Pengikut

26 Februari 2009

"Oh! betapa bahagianya mereka"

Satu scene yang indah! Keluar dari pejabat pagi tadi menuju ke Pusat Bandar untuk ke Bank Muamalat terpandang sepasang insan berbasikal (ala-ala 60-an gitu) mencuri pandanganku. Lelaki bermisai tebal separuh macho agak setengah umur, berbaju lengan panjang putih, berseluar hitam kemas; baju dimasukkan ke dalam dengan kasut hitam ala ke pejabat.

Dibelakangnya membonceng wanita separuh umur berbaju kurung dengan tudung panjang kehijauan; dibiarkan saja sebelah tudungnya yang tak berikat terlepas ke bawah menutupi separuh baju ‘pink’nya. Dengan badan sedikit dicondongkan agak kebelakang kelihatan tangan kanan wanita itu memeluk pinggang si lelaki agak kemas, kasut tumit tingginya dapat dilihat dengan jelas apatah lagi dengan kedudukannya yang bertindih paha duduk penuh bersahaja di tempat ‘carrier’ di belakang..

Kalau tak salah perhitungan, nampak seperti pasangan suami-isteri. Wajah keduanya selamba saja. Si lelaki mengayuh tenang tanpa memperdulikan beberapa pandangan liar mencuri-curi dari cermin-cermin kereta atau pandangan terus dari penunggang motosikal dan mereka yang lalu-lalang di situ; terpegun rasanya. Bukan senang hendak bertemu dengan pemandangan sebegitu dalam zaman begini.

Begitulah warna-warna kehidupan, kebahagiaan adalah milik semua dengan sejuta aksi. Aku cuma mampu berkata: “oh, betapa bahagianya mereka!”

25 Februari 2009

Sajak: Perjalanan Menuju Keabadian

Sayupnya perjalanan
tanpa perlu ditanya kemana
telah mengerti arahnya
sama saja kesana

sebuah perhimpunan
dimahkamah telus terbuka
perbicaraan aksimu di dunia
dinoktahi kematian
penentuan di mizan
dipersaksikan
di atas neraca
dosa dan pahala

melalui titian
merentangi neraka
pilihannya cuma dua
tergelincir dimamah sengsara
kesyurga menikmati bahagia

Resensi Buku: Berakhirnya Usia Dunia

Nama Buku: Beakhirnya Usia Dunia
Penulis: Syeikh Muhammad Mutawali al-Sya'rawi
Penterjemah: Muhammad Ramzi Omar
Mukasurat: 141
Kandungan: 7 fasal

Sebuah buku penting cetusan pemikiran Syeikh Muhammad Mutawali al-Sya'rawi. Mengandungi tujuh fasal atau bab yang memberi fokas kepada sebuah perbincangan kritis mengenai halatuju dan pegangan manusia di muka bumi dalam rangka memenuhi taklif sebagai insan rabbaniyy menuju sebuah kehidupan kekal di akhirat.

Insan kerap melupai asal kejadiannya. Ia selalu memberi keutamaan kepada pencapaian akal dan mindanya. Semakin terbongkar rahsia alam hasil penerokaan dan penemuan rahsia-rahsia sunnatullah yang mempermudahkan segala urusan kehidupan, manusia bukan semakin mahu mendekati Tuhannya sebaliknya sombong dan bertambah jauh!

Penyingkapan tabir demi tabir terhadap beberapa isu penting seperti perubahan manusia, peranan makhluk-makhluk ciptaan lain, persoalan ruh, kekerdilan manusia berbanding keagungan ciptaan langit dan bumi dan seumpamana telah dirakamkan sebegitu teliti dan menarik. Lebih terasa kehebatan buku ini bila pengarang dengan cara bersahaja menyingkap keupayaan akal fikiran insan secara sadar dan rasional mengupas isu-isu ketuhanan yang akhirnya membawa kesimpulan padu bahawa kehidupan ini mestilah disahut dengan iman!!

Beberapa petikan dari teks:

Allah menghulurkan sebab-sebab untuk semua makhlukNya. Orang yang mengambil sebab-sebab itu dengan sungguh-sungguh maka dia berjaya menandingi orang lain.

Manhaj keimanan menuntut setiap orang yang semakin meningkat pencapaian ilmunya agar semakin meningkat pula iman dan kyusuknya kepada Allah.

Bersegera melakukan kebaikan adalah satu perkara yang dituntut kerana manusia tidak dapat menjamin nasibnya esok hari.

23 Februari 2009

INGAT TENTANG AGIHAN REZEKIMU

يَاابْنَ اَدَمَ إِنْ رَضِيْتَ بِمَا قَسَّمْتُ لَكَ أَرَحْتُ قَلْبَكَ وَبَدَنَكَ وَإِنْ لَمْ تَرْضَ بِمَا قَسَّمْتُهُ لَكَ فَوَعِزَّتِيْ وَجَلاَلِيْ َلأُسَلِّطَنَّ عَلَيْكَ الدُّنْيَا تَرْكَضُ فِيْهَا كَرَكْضِ الْوَحْشِ فِى الْبَرِيَّةِ وَلاَيَنَالُكَ مِنْهَا إِلاَّ مَا قَسَّمْتُهُ لَكَ َوكُنْتَ عِنْدِىْ مَذْمُوْمًا

