Pengikut

26 Ogos 2009

Rekerasi di hati di Ramadhan suci 1430H

Mengusap malam-malam penuh rahmah ini terlalu mendamaikan. Lima hari berlalu tanpa terasa. Ramadhan yang muncul tersenyum baru seketika seperti melangkah laju dipercelahan detik dan waktu. Demikianlah perjalanan kehidupan yang cergas beraksi dalam indeks pasaran semasa yang menuntut sejuta cabaran.
Bagaimana mahu menghubungkan Ramadhan ini dengan rentetan amalan yang beraneka; mendambakan raja' pada WajhurRahman serta khauf pada murkaNya tatkala gagal menggalas misi hamba. Menghitung-hitung beberapa "S" yang seharusnya diperkasa masih juga terasa perlu dibajai. Siyam yang putih tidak bertompok dengan lukisan amarah dan mazmumah. Solat yang ditunjangi ikhlas dalam kuantiti tambahan pula kualitinya. Sedekah yang perlu dirancang teliti - biar wajar dan menepati. Selawat yang lebat dan wangi saban waktu - biar pagi dan petang serta malamnya justru fokas buat junjungan agung Rasulullah S.A.W.

16 Ogos 2009

Sebak dengan pemergian Ustaz Asri Rabbani

Kubiarkan saja sebak dada itu menguja-uja lubuk rasa. Tergenang sudahnya manek-manek air yang seperti tidak tertahan-tahan lagi. Meleleh satu demi satu. Sesekali kucuba juga mengalihkan pandangan buat menyembunyikan buakan kesebakan kalau-kalau ada yang terperasan dengan reaksi wajahku yang dilukis tangisan! Sambil memandu ke ofis kuhayati penuh sadar irama yang amat menginsafkan itu…

Irama lagu Kumpulan Rabbani “Pergi Tak Kembali” melalui vokalisnya Ustaz Asri yang diperdengarkan melalui corong IKIM dalam siaran khas mengingatinya pagi tadi dipenghujung rancangan itu entah bagaimana terasa cukup mengesankan.

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa
Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata
Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya
Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana
Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim
Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Mungkin pemergian Ustaz Asri yang dianugerahkan kelunakan vokal itu dalam usia yang relatif muda telah menunjangkan keinsafan yang cukup mendalam. Senikata lagu itu nampak biasa dan lumrah tetapi irama vokalisnya yang baru saja dijemput Ilahi seperti cukup bertenaga sehingga mataku bertukar kemerahan dan sedikit membengkak. Rasanya selalu juga aku mendengar lagu ini tetapi terkesan sekali pagi ini bila fokas menghayati iramanya! Sungguh menginsafkan!! Ya Allah, ampunilah diriku dan berilah kekuatan iman dan taqwa untukku melangkah sebagai hambaMu yang diredai…

Kehilangan yang menginsafkan

15 Ogos 2009. Rasanya sekitar jam antara 5.00 hingga 5.30 pagi. Laptop isteri dan handphone anakku lesap.

Pertama kali rumahku dicerobohi. Alhamdulillah, anakku tidak dipengapakan. Melihat peristiwa dari perspektif 'rencana Ilahi yang sedang mengajar erti tawakal dalam definisi yang yang relevan dan wajar' - sememangnya aku mendapat pengajaran yang menginsafkan!

Dunia yang semakin gusar oleh persekitaran yang kian terlupus keharmoniannya menuntut satu pertanggungjawaban yang semestinya diperkemaskan kerana 'telur-telur' yang telah lama dieram telah dan bakal menetaskan generasi-generasi yang sarat dengan species virus merbahaya yang bakal memamah tamadun mulia manusia.

Demikianlah, masalah kecurian, ragut, rompak, seks bebas, pelbagai salahguna... telah mendorong manusia memijak kemanusiaan lalu berdiri dengan angkuh sama menyerigai terbahak dengan makhluk yang pernah berjanji mahu menyesatkan umat manusia itu.

15 Ogos 2009

Ramadhan Yang Tersenyum

Ramadhan bakal kembali mengungguli carta ibadah setiap Muslim yang menanti-nantikannya dalam tempoh enam hari lagi. Penantian sebuah bulan yang dijanjikan dengan lautan rahmat , curahan keberkatan dan anugerah sejuta keampunan adalah detik-detik penuh bermakna kepada setiap insan yang dapat memahami dan mengenali hakikat diri yang senantiasa lemah, banyak dosa dan amat berhajat kepada Tuhannya.

Jika kita mudah teruja dan cepat bergegas ke pasaraya-pasaraya atau gedung-gegung membeli belah kerana terliur dan tergiur dengan ‘sale’ atau tawaran-tawaran hebatnya; sesungguhnya Ramadhan bakal menjelma dengan tawaran yang sejuta kali lebih mengkagumkan! Ramadhan bakal tiba dengan beraneka kelebihan dan keistimewaan paling hebat yang mesti kita rebut! Jangan sampai terlepas!! Dan usah ketinggalan!!

Ibadah sunat yang dilaksanakan bakal diberi ganjaran berganda menyamai ibadah wajib manakala ibadah wajib pula dilipatgandakan sehingga melebihi tujuh puluh kali bahkan lebih. Satu malam bernama Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan itu adalah anugerah menyamai ibadah seribu bulan!

