Pengikut

23 Januari 2010

Kalimah Allah yang dipolemik dan dipolitikkan!

Duduk tak duduk tiba-tiba isu penggunaan nama Allah menjadi begitu kelam kabut! Ada saja komentar yang dipaparkan. Bermacam koleksi pendapat dilontarkan dengan begitu serius. Media menjadi juara pemangkin dan pembara.

Isu yang diangkat menjadi terlalu penting & mesti menjadi tanggungjawab yang wajib dipertahankan! Sedangkan berapa ribu umat Melayu saban hari yang sudah murtad dikristiankan - tak pernah pun di'isu perdanakan' sebegini pun!

Apa halnya ni?! Kadang-kadang permainan isu sensitif yang macam ni terasa punya agenda tersirat. Sebab dalam dunia politik ala Machiavelli - 'matlamat menghalalkan kaedah' - itu, para politikus kerap mencipta dan menimbus isu dengan mengharapkan berlaku 'lencungan sementara' untuk memastikan laluan diperjalanan tidak tergendala!!

Memanglah secara kerohanian & ilmiahnya juga, kita turut menyokong pihak yang menentang kebenaran supaya orang bukan Islam secara sewenang-wenang boleh menggaplikasikan kalimah itu dalam tulisan atau kehidupan mereka. Kenapa selama ini perkara ini tidak pernah ditimbulkan?

Sejarah agama samawi - Nasrani, Yahudi dan Islam - adalah berpaksi kepada kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Agung. Samada God atau Allah secara kefahamannya membawa kepada makna yang satu juga - Tuhan yang bersifat Ghaib dan Pencipta Alam ini. Sebab sumber asas dan asal agama samawi bersumber dari kitab dari Tuhan yang Maha Agung itu.

Titik yang menjadi perbezaan adalah ajaran dan penerimaan yang berbagai-bagai. Berlaku penokok-tambahan yang pelbagai sehingga kepada aspek ketuhanan itu pun telah jauh berbeza. Tuhan yang dikaitkan dengan anak, isteri dsb. Demikian juga fahaman yang bercampur-baur dengan falsafah sehingga menjadikan aspek ketuhanan itu menjadi terlalu philosopical, bercampur-baur dan sukar difahami.

Kesan kebenaran kepada pihak Krsitian menggunakan kalimah Allah amat besar signifikannya kepada umat Islam di Malaysia. Ia menjadi punca kepada kecelaruan dalam beragama sebagaimana yang berlaku kepada negara jiran kita.

Remaja kini yang semakin jauh dari agama akan menjadi 'lauk' yang mudah diratah oleh pihak musuh khasnya dakyah Kristian yang tidak pernah melepaskan peluang mengumpan dan menerkam! Kalau kalimah Allah digunakan secara merata oleh agama-agama lain juga maka kesan pemesongan terhadap Islam akan terbuka luas lagi.

Sejauh mana impak positif yang tercetus dari pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah itu tidak terduga juga oleh kita. Pada kita,ciri dan kesan positif itu hanya berkesan jika peranan dan kekuatan dakwah Islam menjadi dominan dan unggul sehingga arus penerimaan masyarakat memihak kuat kepada cahaya Islam. Ketika itu kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh pihak mana sekalipun amatlah dialu-alukan. Jika berlaku sebaliknya, ia bermakna kita sedang membuka lagi ruang-ruang kepada pihak musuh Islam mencari senjata untuk menikam dan menghukum kita....