Pengikut

19 Oktober 2010

The Seven Innovation Tools Course on 18 & 19 October 2010


Satu kursus yang menarik untuk diikuti; dibawah kendalian syarikat konsultan Focus Learning yang bertindak sebagai fasilitor kursus. Pendedahan teknik dan kaedah alternatif dalam mencerna minda ke arah melahirkan keupayaan untuk menyumbang idea yang lebih kreatif dan inovatif.
Dengan aplikasi dua teknik khas iaitu WISE dan HEART ianya mampu digabungkan dengan tujuh alatan khusus untuk menghasilkan hasil fikiran yang hebat dan bermanafaat.




Doa Majlis Jamuan Makan Malam BERNAS 12.10.2010

Ya Allah kami melahirkan syukur yang setingginya ke hadratMu, di atas nikmat yang Engkau curahkan; di atas limpahan rahmat yang Engkau anugerahkan.

Kami memohon rahmatMu sehingga dengannya kami senantiasa diberikan keimanan dan ketaqwaan,kesihatan dan kesejahteraan.

Mohon dariMu Ya Allah, satukanlah kami dalam satu pasukan yang mengutamakan kekuatan dan persefahaman yang mantap dalam menghadapi dan mengurus perancangan & cabaran dengan penuh bijaksana dan strategik demi kelangsungan dan survival syarikat kami.

YA ALLAH TUHAN YANG MEMILIKI KHAZANAH PERBENDAHARAAN YANG MAHA LUAS DAN AGUNG,
kurniakanlah kekuatan jiwa dan kemantapan semangat untuk kami terus berkhidmat dengan lebih tekun, ikhlas dan cemerlang; bersikap dinamik dan inovatif , berfikiran futuristic yang mampu menghasilkan sumbangan yang bermakna kepada diri, famili dan syarikat kami.

Jauhilah kami dari ketirisan akidah dan iman yang boleh menjurus kami kepada kehilangan fokas haluan kehidupan yang diredai dan dirahmati.

Hindarkanlah dari kami sikap prejudis & hiprokrasi yang menjadi sebab pembentukan kudis-kudis yang boleh membawa masalah dan kecelaruan kepada budaya kerja sihat dilkalangan kami.

Kami memohon jiwa yang terus cekal dan mantap sehingga ianya menjadi benteng yang ampuh yang menjadikan kami tidak mudah cair dan lemah dengan pencingan keduniaan yang melekakan dan pengaruh lonjakan nafsu yang melemaskan.

Ya Allah, mohon diselamatkan dan dipermudahkan semua urusan bakal-bakal haji di kalangan warga Bernas yang bakal berangkat ke Tanah Suci. Terimalah ibadah haji mereka sebagai Haji Mabrur yang dipenuhi dengan kebaikan dan kebajikan.

Ya Rahman ya Rahim, bukalah hati dan kefahaman kepada seluruh anak-anak kami yang telah dan akan menduduki peperiksaan penting hujung tahun di semua peringkat pengajian . Kurniakanlah kemudahan, kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka.

Ampunkanlah kelekaan, kelalaian dan keterlanjuran kami. Jadikanlah pertemuan kami pada malam yang gilang-gemilang ini sebagai satu pertemuaan yang dirahmati dan perpisahan kami nanti sebagai perpisahan yang terpelihara.

Resensi Buku: Remaja Islam


Sebuah hasil nukilan “santai akademik berjiwa Islamik” buah tangan Prof. Dato’ Dr Sidek Baba berjudul REMAJA ISLAM KEMBALI PADA PEMIKIRAN AL-QURAN & SUNNAH (Terbitan Alaf 21 Sdn Bhd : Cetakan Pertama 2010: 27 bab: 141 mukasurat) menarik untuk diperhalusi.

Semua peringkat muslimin dan muslimat dan para remaja khasnya wajar memiliki dan menghayati pelbagai idea yang hidup dan mampu menghidupkan yang disajikan dalam topik-topik pendek namun cukup menimbulkan aura Islamik yang mengesankan. Ternyata pengalaman penulis yang begitu lama dalam bidang pendidikan dan dakwah telah dimanafaatkan sepenuhnya dalam menghasilkan sebuah buku ringkas tetapi berisi pelbagai ilmu dan pengalaman dengan perspektif menarik tentang peranan, tugas dan tanggungjawab individu Islam-Melayu (dalam konteks masyarakat setempat) untuk difahami dan dilaksanakan.

Islam diangkat dengan citra dinamik yang ternyata secara yakinnya mampu menjadi rujukan dan penyelesai kepada perubahan zaman dan cabaran lingkungan. Islam datang dengan mesej sejahtera dan mensejahterakan dalam semua dimensi dan lokasi. Ciri fleksibiliti Islam dengan kekuatan yang bertunjang kepada asas akidah, ibadah, syariah dan akhlaknya adalah jawaban kepada pelbagai persoalan luaran dan dalaman manusia itu sendiri yang menjadi agen pemakmur di muka bumi.