Hai anak Adam! Jika kamu reda dengan apa yang Aku bahagikan kepadamu maka Aku akan tenangkan hati dan tubuh badanmu. Sebaliknya jika engkau tidak reda dengan apa yang Aku bahagikan untukmu maka demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku akan kuasakan ke atasmu dunia ini di mana kamu akan menghentakkan kaki padanya sebagaimana hentakkan kaki binatang liar di belantara; tetapi kamu tidak akan memperoleh melainkan sekadar yang Aku tetapkan pembahagiannya untukmu sedangkan engkau di sisi-Ku adalah seorang yang tercela. – (al-Hadith al-Qudsi)

LEMBUT

TAIF: RAHMAT DARI DOA RASULULLAH

Peribadi dan akhlak seorang Rasulullah adalah terlalu hebat. Teramat layak ianya menjadi rahmat kepada sekelian alam. Ternyata kehebatan Rasulullah berlaku dalam seluruh gerak-geri di dalam keseluruhan perjalanan hidupnya. Semuanya menjadi contoh dan tauladan kepada umat seluruhnya yang mengharapkan panduan dan bimbingan bagi memanifestasikan sifat kehambaan dalam ertikata kepatuhan yang mutlak kepada Maha Pencipta.

Bumi Taif yang pernah menolak kehadirannnya dalam misi dakwah beliau telah mendapat rahmat dengan doa "Ya Allah, berilah petunjuk dan hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka belum memahami". Sehingga kemudiannya, rombongan awal dari taif telah datang bertemu Rasulullah pada tahun 7 Hijriyyah bagi menyatakan keimanan kepada Allah dan RasulNya.

Bumi yang pernah didoakan itu juga menjadi sebuah kawasan subur yang menghasilkan buah-buahan yang baik; khasnya anggur yang terhasil dari jenis paling baik, segar dan sedap. Sedangkan sewaktu beliau bersama Zaid bin Harithah memijak bumi Taif dulu, mereka telah dihujani dengan lontaran batu-batu yang membawa sehingga Rasulullah mengalami luka-luka dikepala. Diceritakan juga bahawa sepatu Rasulullah dipenuhi dengan darah sehingga 'berbunyi kesan-kesan darah' itu ketika beliau berjalan meninggalkan bumi taif itu.

Meskipun Jibril a.s. merayu kepada baginda untuk menghempapkan batu-batu dari bukit Taif ke atas penduduknya namun ternyata Rasulullah s.a.w. menolaknya. Biarpun beliau mendapat keji-nista dan siksaan sedemikian parah beliau tetap melihat jauh melepasi batas-batas penderitaannya. Biar generasi awal ini gagal untuk beriman tetapi beliau tetap menaruh keyakinan bahawa akan sampai masanya anak-cucu mereka akan menerima ajaran tauhid berasaskan agama Islam yang dibawanya.

17 Februari 2009

MENCARI KELAZATAN DALAM SOLAT

Sudah berapa lama kamu bersolat?
Pernahkah kamu merasai kelazatan ketika bersolat?

Lazat dan nikmat kerohanian ketika bersolat adalah anugerah Allah S.W.T. kepada hambaNya yang dikehendaki. Sebagaimana Ia telah kurniakan kepada RasulullahS.A.W., sahabat-sahabatnya, para auliya',para ulama atau sesiapa juga dari hamba-hambaNya dari kalangan mereka-mereka yang terpilih.

Masih jauhkah lagi solat kamu dari kualiti yang menjadi sebab kepada keizinan Allah menganugerahkan hadiah kelazatan itu kepadamu? Atau seluruh hidupmu mesti difokaskan dengan pendekatan kerohanian yang terancang bersumberkan keperluan-keperluan yang menjadi ramuan bekalan menuju Ilahi. Perjalananmu itu penuh ranjau berliku; di sana-sini terdapat perangkap dan jerat musuh. Sedang jarak perjalanan musafir itu tak mungkin terduga berapa jauhnya dan entah dimana ... cuma yang pasti pesan guru: bawalah panduan ilmu, bekalan takwa, pemandu arah dari kalangan guru-guru yang mursyid (berkelayakan) dan senjata zikir & wirid. Jalani jalan tersebut dengan tekun dan bersungguh-sungguh, beriadah dengan melakukan amal-ibadat yang dibenci nafsu, bermujahadah melawan godaan amarahmu, akur dengan perintah guru-gurumu, amalan dan wiridmu secara istiqamah... oh!! jalannya terlalu sukar dan berliku... "syurga" bukan boleh dibeli dengan harga yang murah!

Bagaimana nikmat dan lazat bermunajat dengan Allah itu?
Pernahkah kamu bersolat Hajat memohon kepada Ilahi agar dianugerahkan nikmat kelazatan tersebut? Memohon dipertemukan guru-guru yang berkelayakan untuk memandumu mencari kelazatan dan kenikmatan rohaniah terutama dalam ibadat-ibadatmu?

16 Februari 2009

PANTUN : SIAPA TAAT DAN SIAPA DERHAKA

Duduk bersantai sambil bercerita,
Kisah silam tangkas bersilat;
Raja Berpelembagaan tetap dimahkota,
Naungi negara bangsa berdaulat.

Sambut beradat Laksamana Bentan,
Diarak tandu keliling kota;
Menjunjung tinggi daulatnya Sultan,
Alasan tersembunyi merampas takhta.

Menahan rindu di kala duka,
Menanti kekanda kembali ke desa;
Berani bertahan bukannya derhaka,
Menentang konspirasi rampasan kuasa.

Hinggap lalat di ranting nangka,
Terbang lari disergah merpati;
Siapa taat siapa derhaka,
Biar perlembagaan tentukan nanti.