Inilah masanya kita mula melangkah dengan penuh ikhlas mencari reda dan rahmatNya dengan berjinak dan menekuni ibadah solat - bertarawih & bertahajud dll - sedekah, berselawat , beristighfar. Basahkan lidah kita dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir – Subhanalllah – walhamdulillah – wala-ilahaillalah – walla –huakbar.

Memperuntukkan masa buat mentartil al-quran saban hari dan malammya. Membuka ruang-ruang hati yang terkesan dengan cahaya iman lalu menyuluh nilai-nilai kebaikan sesama insan – ringankan tulang anda buat menghulur bantuan, bocorkan kocek anda untuk menjadi dermawan.

Berbuat baiklah sesama manusia meskipun berlainan agama dan warna kulit dan berbeza budaya hidupnya. Tauladanilah manusia lain dengan kebenaran dan keadilan. Demikianlah semangat dan toleransi yang ditiupkan oleh Ramadhan Karim!

Sungguh! Ramadhan menjadi simbol penuh kesyahduan buat insan seluruh alam. Dimana-mana juga kita berbuka puasa dengan penuh kesyukuran diatas nikmat yang tidak ternilaikan. Kita sadar dan insaf kepada insan-insan lain yang kurang bernasib baik. Kita juga akan segera bangun bersahur kerana detik itu penuh barakah biar dengan seteguk air cuma. Kita mahu menjadi hambaNya. Kita mahu pasrah dibawah lembayung taufik dan hidayahNya.

Kita cuba mendidik diri dan hati kita dengan nilai keinsanan yang kian terhakis dalam abad moden ini. Nilai-nilai yang semakin terlerai itu bakal terbina dengan motivasi & acuan Ramadhan. Satu bulan tarbiyyah dan latihan yang bakal menempa mercutanda taqwa.

Sebuah nilai Taqwa yang membina dan mengembangkan kemuliaan. Itulah kemuliaan insan muslim yang seharusnya menjadi umat unggul yang dilahirkan sebagai model dan icon kepada umat manusia seluruhnya. Inilah satu-satunya asas kecemerlangan yang memperkasa umat Islam didunia dan InsyaAllah nantinya akan dijemput lalu dipersilakan menduduki singgahsana syurga Allah yang penuh kenikmatan diakhirat kelak.

08 Ogos 2009

Khianat ketika kamu mendahului matanya dari ucapam salammu ketika bertandang

Khianat. Kamu dikira bersikap begitu jika memilih untuk mendahulukan matamu untuk mengetuk pintu tamumu.

Palingkan pandanganmu kesebelah tepi atau belakang terlebih dahulu sehingga tuan rumah bersedia menjawab salammu.

Doa yang tidak manis

Jangan mufradkan doamu ketika ada insan yang sedang mengaminkan doamu

Hujah & alasan untuk membela keuzuran di hadapan Tuhan

Cukupkah alasan dan hujjah kita untuk berhadapan dengan Allah bagi menjawab segala keuzuran yang terkadang sengaja kita ada-adakan.

Ketidakjujuran yang disembunyikan diatas kegagalan kita membina keikhlasan selalunya mewarnai jiwa kita dengan alasan dan hujah yang memperdayakan diri kita sendiri.

Bidaah yang tidak seharusnya menjadi pertikaian

Sheikh Nuruddin al-Makki semalam telah memberikan penjelasan tentang perkara-perkara bidaah yang kini kembali dipertikaikan dalam masyarakat seperi bacaan tahlil, sambutan Maulid, majlis memperingati Israk dan Mikraj, Nisfu Syaaban, bacaan Yasin malam Jumaat dan seumpamanya. Tidak ada salahnya kita mengamalkan semua perkara tersebut kerana para ulama yang mempelopori semua amalan tersebut bukannya membuat rujukan sembarangan yang terkandas dari landasan syariat.
Para ulama terdahulu yang menganjurkan semua amalan-amalan tersebut adalah mereka yang alim dan warak; adalah ulama amilin yang cukup berhati-hati dalam tindakan mereka. Semua perkara tersebut walaupun tanpa sandaran nas-nas yang sorih secara tepat yang mengungkapkannya namun nas-nas lain yang telah difahami dan dihadami ada memberi laluan kearah perlaksanaan semua amalan-amalan tersebut. Tiada salahnya kita membaca al-quran dalam satu pertemuan orang ramai yang tambahan lagi pula dipersetujui untuk diadakan jamuan kenduri dan sebagainya. Memberi jamuan adalah anjuran Rasul. Membaca al-Quran pula sangat-sangat diberi galakan oleh Rasul.
Janganlah terpengaruh dengan gesaan-gesan supaya meninggalkan amalan-amalan yang ternyata menghimpun manusia melakukan kebaikan seumpama membaca ayat-ayat al-Quran, memberi jamuan, berselawat memuji dan memperingati Rasul dll yang kononnya ianya adalah perkara bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Lebih penting lagi janganlah urusan-urusan itu menjadi sebab kepada perpecahan umat sedangkan dihadapan kita terlalu banyak lagi agenda-agenda umat yang lebih besar dan mencabar urusan akidah yang memerlukan masa, tenaga dan buah fikiran untuk menghadapinya.