Pengikut

19 April 2010

"Rindu Bau Pohon Tin"

"Rindu Bau Pohon Tin" sebuah Travelog Tarbiyyah hasil nukilan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com).
Dua hari selepas membeli buku ini di Popular Book Store aku berjaya mengkhatamkannya. Dorongan untuk memiliki buku ini terbit dari rasa keterujaan dengan semangat dan aura Ustaz Hasrizal yang muncul dikaca tv di satu pagi baru-baru ini. Analisis yang dicerakinkan tentang permasalahan remaja di arus perdana dengan pandangan menjurus kepada usaha-usaha melempar dan menarik pelampung penyelamat berteraskan akhlak islamiyyah cukup berbekas.
Memanglah sudah lama ustaz muda ini kukenali melalui tulisan-tulisannya tetapi tidak pada gaya bicaranya. Sehingga buku best sellernya "Aku terima nikahnya" telah maklum dalam pengetahuanku tetapi masih belum terpanggil untuk menikmatinya justru terasa ruang-lingkupnya mungkin terpagar dalam mood remaja cuma...
Selepas safar bersama bayangan ustaz dalam travelognya dibumi anbiya' dalam rindu bau daun pohon tin selama dua hari ini terasa sangat pula untuk mendapatkan juga hasil karangan hebatnya "Aku Terima Nikahnya" itu.
Bukannya apa cuma sekadar bersantai dalam pengalaman seorang da'i meredah kemelut jiwa dan kekalutan manusia yang pelbagai ragam sambil menyuntik buah-buah harum yang menyegarkan di dataran sanubari dengan nur Ilahi dalam makna kasih-sayangNya diruang-ruang kosong rangka fitrahNya.
Menuntut ilmu adalah medan juang yang menuntut segala pengorbanan! Gambaran tentang kesulitan dan kepayahan untuk mendapatkan ilmu terungkap dalam kisah-kisah duka, sinis, pengalaman bersama pensyarah yang juga para ulama, peritnya bertalaqqi dengan kitab-kitab ilmu, berhempas-pulas dengan kuliah yang menuntut cabaran demi cabaran; segalanya adalah pergerakan yang membawa perubahan diri menjadi waris para anbiya' untuk sentiasa bersifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana dalam gerak dan tindak.
Berapa banyak pelajar yang terbang ke bumi para anbiya' dengan niat putih berseri tapi pulang dengan wajah warna-warni!!? Ianya terakam dengan nada berat dalam tulisannya namun kita masih mampu merasai dan turut sedih dengan perkembangan yang berlaku. Kumpulan yang tersasar dari matlamatnya, cuma terkapai-kapai bahagia dalam fatamorgana yang memperdaya.
Insan lahir dengan pelbagai kehebatan. Bagi yang tahu mengexploit keupayaan diri lalu akan terserlah pelbagai keajaiban anugerah Allah. Ustaz Hasrizal yang bukan sahaja pendakwah yang suka berlapang dada dan meninggalkan kesan perkataan yang berbekas untuk dianalisa tetapi juga berupaya menghasilkan senikata dan irama merdu nasyid yang juga turut menjadi jambatan kepada exsplorasi luahan jiwanya dalam berdakwah dalam bentuk nasihat maupun kritikan kepada sasaran dilingkungannya.
Tahniah Ustaz Hasrizal...teruskan usaha anda untuk terus 'memberi' kerana disitulah terserlahnya makna!!