Realiti yang terjadi kini memperlihatkan pancaran Islam selalunya menjadi malap dan kurang bermaya disebabkan kelemahan ahli-ahli ilmu dan kejahilan penganutnya. Kegagalan untuk memahami pengetahuan tentang Islam dan falsafah berkaitan dengan kehebatan dan keagungan Islam telah membawa pandangan skeptis terhadap ‘agama damai’ itu. Pengaruh barat yang bersalut dengan pandangan sekular-materialistik dan kehidupan yang bernilai keduniaan semata-mata amat mencengkam pandangan dan cara hidup manusia kini. Kegilaan kepada keseronokan yang melampau yang bersifat hedonistic menjadi agenda yang mendapat tempat dalam aktiviti perdana sebahagian besar para remaja khasnya. Ditambah dengan aliran media cetak dan elektronik yang melebihkan agenda membuka, mencerna dan menokok keghairahan nafsu yang tiada berkesudahan.

Mempelajari agama tanpa menyedari kehebatan agama itu sendiri juga tidak memberikan apa-apa makna. Islam perlu diberikan percikan gema yang senantiasa terpancar pada arus perdana di dalam masyarakat. Dengan itu, akan mudah terserlah nilai kekuatan dan kehebatan yang secara fitrahnya akan cuba difahami dan dihayati oleh insan yang berada dilingkungannya. Ayat-ayat Allah disajikan kepada insan secara makru'ah (kitab suci al-Quran) dan dalam bentuk manzurah (alam semesta raya) yang boleh dipelajari, dikaji dan ditekuni bagi mendapatkan segala jawapan kepada sebarang persoalan.
Alam ghaib adalah rahsia Allah yang terlalu subjektif dan tidak terjangkau. Akal tidak mungkin akan mampu meerenoka lautan rahsia ciptaan alam yang agung ini kerana keupayaannya yang terbatas. Allah S.W.T mengutuskan para Rasul dan KitabNya untuk menjelaskan tentang perkara-perkara rahsia ketuhanan yang tiada jawapan melalui pencarian pancaindera manusia. Oleh itu Islam yang datang membawa ciri-ciri fitrah yang mendokong kehendak supaya insan memiliki akidah yang betul dan tepat, syariah yang tidak terpesong, ibadah yang membina integriti dan akhlak yang hebat dan istimewa.
Sedarlah tentang gangguan musuh Islam yang tidak pernah ternoktah. Sengketa yang terpaksa dihadapi dengan penuh sistematik dan bijaksana kerana pertarungan itu sangat sengit dan penuh dengan perangkap.
Kita mesti yakin bahawa Islam adalah jawapan dan formula penyelesaian kepada semua persoalan insan yang hidup di mukabumi ini.

17 Oktober 2010

Dinner Bernas Wilayah Utara 12 Oktober 2010


Majlis makan Malam Bernas Wilayah Utara pada 12.10.2010 berakhir dengan perspektif yang pelbagai. Pandangan pro & kontra melantun dan terbias di mana-mana. “Rumah siap pahat masih mahu berbunyi”. Sememangnya pahat yang berbunyi itu mungkin masih boleh dikira wajar diketika rumah yang sepatutnya siap tersergam hanya indah pada khabarnya saja tidak pada rupanya!

Pertama kali mengadakana majlis sebegitu mengundang kehadiran yang tidak mengecewakan pihak penganjur. Keceriaan, kemeriahan dan penuh warna-warni. Hadiah cabutan bertuah hebat dan menarik. Semua teruja dengan jumlah dan barangan yang disediakan kepada yang bertuah.

Maksud & objektif penganjuran majlis rasanya tentulah tidak lari dari tujuan memberikan ruang kerehatan atau memberi suasana santai kepada para pekerja yang ‘penat’ atau ‘lelah’ dengan karenah tugasan seharian apatah lagi yang terlibat dengan kerja-kerja mencabar. Jamuan dan hiburan yang diselit pula dengan acara cabutan bertuah sebagai umpanan bagi memancing keterujaan para tetamu pastinya menimbulkan rasa tergiur dan terliur yang bukan sedikit!

Dari perspektif peribadi, rasanya perjalanan majlis boleh dikatakan lancar dan wajar dipuji. Kehambaran atau lebih tepatnya ‘kekecewaan’ muncul apabila acara dipalit dengan adegan ‘dangdut-dangdutan’ atau ‘goyang-goyangan’ (yang terkadang menjadi terlalu “over”) dalam majlis yang rata-rata 90% tetamunya adalah warga dewasa melewati pertengahan usia; tentulah memberi kesan tawar dan sedikit meresahkan. Seperti tidak menepati ‘selera yang sepatutnya’ dalam majlis yang rata-rata para tetamu masih bersedia memberikan rasa hormat dan penghargaan kepada pihak majikannya yang sudi menyediakan sejumlah peruntukan untuk majlis besar sebegitu!