15 Februari 2009

RELAX - Satu Kaedah Terapi Paling Efektif

"Happy Annivesary" KE-19 BUAT ISTERIKU

19 tahun bukanlah suatu jangkawaktu yang singkat. Semestinya begitulah. Masa yang secara relatif panjang itu telah memberi suatu konotasi bermakna dalam satu perjalanan kehidupan kita.

Sudah pastilah ianya suatu nikmat yang terlalu amat besar untuk disyukuri. Suatu rahmat yang hebat dan bermakna yang harus diperhalusi. Tidak ternilai oleh sebarang nilai material atau tuturan bicara. Nikmat yang semestinya dilafaz oleh sentuhan bibir nurani dengan keikhlasan budi.

Perkahwinan didefinisikan oleh Hamka dengan kata-kata ‘perkongsian sejuta perbezaan dalam satu ikatan’. Demikianlah kebenaran kata-kata bijak pandai yang kerap memberikan pemerhatian untuk membaca sebuah kitab kehidupan yang beraneka ini dengan memberi suatu impak pengertian yang mengesankan.

Lebih menariknya lagi ianya bukan hanya satu perkongsian biasa yang berjalan dipaksi lumrah tetapi melepasi suatu kebijaksanaan untuk saling memahami dan memperkuatkan ‘persamaan’ sekaligus rela mengorbankan emosi dan sentimen demi meneutralkan ‘perbezaan’ yang sesekali muncul beraksi.

Hidup yang dianugerahkan itu telah kita kecapi bersama. Susah senang kita redahi juga. Kelmarin adalah hari-hari yang telah kita bina dengan penuh tekun. Kita tetap meredahnya biarpun payah.

Bukankah kita pernah mengah dalam kayuhan kehidupan ini. Bukan sekali tetapi beberapa. Kepayahan dan derita mengajar kita sesuatu. Akhirnya kita temui juga ketenangan. Pastinya ketenangan itulah yang turut membina elemen-elemen kebahagiaan.

Sesekali asak kepenatan yang membungkam berlalu begitu saja. Tenggelam dan akhirnya terbenam. Justeru, kita biarkan ianya berlalu dipercelahan pasrah. Santai, relax dan ‘enjoy’ begitu. Mungkin itu adalah formula hidup kita yang banyak meransang sebuah kehidupan yang sentiasa hidup; mampu pula bertahan.

Kasih dan sayang adalah resepi. Anak-anak pula sebagai penyeri. Apapun, kita ada tugas dan tanggung-jawab. Kita ada hak dan peranan yang mesti terus dipikul dan dilaksanakan. Anak-anak kita bakal membesar dengan pelbagai ragam. Biarlah kita terus menjadi model terbaik untuk mereka terus menokok kebahagiaan sedia ada. Kita basahi mereka dengan asas agama yang mantap supaya mereka tidak tercari-cari nilai diri. Kita balutkan mereka dengan cinta dan kasih yang berpada dan sewajarnya; usah terlalu berlebihan – kerana nantinya mereka tahu menilai makna cinta, kasih dan sayang yang sebenarnya dan diletakkan dipaksinya yang tepat.

Semoga kita dianugerahkan Ilahi hidup yang lebih berkat dan diredai. Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan ke-19. Salam kasih sayang dari suamimu.

28 Januari 2009

14 Februari 2009

TAHAP PERKEMBANGAN MANUSIA

Tahap 1(1 hingga 7 tahun)
Bayi, Kanak-Kanak.
Perlukan didikan penuh belaian kasih-sayang dan kemanjaan.
Solat mestilah digalakkan.

Tahap 2(8 hingga 14 Tahun)
Kanak-Kanak, awal remaja.
Zaman persekolahan rendah dan menengah rendah.
Didikan perlu kepada pendekatan yang tegas. Didik dengan ketegasan.Mereka perlu memahami dan bersedia memikul tanggungjawab. Solat tidak boleh lagi ditinggalkan. Usia paling ideal untuk menghafal pelajaran,al-Quran,Hadis dll.Tindakan lebih tegas sehingga kepada peringkat memarahi jika perlu;merotan sekiranya mereka gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Akan berlaku tindakbalas, tidakpuas hati, merajuk, marah, mengomel dsb. Jangan perdulikan! Ingat! didik dengan tegas.

Tahap 3 (15 hingga 21 Tahun)
Awal Remaja
Masih lagi dalam era persekolahan. Menengah,Menengah Atas, Kolej, Universiti dsb.
Masa yang penuh cabaran dan pancaroba dalam kehidupan mereka. Banyak terpengaruh oleh teman rakan dan persekitaran. Berani beraksi dengan pelbagai gelagat. Sikap dan perangai yang sukar dibaca. Tidak suka dikongkong. Mudah bertindakbalas terhadap sebarang ransangan. Ditahap inilah, ibubapa perlu berkawan atau bersahabat dengan anak-anak. Perlu banyak bercakap dan bersedia mendengar 'cerita' mereka. Seeloknya, tahu siapa kawan dan kumpulan mereka. Bijak menunjukkan reaksi terhadap apa-apa masalah dan cuba memberikan respon yang positif dalam kaedah-kaedah yang menarik dan matang. Mereka perlu belajar sesuatu di dalam menafsirkan kehidupan. Disinilah pentingnya ibubapa berkawan dan bersahabat dengan anak-anak diawal remaja sebegini.

