yang dalam dan panjang. Ianya nenafikan dan melukai para pejuang kebangsaan yang diketahui dan dimaklumi. Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau, Pak Sako, Datok Maharaja Lela, Datok Sagor adalah antara beberapa nama pejuang kebangsaan. Siapa yang mereka tentang sebenarnya? Tidakkah pernah diberitahu bahawa musuh mereka adalah penjajah?! Sungguh keliru dan mengelirukan!!

Kenapa orang-orang akademik gagal menjunjung taraf profesionalisme mereka secara jujur? Kejujuran dengan fakta yang tepat dan bukti yang konkrit tanpa melakukan jenayah akademik yang memualkan. Dimanakah rujukan dan hujah yang boleh membuktikan kenyataan yang berani dibuat secara terbuka sehingga menimbulkan impak yang terang-terangan melawan arus perdana yang menjadi pegangan umum.

Kita menanti kajian lanjut yang lebih profesional dan tepat untuk menjawab kecelaruan fakta sebegini.