Pemilihan Effa Raziah sebagai DJ mungkin berjaya menghangatkan suasana. Pada awalnya Effa masih mampu menguasai majlis dengan mengimbangkan celotehnya dengan “watak dewasa” kebanyakan para tetamu. Persembahan dari Jabatan Kebudayaan yang terdiri dari tarian gemalai para anak-anak bangku persekolahan di peringkat sekolah rendah masih menimbulkan impak yang menceriakan.

Ternyata apabila ruang selingan dihidangkan dengan goyangan dan golekan penyanyi muda yang agak keterlaluan, suasana bertukar haluan. Ada desas-desus menyebutkan bahawa slot tersebut sebenarnya tidak pun tersenarai dalam aturcara malam tersebut.

Effa Raziah kemudiannya, menggunakan skala hiburan rambang menggunakan dua tetamu istimewa (menepati ciri khas pilihannya iaitu yang bermisai lawa dan yang gendut berperut labuh) mengiringi goyangan dangdutnya dipentas menimbulkan kesan pelbagai rasa dikalangan penonton. Gembira, kasihan, jenaka, sedih, malu, seronok, teruja, terpegun dan pelbagai perasaan lain.

Cuma penyanyi lelaki Razali Husain berjaya menyelamatkan suasana. Mungkin ramai yang boleh bersetuju. Anak-anak kecil mungil yang mempersembahkan tarian rakyat juga masih boleh diterima dan ‘matching’ dengan majlis malam itu.

Rata-rata komentar yang dapat didengar adalah berkaitan juga dengan jamuan yang agak kurang meransang selera. Apapun rasanya menu yang disajikan masih mamuaskan walaupun tidak menepati selera ramai. Kita terkadang harus bersikap rasional dan berlapang dada dalam perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan untuk dipersetujui walaupun disana-sini terselit sedikit sebanyak kelemahan kecil yang tidak sampai mencacatkan.

Pihak penganjur perlu membuat analisa lebih mantap dan melihat kesesuaian yang lebih ‘manis’ bila cuba menganjurkan buat pertama kali majlis makan malam sebegitu. Doa yang dibaca di awal majlis tidak seharusnya ‘dilacurkan’ dengan pengisian majlis yang berbau hiburan picisan atau murahan atau bersifat hedonistic. Penghormatan harus diberikan kepada VVIP yang rata-rata kelihatan agak gelisah dan ‘kekok’ dengan beberapa selingan yang tidak patut ditonjolkan.

Dikalangan staf sendiri pun berlaku kepelbagaian dalam penilaiaan, bayangkan pula persepsi pasangan-pasangan kakitangan samada suami atau isteri yang buat pertama kali menyertai majlis makan malam bernas. Mungkin pada awalnya majlis warna-warni itu diharapkan akan membuahkan keseronokan dan kesantaian yang menghiburkan. Namun akhirnya agak kecewa dengan palitan adegan yang tidak membayangkan kematangan pihak penganjur dengan kebingitan muzik dan gelekan dangdut yang memualkan.

Pengalaman sebegini akan memanifestasikan impak yang lama yang cukup berbekas sehingga bilamana pada masa akan datang penganjuran majlis makan malam ini akan diadakan lagi maka bayangan dan kenangan tawar yang pernah dilalui akan turut mempengaruhi kehadiran. Mungkinkah!?

Cabutan bertuah boleh diperkemaskan tentang cara cabutannya. 20 cabutan untuk VIP di atas pentas bagi hadiah-hadiah paling istimewa memang wajar dan boleh dipersetujui. Cuma cabutan ‘silent’ oleh ‘tangan-tangan ghaib’ perlu dilihat kembali kewajarannya. Para tetamu hanya dibenarkan melihat nombor pekerja yang di’highlight’kan di screen komputer sahaja.

Mungkin lebih menarik andaikata ketelusan cabutan itu diberi sedikit ruang supaya para tetamu yang hadir dapat merasakan peluang secara yang lebih menarik dan dilihat lebih adil. Maksudnya, jika ketua-ketua jabatan dijemput mencabut 10 cabutan kupon di atas pentas (contohnya) kemudian dipamerkan nama mereka yang berjaya di screen secara berselang-seli dengan celoteh DJ dan persembahan-persembahan santai maka hadiah yang berjumlah 200 lebih itu terasa dimenangi secara lebih menarik, telus dan meriah. Pihak urusetia seharusnya lebih prihatian dalam soal yang sebegini.

Apa kurangnya bakat dan kebolehan kakitangan Bernas. Ada yang boleh menyanyi, berlawak, bersajak dan seumpamanya yang boleh dimanafaatkan untuk lebih menampakkan kesantaian dan hiburan yang menghiburkan pada majlis di malam itu.

Beberapa pandangan yang diberikan ini mungkin boleh dibawa untuk perbahasan lanjut. Apapun tulisan ini bermaksud memberi pandangan alternatif untuk menjadikan majlis yanag dianjurkan sekali-sekala sebegitu dapat berlangsung dalam panorama yang meriah dan meninggalkan kesan yang manis untuk menjadi kenang-kenangan berharga di kalangan kakitangan Bernas yang rata-rata akan pencen dalam waktu yang tidak berapa lama lagi.