Tahap 4 (22 hingga 28 Tahun)
Pertengahan Remaja
Mereka seharusnya telah memiliki keyakinan diri untuk menghadapi kehidupan dengan kekuatan kasih-sayang, dengan ilmu dunia dan akhirat, dengan panduan dan pedoman serta model ibubapa yang cemerlang. Mereka akan mula berminat untuk mencari pasangan dan berkahwin. Memiliki anak-anak sendiri. Berjaya dalam pengajian.Atau gagal dan bangun semula. Jatun, rebah dan kembali bertatih. Memasuki dunia kerjaya. Belajar membina kehidupan sendiri. Memiliki pendapatan sendiri. Ada tanggungjawab diri, keluarga, masyarakat, ibubapa dll. Mereka yang mendapat kaedah pendidikan yang betul akan bergaya menghadapi hidup penuh bergaya!

Tahap 5 (29 hingga 35 Tahun)
Akhir Remaja
Lebih matang dan berpengalaman. Asas pendidikan yang kuat dan seimbang antara jasmani dan rohani menjadi pemangkin kepada keupayaan menghadapi cabaran. Berupaya melebarluaskan ilmu dan pengalaman atau mampu menyumbang sesuatu kelebihan kepada orang lain. Hidup bekeluarga menjadi lebih kukuh dengan perancangan ekonomi yang makin mantap dan stabil.

Tahap 6 (36 hingga 42 Tahun)
Awal Dewasa
Peringkat umur yang penting. Sekiranya akan berlaku perubahan, inilah masanya.

Tahap 7 (43 hingga 49 Tahun)
Dewasa
Tahap penting beramal dengan ikhlas. Menyumbang bakti kepada masyarakat.

Tahap 8 (50 hingga 56 Tahun)
Akhir Dewasa
Jika bekerjaya, telah masuk era pencen. Anak-anak sudah berkahwin. Memiliki cucu. Kesihatan makin menurun.

Tahap 9 (57 hingga 63 Tahun)
Awal Tua

Tahap 10 (64 hingga 70 Tahun)
Pertengahan Tua (Subsidi 1)

Tahap 11 (71 hingga 77 Tahun)
Tua 1(Subsidi 2)

Tahap 12 (78 hingga 84 Tahun)
Tua 2(Subsidi 3)

Tahap 13 (85 hingga 91 Tahun)
Akhir Tua 1 (Subsidi 4)

Tahap 14 (92 hingga 98 Tahun)
Akhir Tua 2 (Subsidi 5)

Tahap 15 (99 keatas)
Tua bangka.

BELAJAR QURAN KAEDAH MODEN?

Hari ini ketika aku selesai bertalaqqi bacaan al-Quran dengan Ustaz Shukri, kami berbual pendek."Budak-budak yang belajar sistem muqaddam cara moden ni,memang bermasalah dengan cara bacaan yang betul, jenuh nak perbetul bacaan mereka semula. Tak ada seorang pun yang boleh baca dengan betul", kata Ustaz Shukri.

Beliau kelihatan tidak menaruh sedikit pun keyakinan kepada kaedah baru seperti Qiraati, Iqra' dan seumpamanya. Katanya hampir semua kanak-kanak yang pernah belajar asas al-Quran dengan kaedah moden, bila datang kepadanya untuk belajar atau menyambung pengajian ternyata bermasalah. Huruf-huruf tidak dapat dikenali. Hukum-hukum tajwid lintang-pukang...apa pun sistem pengajian cara lama dengan cara mengeja huruf amat berkesan dan mudah dalam proses menyerapkan kaedah-kaedah tajwid, kefasihan dan lain-lain.

Hari ini juga aku dapat rasakan satu kebanggaan yang tak tergambarkan dengan kata-kata.Syukur yang setingginya kupanjatkan kehadrat Allah S.W.T. kerana mempertemukan aku dengan guru al-Quran ini. Ustaz Shukri sebenarnya memiliki bacaan 'sanad' dari gurunya di Damsyik,Syria bertalian sehingga Rasulullah S.A.W. Dua tahun beliau menumpukan pengajian sehingga memperolehi bacaan sanad dari gurunya; yang katanya bertalian sebanyak 27 sanad. Katanya juga di dalam Malaysia ini pun sekarang hanya ada seorang dua sahaja yang mendapat bacaan sanad sebegitu. Wallahu axlam.

Tidak mudah mendapat bacaan sanad. Dia bercerita, dia juga terpaksa membaca Fatihah berpuluh kali di depan gurunya. Sedangkan ketika itu beliau sendiri sudah bertitle Ustaz yang sudah mempunyai murid-murid yang ramai. Jadi tidak hairan dia banyak memperbetulkan sifat-sifat huruf yang setepatnya ketika aku bertalaqqi dihadapannya. Aku suka keadaan begitu. Biar banyak teguran. Sebab belajar melalui kesalahan itulah yang paling efektif. Setakat ini sudah dua kali aku menghadirkan diri untuk belajar. Beliau belum lagi menegurku dalam perkara kesalahan kalimah dan hukum-hukum biasa tajwid. Tetapi aku tidak terlepas dari pengamatannya dalam sifat-sifat huruf. Istixla',istifal, mahmus, tafkhim, tarqiq dan seumpamanya.

Alhamdulillah!! Pertemuan inilah yang menjadi idamanku sejak dari dulu. Terima kasih pada Hj Ghani yang menjadi wasilah kepada pertemuan itu.Tidak lupa kepada sahabatku Md Safar yang turut gigih; bersama-sama saling menyuntik motivasi untuk terus meniti hari-hari untuk bermusyafahah dengan guru al-Quran yang bertauliah hebat itu.

Semoga Allah S.W.T. merahmati kami semua yang telah, sedang, akan dan tetap akan istiqamah meneruskan pengajian sehingga memperolehi ijazah bacaan sanad dari Ustaz Shukri. InsyaAllah!! Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang sabar dalam menuntut ilmu al-Quran ini! Amin

11 Februari 2009

LOMPAT MELOMPAT

Inilah drama politik terkini yang menguasai arus perdana politik Malaysia. Lompat-melompat.
Parti yang terlepas oleh lompatan wakil rakyatnya keluar ke parti lain akan bising dengan soal maruah, kesetiaan dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Mahu digubal undang-undang anti lompat dan pelbagai cadangan lain.
Sebaliknya, parti yang menerima wakil rakyat melompat itu menganggapnya sebagai hak dan kebebasan dalam amalan demokrasi.
Begitulah lumrah insan yang berparti; terpaksa akur dengan agenda kepartian masing-masing. Perjuangan dan pengorbanan adalah sinonim dengan citarasa dan idealisme yang dibawa. Cabaran-cabaran yang ada memang sukar dianalisa untuk mengenalpasti paksi sebenar isu –isu utama negara samada ianya ‘masalah sebenar’ atau hanya ‘masalah lipstik’ sahaja.
Kebenaran dan hak menjadi barang perjudian yang menuntut terlalu banyak tuntutan dicelah-celah arus politik yang berbara.

08 Februari 2009

PALESTIN - CAMBAHKAN LAGI PARA MUJAHIDIN

Matlamat pembebasan Masjid al-Aqsa (al-Quds) adalah jelas. Ianya menjadi tanggungjawab semua individu yang bernama Muslim. Terbaru, 22 hari (27/12/08 hingga 17/1/09),Israel kembali mengganas di bumi Gaza.Berlaku penyembelihan manusia yang amat tragis. Kemusnahan berlaku dimana-mana: rumah-rumah, sekolah, hospital, tempat-tempat awam dan segala-galanya. 1,300 rakyat Gaza menjadi korban; syahid!! Yang tinggal adalah tangis ngeri, pedih dan pilu. Yang tinggal adalah janda-janda. Anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Orang-orang tua yang merenung jauh melihat hampa kehancuran dihadapannya... demikianlah regim ganas Israel yang selamanya menjadi bangsa terkutuk itu!!

Pergeseran ini mustahil akan berakhir. Zionis Yahudi tidak pernah mengenal erti putus-asa untuk menakluki bumi Palestin seluruhnya...bahkan beberapa bumi Asia Barat lain yang mereka rancangkan di dalam plan penaklukan yang menjadi idaman dan sasaran mereka.

Mari kita, terutama yang jauh dengan Palestin - jangan melihat dan bersimpati begitu sahaja. Segera sumbangkan bantuan kewangan. Panjatkan doa penuh pengharapan semoga pejuang-pejuang Palestin yang kini diwakili oleh Hamas akan terus bertahan dan bergerak terus kebumi al-Quds demi cita-cita suci!! Bebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman Yahudi durjana itu!!!

Biar janda-janda kembali mempunyai suami yang nantinya akan melahirkan ramai lagi para Mujahidin yang lebih berani dan ikhlas bertebaran dibumi anbiya' itu. Biarkan bayi-bayi dan kanak-kanak yang melihat kemusnahan hari ini terus membesar menjadi pejuang yang gagah dan hebat demi menegakkan kalimah Allah dan Syariat Islam di bumi al-Quds itu. Palestin adalah hak mereka, kembalikan hak kepada yang berhak!! Allahuakbar!!

07 Februari 2009

APA ITU ARAB?

Perkataan ‘Arab’ berasal daripada gabungan huruf (ain-ra-ba) yang terselit berbagai rahsia dalam kajian ilmu linguistik bahasa.
Ya, ramai di kalangan kita telah lama mempelajari bahasa Arab. Berapa ramai di kalangan kita yang tahu kenapa bahasa Arab dinamakan Arab? Apakah sebab musabab mereka dipanggil Arab? Siapa Arab yang sebenarnya? Bagaimana kita mahu mengenali orang Arab? Bagaimana sejarah orang Arab dahulu? Bolehkah kita mentafsirkan Arab itu hanya sekadar membuat tafsiran berdasarkan huruf (A-R-A-B) ?
Mengikut kajian linguistik bahasa Arab, perkataan Arab adalah daripada gabungan (ain-ra-ba). Perkongsian ketiga-tiga huruf iaitu ain, ra dan ba adalah pasukan yang mantap kerana keenam-enam gabungan mempunyai makna. Enam gabungan tersebut ialah (ain-ra-ba), (ain-ba-ra), (ba-ra-ain), (ba-ain-ra), (ra-ain-ba) dan (ra-ba-ain)
Arab (ain-ra-ba) adalah bangsa yang dulunya hidup dalam ketakutan (ra-ain-ba). Sehubungan itu mereka sering berpindah (ain-ba-ra) daripada satu lembah ke lembah yang lain. Mereka berpindah dengan menggunakan unta (ba-ain-ra). Selain itu mereka mempunyai sifat yang murni iaitu mereka suka bersedekah dan berderma (ba-ra-ain).
Persoalannya, apa kaitan Arab dengan angka empat yang terdiri daripada gabungan huruf (ra-ba-ain) ? Banyak teori perkaitan antara Arab dan angka empat telah diutarakan. Antaranya ialah peristiwa meletakkan Hajarul Aswad ke tempatnya semula setelah Mekah dilanda banjir.
Setelah hampir mencetuskan perbalahan besar, Nabi berjaya menyelamatkan suasana dengan kebijaksanaan yang tinggi. Baginda menyuruh pembesar Arab agar meletakkannya dalam sehelai kain besar yang berbentuk empat segi atau empat bucu. Mengikut ahli sejarah, ketika itu terdapat 12 pembesar utama dari 12 kaum yang besar ketika itu.
Nabi menyuruh empat pembesar utama memegang empat bucu utama. Manakala lapan pembesar (4x2) memegang di tengah-tengah. Setelah hampir ke bangunan kaabah, Nabi sendiri mengambil Hajarul Aswad dan meletakkannya di tempat yang asal.
Dalam hal ini, angka empat dan Arab adalah sesuatu yang berkaitan.

صلاوة الفاتح

َاللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاِتمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَالْهَادِيْ إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيْمِ

Selawat al-Fatih. Amalkan untuk mendapatkan kefahaman ilmu dan memohon sebarang hajat.

SUDAH BERAPA KALI ANDA KHATAM AL-QURAN SEPANJANG HIDUP ANDA?

(Rujukan: al-Quran rasm al-Uthmani)
---------------------------------------------------------------------
1 al-Quran = 30 juzuk
1 Juzuk = 2 Hizb
1 Hizb = 4 Maqra'
1 Juzuk = 10 helai = 20 mukasurat
(1 m/s = 15 baris)

==> 30 Juzuk = 60 Hizb = 240 Maqra'
---------------------------------------------------------------------
Program bacaan al=Quran (secara istiqamah):

1 hari = 1 maqra' ==> 8 bulan khatam (8 x 30 hari)
1 hari = 2 maqra' ==> 4 bulan khatam (2 x 4 x 30)
1 hari = 1 hizb = 4 maqra' ==> 2 bulan khatam ( 4 x 2 x 30)
1 hari = 1 juzuk = 2 hizb = 8 maqra' ==> 1 bulan khatam (8 x 1 x 30)

---------------------------------------------------------------------
Masa bacaan: (mengikut kebiasaan/tartil/keselesaan)

Jika:
1 baris = 6 saat ==> 1 muka = 90 saat (1.50 minit) ==> 1 juzuk = 30 minit
1 baris = 7 saat ==> 1 muka = 105 saat (1.75 minit) ==> 1 Juzuk = 35 minit
1 baris = 8 saat ==> 1 muka = 120 saat (2.00 minit) ==> 1 Juzuk = 40 minit
1 baris = 9 saat ==> 1 muka = 135 saat (2.25 minit) ==> 1 Juzuk = 45 minit
1 baris =10 saat ==> 1 muka = 150 saat (2.50 minit) ==> 1 Juzuk = 50 minit
1 baris =11 saat ==> 1 muka = 165 saat (2.75 minit) ==> 1 Juzuk = 55 minit
1 baris =12 saat ==> 1 muka = 180 saat (3.00 minit) ==> 1 Juzuk = 60 minit

--------------------------------------------------------------------------

Dengan bacaan satu hari:

1 Juzuk = Khatam (1 bulan:1 kali = setahun:12 kali = 2 tahun:24 kali)
1 Hizb = Khatam (2 bulan:1 kali = setahun:6 kali = 2 tahun:12 kali)
2 Maqra' = Khatam (4 bulan:1 kali = setahun:3 kali = 2 tahun:6 kali)
1 Maqra' = Khatam (8 bulan:1 kali = 2 tahun:3 kali)
-----------------------------------------
1 muka sehari = Khatam ( 5 tahun:3 kali)
0.5 muka sehari = Khatam (10 tahun:3 kali)
----------------------------------------------------------------------
mengambilkira kadar bacaan sederhana 2 minit ke 2.5 minit semuka:

1 Maqra' lebih kurang 2 1/2 muka = 5 minit
2 Maqra' lebih kurang 5 muka = 10 minit

Dengan perbandingan ini: maknanya dengan perbezaan masa 5 minit sehari seseorang yang istiqomah dengan bacaannya 2 maqra' (10 minit) sehari akan dapat mengkhatamkan bacaan al-quran dalam masa 4 bulan sahaja. Sedangkan yang memilih membaca 1 maqra'
(5 minit)akan mengkhatamkan bacaan al-qurannya hanya dalam tempoh 8 bulan.

Dengan perbezaan masa lebih kurang 5 minit sehari itu, bermakna, pembaca 1 maqra; sehari akan khatam al-quran sebanyak 3 kali sepanjang 2 tahun. Manakala pembaca yang melilih membaca 2 maqra' sehari pula akan dapat mengkhatam al-qurannya sebanyak 3 kali setahun!!!

10 minit sehari itu beratkah?! Kalau tidak mampu sekaligus 10 minit, jadikan dua bahagian yakni 5 minit siang (1 maqra')dan bakinya sebelah malam (1 maqra' lagi). Atau apakata setiap lepas solat fardhu baca satu muka!! samalah juga! Cuma ambil masa 2 minit saja!

Kaedah Penting: Jika tidak boleh lakukan semua jangan pulak ditinggalkan semuanya!!

Akhirnya: Bacalah al-Quran meskipun tanpa perancangan atau disiplin bila-bila saja, dimana-mana juga!!!

06 Februari 2009

MENGAPA MEREKA MENGKRITIK AL-GHAZALI?

Dua atau tiga minggu kebelakangan ini, aku begitu terganggu. Seperti suatu kebetulan pula, kutemui beberapa karya melibatkan hasil penulisan Imam al-Ghazali terutama dalam memperkatakan kitab agungnya Ihya' Ulumiddin lewat beberapa tulisan bersifat kritikan yang meminta untuk lebih berhati-hati dalam mengambil maklumat atau ilmu hasil tulisan hebat itu.Sungguh ianya satu kejutan dalam mindaku!

Pertama kali kutemui idea kontra dalam isu ini melalui tulisan Astora Jabat ketika dia diberi kolum khas memberikan pandangannya di dada akhbar Mingguan Malaysia. Tapi ketika itu aku masih kuat dengan persepsiku yang jelas menyokong penuh ketokohan al-Ghazali tanpa ragu. Sebenarnya hingga kini pun, sebagai orang awam aku merasa tidak layak untuk membuat apa-apa komentar terhadap tokoh-tokoh besar Islam seperti al-Ghazali. Aku tetap menghormati dan kagum dengan kehebatannya. Lagipun Ustaz Fahmi Zam-Zam ada berpesan jangan sampai kita berani mempertikai tokoh-tokoh Islam yang banyak berjasa kepada perkembangan Islam itu. Kalau kita hendak menyalin balik karya mereka pun, nescaya tidak termampu kita melakukannya sehingga ke akhir hayat kita sekali pun!

Tetapi bila kutemui beberapa tulisan kritikan yang mempertikaikan karya al-Ghazali, aku menjadi bingung! Benarkah mereka yang mengambil sikap mengkritik al-Ghazali itu ikhlas atau sebaliknya mereka mempunyai agenda berbau kepentingan yang tidak terduga atau diketahui oleh pembaca? Aku memerlukan masa untuk terus memperhalusinya dan membuka ruang untuk bertanya bagi mendapat kembali jawaban yang bisa menteteramkan jiwaku!

Memanglah dari dulu lagi, aku adalah antara peminat & pencinta al-Imam al-Ghazali. Dengan jolokan 'Hujjatul Islam', Imam Ghazali telah menghasilkan karya-kerya hebat dengan memberi kritikan terhadap persoalan zamannya yang ketika itu telah berlaku kecelaruan dalam pelbagai bidang ilmu termasuk ilmu-ilmu asas Islam - Tauhid, Fiqah dan Tasauf.

Bermula dari usia belasan tahunku (tahun 80-an)ketika aku mula mempelajari sehingga khatam kitab Hidayatus Salikin (HS) karangan Syeikh Abdul Samad al-Palembani di surau kampungku. Sebuah teks popular yang sememangnya menjadi rujukan utama dikebanyakan pondok, pesantren, masjid-masjid dan surau-surau hampir di seluruh daerah umat Islam di Asia Tenggara - Malaysia, Selatan Thailand, Indonesia, Singapura dll. Sehinggakan aku sendiri memiliki dua naskah teks kitab HS itu dalam versi kitab kuning dan cetakan berjilid tebal dengan tulisan jawi yang agak besar. Kemudiannya, aku menyedari telah berlaku lagi cetakan berikutnya dengan lebih jilid yang lebih menarik berukuran buku teks sekolah yang kerap kujumpai dikedai-kedai kitab.

Ustaz Fahmi Zam-Zam telah melakukan satu anjakan baru dengan menghasilkan kitab HS dalam bentuk yang lebih istimewa dengan membuat tahqiq kepada hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab tersebut serta persembahan pengeditan berbentuk karangan baru yang lebih mudah difahami.Kitab HS versi Ustaz Ahmad Fahmi ini menjadi lebih popular ketika berlangsungnya Seminar pemikiran Syeikh Abdul Samad al-Palembani di Masjid al-Bukhari, Jalan Langgar pada penghujung tahun 2002 bersama kitab Sairus Salikin dalam beberapa jilid tebal.Aku turut berada dalam seminar tersebut yang berlangsung selama dua hari.

Kitab HS juga dibaca dipondok Gajah Teriak, Bukit Wang oleh Ustaz Khairul Anwar Sfafie sejak penubuhan pondok tersebut. Sehingga akhir tahun lalu (2008), kitab tersebut baru selesai dikhatamkan.

Demikianlah satu lintasan sejarah ringkas aku dan Kitab Hidayatus Salikin yang merupakan kitab pertama yang kutelaah dan kemudiaannya terus berdampingan dengannya sehingga kini. Apa yang cuba hendak kujelaskan disini ialah bahawa kitab HS itu sebenarnya adalah saduran dari Kitab Bidayatul Hidayah karangan al-Imam al-Ghazali.

Kitab Bidayatul Hidayah juga telah diterjemahkan oleh ustaz Fahmi Zam-Zam dalam nashkah yang memenuhi tuntutan zaman dari segi pendekatan penyampaiaannya. Sekarang, disurauku juga setiap dua minggu, kitab inilah yang dibacakan oleh seorang Ustaz muda dari Maahad Tarbiyyah Islamiyyah, Derang.

Kitab Minhajul Abidin karangan al-Ghazali dalam nashkah kitab kuningnya juga pernah kupelajari dari Tuan Haji Abdul Hamid Abdul Rahman, dimasjid al-Irfan, Derga dalam usia mudaku dulu.

Buku-buku karangan al-Ghazali yang lain dalam koleksiku memang tersimpan dengan baik. Ihya Ulumiddin yang dicetak secara kitab-kitab berasingan ada sebahagiannya kubeli dulu. Kitab Bimbingan Mukminin yang dijilidkan agak tebal yang kumiliki pernah menjadi rujukanku sehingga tidakku tahu kemana menghilangnya; kebetulan kitab tersebut baru-baru ini kuperolehi kembali dari simpanan kitab-kitab allahyarham bapa mertuaku. Terakhir tahun lalu, aku sempat meminjam sebuah buku kajian ilmiah memperhalusi kitab terakhir karangan al-Ghazali dalam bidang logik yang rata-rata mengangkat al-Ghazali kepersada tokoh yang semestinya dikagumi.

Nostalgia ku bersama kitab-kitan al-Ghazali amat terkesan bila mahu diperkatakan. Pendekata, karangan-karangan al-Ghazali telah banyak membentuk sikap dan peribadi muslimku.

Penemuanku dengan satu nashkah 'digital book' melalui i-scribd yang memberi komentar dan kritikan kepada al-Ghazali amat menggangguku. Disebutkan disana bukan seorang dua ulama yang mengambil sikap sedemikian termasuk ulama yang kenali dan masih kuingati, Ibnu Kathir.

Dr Aid Abdullah al-Qarni pengarang hebat sejuta pembaca melalui karangan "La Tahzan" juga mengambil sikap yang sama mengkritik dan menasihatkan supaya berhati-hati dalam merujuk karangan al-Ghazali dalam karangannya "Hakaza Haddasana al Zaman" yang diterjemahkan dengan tajuk "Beginilah zaman memotivasikan Kita" terbitan Yasmin Enterprise. Alasannya, pertama kedapatan hujah-hujah al-Ghazali menggunakan hadis-hadis yang tidak dapat diberikan autoriti. Keduanya, al-Ghazai terpengaruh dengan aliran-aliran sufi tertentu dalam menulis perkara-perkara yang melibatkan saranan-saranan dalam beribadat yang kurang menepati kehendak sunnah Rasulullah s.a.w. Ataupun rujukan tokoh-tokoh yang dibawa untuk dihujjahkan tidak mencapat tahap ulama yang berautoriti dalam perjalanan sejarah Islam itu sendiri. Wallahuaxlam.

Siapakah Dr Aid Abdulah al-Qarni? Aku belum pernah membaca biografinya. Dalam karangannya dia turut melabelkan kitab "Qut al-Qulub" karangan Syeikh Abu Talib al-Makki setaraf dengan karangan al-Ghazali juga. Sedangkan Ustaz Khairul Anwar Shafie kerap sekali mengambil rujukan dari kitab ini. Begitu juga, Dr al-Qarni memuji-muji karangan Ibnu Taimiyyah yang tidak mendapat tempat di pondok Ustaz Khairul Anuar. Aku bertambah bingung??!

Aku perlukan jawapan yang cukup dengan hujah-hujahnya untuk menteteramkan hati dan mindaku. Siapakah yang harus kutemui untuk urusan ini!? Allah s.w.t. bakal menentukannya....

YAHUDI LAKNATULLAH

Cikgu Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS yang baru saja balik dari Gaza dalam ceramahnya malam ini melontarkan satu soalan: "Jika semua pejuang Hamas di Palestin gugur tewas di bumi Palestin, apa yang harus kita disini lakukan?!".

Dia lalu memetik ucapan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berucap dengan menjulang-menjulang tongkatnya: " berikan aku sepucuk senjata sehingga aku dapat turun berjuang bersama Hamas bagi menghadapi Yahudi Zionis laknatullah itu!!" Demikian semangat seorang ulama yang telah berusia...

PETUA GATAL KULIT

Pagi tadi seorang penjual ubat jalanan yang menjual bam berceloteh tentang penawar penyakit kulit. Sebarang gatal atau lain-lain masalah yang menyerang kulit boleh diatasi dengan petua tradisional.Katanya:" cari daun kunyit, daun asam jawa dan daun pokok duri keman - tumbuk sehingga lumat dengan campuran sedikit garam, Insya Allah!"

05 Februari 2009

NILAI DALAM POLITIK

Mewarnai pentas politik dengan taqwa bererti memberi nafas kepada nilai & peranan khalifah yang bakal menjurus kepada pembinaan keluhuran tamadun manusiawi. Politik ala-Machievelli yang bersalut kepentingan adalah lembah kebusukan yang memangggang manusia di dalam bahang sengsara tanpa pintu penyelesaian.

04 Februari 2009

JALAN MENEMPA KEMULIAAN

Apa lagi kalau bukan berusaha menjulang kemuliaannya itu semaksima mungkin. Justru, ia adalah koleksi agung kata-kata Tuhan yang sudah disaksikan secara pasti oleh para ahli yang memiliki autoriti dan integriti; bebas dari debu penyelewengan.

Firman yang Maha Mulia itu:
Turunnya dari Tuhan yang Maha Mulia;
kepada RasulNya yang paling mulia;
melalui malaikatNya yang paling mulia;
di tempat yang paling mulia;
di bulan yang paling mulia;
di malam yang paling mulia;

..dan pasti menjadi mulialah sesiapa yang memuliakannya!

02 Februari 2009

HANYA SISA-SISA ITU SAJAKAH HADIAH BUAT TUHANMU?

Jangan sama sekali hulurkan ‘sisa-sisa’ sesuatu apapun kepada Tuhanmu. Sisa-sisa waktumu yang akhir untuk bersolat. Sisa-sisa perolehanmu untuk infak fi sabilillah. Sisa-sisa usiamu untuk mula beribadat. Sisa-sisa fikiranmu untuk menerung dan mermuhasabah. Sisa-sisa hidupmu untuk mengenalNya.